Trevelog (Part 1)
Menjejak Sumatera Barat
Untuk
beberapa minggu sebelumnya, tarikh ini amat dinanti-nantikan. Hal ini kerana,
ini merupakan trip saya yang pertama untuk ke luar negara. Ya, setelah 23
tahun, baru kalini diberi peluang untuk merentas sempadan geografi negara
walaupun cuma di negara jiran Indonesia. Keterujaan bertambah apabila trip yang
akan disertai bukanlah berhasrat sekadar makan angin begitu sahaja tetapi
bertujuan untuk menjejak seorang tokoh yang amat saya kagumi baik dari segi penulisannya, peribadi
dan perjalanan hidup beliau, iaitu Prof Dr. Hamka!
Ditambah pula ketika ini filem “Tenggelamnya Kapal Van der Wijck” hasil
adaptasi dari novel beliau baru beberapa bulan ditayangkan di Malaysia. Masih menjadi
buah mulut orang ramai hingga novel asal tulisan-tulisan beliau kembali terjual laris di kedai-kedai buku, serta semakin ramai juga yang ingin mengenal siapakah disebalik nama seorang Hamka.
Tetapi
saat menghampiri masa untuk bertolak, bertubi-tubi tugasan akademik sebagai
pelajar sarjana yang perlu diselesaikan hingga tidak sempat meneliti
butir-butir perjalanan program di sana yang akan mengambil masa dalam lima
hari. Mujur sahaja pensyarah penyelia bermurah hati memberi cuti tanpa banyak
soal. Pokoknya saat terbang ke sana saya tidak menjangkakan apa yang akan menanti
di sana lantaran persediaan yang kelam kabut.
Hari
kejadian seramai 29 orang peserta telah terbang ke Sumatera Barat dengan
selamatnya. Perjalanan yang hanya memakan masa kurang lebih satu jam, iaitu
kurang dari masa perjalanan ke Sabah dan Sarawak memberi tanggapan betapa
hampirnya Indonesia dengan Malaysia. Saya menanti dengan sabar ketika di atas
kapal terbang, dibalik kepulan awan yang sangat memutih, apakah yang berbeza
pada tempat orang yang sebenarnya sangat hampir dengan negara sendiri tetapi dipisahkan
dengan “tembok” lukisan sempadan geografi. Seperti apa bezanya? Sejauh mana kesan
itu terhadap semua perkara ; ekonomi, sosiobudaya mahupun politik.
Setibanya di Lapangan Terbang Sumatera Barat
yang mana strukturnya boleh dikatakan agak sederhana, namun saya tertarik
dengan kemegahan lapangan terbang ini yang dilihat melalui reka bentuknya yang
mengambil ciri rumah tradisi Minangkabau (rumah gadang), dapat dilihat melalui elemen yang cukup prolifik pada struktur bumbungnya yang melengkung. Nilaian pertama saya
terhadap tanah ini ialah mereka cukup berbangga akan nilai seni bina
tinggalan pusaka yang diwarisi nenek moyang mereka! Dan itu rupanya adalah bangunan
pertama kepada ratusan mahupun ribuan binaan bangunan-bangunan lain yang
mempunyai elemen tradisional Minangkabau ini. Boleh dikatakan sepanjang
perjalanan, dapat dilihat bangunan seperti balai polis, pejabat-pejabat
kerajaan, rumah-rumah, kedai-kedai mahupun hospital didirikan dengan elemen
rumah Gadang ini. Bucu lengkung pada bumbung-bumbung bangunan megah menjulang ke langit, bagai mengisyaratkan “pemodenan” globalisasi belum mampu menembusi bumi
kelahiran adat Minangkabau, Sumatera Barat ini.
Selepas
menjamu selera, perjalanan diteruskan ke Pesanteran Darul Hikmah Padang Panjang
yang mengambil masa lebih kurang dua jam perjalanan. Sempat berhenti sebentar
di Air Terjun Lembah Anai yang merupakan salah satu tarikan di sini untuk
mengambil gambar.
Bandar Udara Internasional Sumatera Barat. |
Pesanteran Darul Hikmah & Kuliyyatul Muballingin ; Pembinaan Generasi Baru
“Hamka”
Buya Hamka menerima pendidikan awal di Sekolah Dasar Meninjau hingga darjah dua. Ketika berusia 10 tahun, bapanya mendirikan sekolah Thawalib di Padang Panjang. Beliau bersekolah di Thawalib yang didirikan oleh ayah beliau sendiri iaitu
Haji Karim Amirullah. Beliau tidak menghabiskan pelajaran beliau dan berhenti
ketika berumur 14 tahun. Kemudiaannya, pada tahun 1929, iaitu ketika beliau berumur awal 20-an, beliau menjadi guru agama di Padang Panjang.
Kami
tiba di Pesanteran Darul Hikmah Padang Panjang lewat petang.
Pesanteran Darul Hikmah ini menjadi tempat bermalam kami pada malam pertama.
Sungguh tidak disangka-sangka, sambutan kedatangan kami diraikan penuh istimewa
oleh warga Pesanteran. Kami disambut dengan paluan gendang, pertunjukan silat dan
adat memakan daun sirih oleh semua warga sekolah, terasa bagai tetamu VIP sungguh! Pada waktu malamnya kami
diperkenalkan serba sedikit mengenai latar belakang Pesanteran Darul Hikmah ini, disamping diselangi dengan persembahan pelajar-pelajar Pesanteran di sini.
Banyak perkara yang menarik mengenai Pesanteran ini yang belum pernah saya temui di Malaysia.
Saat rombongan disambut |
Pertama Pesanteran Darul Hikmah,
Padang Panjang ini merupakan sekolah berasrama penuh swasta. Berdirinya sekolah
ini hasil usaha alumni Thawalib/Kuliyatul Muballighin serta infak beberapa
orang hartawan. Pesanteran ini hanya mempunyai jumlah murid sekitar 80 lebih
yang semuanya lelaki, sangat sedikit berbanding sekolah-sekolah di Malaysia. Strateginya, jumlah yang sedikit adalah untuk memberi fokus kepada
kualiti pelajar-pelajar mereka. Tentang kualiti, saya cukup
tertarik bagaimana mereka mempersiapkan pelajar-pelajar mereka kearah kualiti
yang mereka tetapkan.
Di sini mereka diajar mengikut sukatan akademik di
sekolah, manakala di asrama mereka diajarkan pula kitab-kitab turath agama, selain perlu menghafaz al Quran. Untuk mempersiapkan pelajar-pelajar ini
menjadi pendakwah yang memberi impak kepada masyarakat, mereka diajar bertutur tiga Bahasa lain, selain Bahasa Melayu Indonesia, iaitu Bahasa
Inggeris, Bahasa Arab serta Bahasa Mandarin. Nyata mereka serius dalam soal
memperkasakan Bahasa ini sehingga pelajar-pelajar ini dihantar ke Mesir, China
serta Singapura dan Malaysia dalam program mobilasi untuk memperkukuhkan
penggunaan bahasa-bahasa tersebut. Malalui persembahan pelajar kami
dipertontonkan kebolehan pelajar untuk menterjemahkan Al Quran dalam Bahasa
Inggeris dan Bahasa Mandarin. Saya juga melihat, pelajar-pelajar ini
berkomunikasi dengan guru mereka dalam Bahasa Inggeris. Kagum.. !
Bukan
itu sahaja, pelajar juga dilatih supaya fasih dalam bersyarah dan berpidato
melalui rutin “kuliah tujuh minit selepas Maghrib” dan juga pidato pada perhimpunan
pagi. Dikhabarkan pada bulan Ramadhan, pelajar-pelajar ini akan bertebaran di
masjid-masjid di serata Indonesia untuk memberikan tazkirah dan kuliah!
Diwajibkan untuk setiap pelajar sebagai salah satu syarat untuk tamat sekolah. Dapat diperhatikan juga, hubungan antara guru dan murid mereka sangat akrab.
Pelajar Menyampaikan Kultum. Tajuk berkenaan cabaran umat Islam |
Malam hari kami tidur di Pesanteran
Darul Hikmah, mungkin kerana keletihan, tidur kami nyenyak sekali, ditambah
pula angin semulajadi yang sangat nyaman. Pagi hari, iaitu masuk hari kedua
barulah kami perasan pemandangan indah yang mengelilingi Pesanteran ini. Padang
Panjang tempat berhimpun dua gunung iaitu Gunung Singgalang dan Gunung Merapi,
pemandangan ketika matahari terbit memang sangat mengasyikkan. Kemudiannya kami
meninggalkan Pesanteran dan menuju ke kompleks pendidikan Muhammadiyah Padang
Panjang khusus untuk melawat Madrasah Aliyah Kuliyatul Muballigin atau lebih dikenali dengan KM.
Jika
di darul hikmah hanya menumpukan sekolah menengah rendah, kompleks pendidikan
ini merangkumi semua lapisan pendidikan bermula dengan tadika, sekolah menengah
rendah, menengah Aliyah dan juga universiti! Dari banyak segi, elemen yang
diterapkan oleh pendidikan KM lebih kurang sama dengan Darul Hikmah. Fokusnya, memupuk
kebolehan multidisiplin pelajar, gabungan akademik, hafalan quran, pidato,
bahasa-bahasa asing selain diterapkan pula elemen adat-adat Melayu seperti seni
silat dan menari adat juga kemahiran hidup seperti menukang. Untuk pelajar
perempuan diajar untuk boleh memasak! KM mendapat sokongan penuh
alumninya dari segi dana di mana sekolah ini juga merupakan sekolah
persendirian yang tidak mendapat dana kerajaan. Lebih istimewa lagi, guru-guru
di sini semuanya merupakan alumni KM sendiri! Selain itu, KM mempunyai
sejarah yang berhubung terus dengan Buya Hamka di mana Buya Hamka pernah
menjadi guru besar di sekolah ini dahulu. Diceritakan oleh anakanda Buya Hamka
iaitu Irfan Hamka, beliau dilahirkan ibunya di kediaman
guru di KM.
Universiti Muhammadiyah Sumatera Barat dan Kuliyatul Muballighien |
Semangat
Buya Hamka diteruskan oleh generasi beliau seterusnya iaitu mereka yang pernah
menjadi murid beliau kemudian bersambung-sambung hingga ke hari ini. Menyaksikan bagaimana bersungguh mereka melalui elemen pendidikan yang disusun, yang mengambil kira pelbagai aspek pembinaan diri meliputi akademik,
agama, bahasa asing, penulisan, kemahiran hidup, di samping diperteguh dengan warisan adat dan budaya. Saya melihat dalam rangka masa bermula 10 tahun akan datang,
Indonesia tidak akan ketandusan pemimpin malahan sedia mempersiapkan
bakal-bakal tokoh yang akan mengukir nama dalam sejarah peradaban bangsa!
No comments:
Post a Comment