Masjid Asasi dan Rumah Gadang ; Adat Minangkabau nan istimewa
Lawatan diteruskan dengan berkunjung ke Masjid Asasi dan Rumah Gadang. Dilahirkan
dan dibesarkan dalam lingkungan keluarga Melayu Minangkabau, adat dan budaya
yang diwarisi diamati dengan penuh teliti oleh Buya Hamka. Lantaran itu dalam pelbagai
tulisan beliau khususnya dalam novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck dan
Merantau ke Deli setting masyarakat Minangkabau itu ditonjolkan dengan jelas sekali. Selain menggambarkan kita akan jati
diri Hamka sebagai seorang Minang, kecintaan terhadap adat
budayanya tidak pula mengurangkan pandangan kritis Hamka dalam mengkritik
adat-adat masyarakatnya yang beliau kurang setuju. Masih ingat watak Zainuddin
dalam Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck yang menjadi korban adat lantaran
terpaksa berpisah dengan Hayati kerana permasalah suku. Pernah membaca watak
Leman, seorang pemuda Minang, dalam Merantau ke Deli yang kehidupan rumah tangganya yang sebelum ini
bahagia bersama seorang perempuan berbangsa Jawa bernama Poniem kemudian
berubah sepenuhnya setelah menikahi gadis minang yang bernama Suyono. Hal ini berlaku kerana merasakan adat (Minang) yang lebih mulia berbanding bangsa lain runtuhnya rumah tangga poligami yang dibina oleh Leman di antara Poniem dan Suyono. Kerana desakan adat juga,
lingkup perniagaan yang dimajukan Leman kerana modalnya habis dibelanjakan
untuk memenuhi tuntutan adat untuk didirikan rumah bagi isteri dari negerinya
itu.
Melalui
penerangan daripada penjaga Rumah Gadang, beliau menceritakan dengan teliti
apakah disebalik falsafah rumah Gadang dan kaitannya dengan fungsi masjid dalam
masyarakat Minang. Kedua binaan rumah gadaang dan masjid Minangkabau tidak
menggunakan paku tetapi diperkukuh dengan teknik pasak. Rumah Gadang didirikan dengan beberapa buah bilik, saiz biliknya
hanyalah kecil sahaja. Ada sebab kenapa saiznya kecil, ini memberi peringatan
kepada si suami supaya kerja keras membanting tulang agar lekas dalam membeli
tanah dan membina rumah sendiri, lalu keluar dari rumah gadang tersebut.
Susunan penghuni bilik di rumah Gadang mengikut siapa yang berkahwin dahulu. Bilik
paling awal dihuni pasangan yang baru kahwin manakala di pasangan yang sudah
berkahwin paling lama tinggal di bilik paling hujung. Sekiranya terdapat lagi
saudara perempuan yang berkahwin, maka turutan kedudukan bilik ini akan berubah
dengan pengantin baru akan mengambil bilik yang paling awal, dan yang
seterusnya akan berpindah dan berganjak aturannya. Pasangan yang berada di
bilik paling hujung akan keluar dari rumah. Sekiranya pasangan ini tidak mampu
untuk berdikari untuk hidup diluar rumah gadang, maka pasangan yang paling kukuh ekonominya yang akan keluar dahulu.
Hidup dengan percampuran beberapa keluarga di
dalam sebuah rumah tidaklah menjadi pertengkaran, kerana masing-masing menjaga adab di dalam rumah
yang sedia difahami. Sekiranya mempunyai tetamu, batas tempat meraikan tetamu
hanya sebatas kawasan di hadapan bilik keluarga yang menerima tetamu sahaja.
Walaupun semua keluarga memasak di dalam dapur yang sama, tetapi alatan memasak
dan ketuhar adalah tidak bercampur, masing-masing menggunakan barangan
masing-masing. Namun apabila ada tetamu yang datang, maka dirai oleh seluruh keluarga.
Ketika keluarga yang menerima tetamu sedang sibuk melayan tetamunya, keluarga lain akan mempersiapkan makan, minum untuk dihidang. Menurut mereka, tetamu ialah rahmat yang dihantar Ilahi untuk memberi barakah kepada seisi
rumah kerana itu layanan yang diberi istimewa. Persis budaya kaum Arab sahaja yang terkenal memuliakan tetamu. Berbeza
dengan budaya Malaysia, saat datangnya tetamu masing-masing melarikan diri di
dalam bilik!
Adat Perpatih banyak memberi kelebihan kepada kaum wanita. Rumah Gadang juga lebih memberikan hak kepada wanita. Selalunya apabila pasangan berkahwin, mereka akan berpindah ke Rumah Gadang keluarga si wanita, kerana ada hak si wanita di rumah tersebut. Dalam soal
pembahagian harta juga, kaum perempuan lah yang mendapat bahagian bukannya kaum
lelaki, kerana adat yang cukup menjaga kaum perempuan kerana menurut mereka, lelaki tentu mampu sahaja mencari nafkahnya sendiri sekiranya berlaku masalah
penceraian sebagai contoh, tetapi pasti sulit bagi perempuan. Mereka juga
menggunakan dalil hadith Nabi bagaimana Nabi menyebut tiga kali , “ibumu,
ibumu, ibumu … kemudian barulah ayahmu”. Namun tentunya pendapat adat ini boleh
diperbahaskan dari konteks syara` yang agak kontradik.
Rumah Gadang |
Kaum
lelaki hanya menjadikan rumah sebagai persinggahan sahaja. Seawal umur 10
tahun, anak-anak lelaki sudah membiasakan diri untuk hidup di surau. Di
suraulah tempat anak-anak lelaki bersosial, belajar agama, pidato dan bermain
di pagi hari, manakala di malam hari diajar pula dengan seni bela diri, silat.
Hal inilah yang akan membina peribadi yang teguh di dalam diri lelaki-lelaki
Minang! Dapat difahami, fungsi surau dalam masyarakat Minangkabau sangat unik dan meluas sehingga terlibat dalam pembinaan karakter peribadi masyarkatnya. Menjelang usia belasan tahun pula, secara tradisinya lelaki-lelaki ini
akan keluar mengembara keluar dari tanah Minangkabau, mengutip pengalaman di
negeri orang. Suatu malu yang besar sekiranya kurang tiga tahun sudah balik ke
kampong halamannya semula, kerana tanda tak mampu mandiri di tempat orang! Jika disoroti tulisan Hamka di dalam buku Kenang-kenang Hidup, beliau bercerita bagaimana beliau membina kebolehan berpidatonya melalui pidato adat dan kaba yang beliau pelajari ketika di surau. Beliau juga berkelana beberapa kali dalam hidupnya termasuk ke Padang Panjang dan Pulau Jawa yang mana beliau berguru dengan ramai tokoh pada masa tersebut seperti Bagoes Hadikoesoemo, HOS Tjokroaminoto, Fakhruddin dan Suryopranoto juga Ahmad Rasyid Sutan Mansur yang akhirnya menemukannya dengan pergerakan Muhammadiyah.
Masjid Asasi Nagari Gunung (Gambar google) |
Janji 3 hari
"Di
sini, kalau ingin berkahwin perempuan yang akan meminang si lelaki." ujar
Pak Irfan, seorang pegawai pendidikan Indonesia, merupakan anak jati Minang
yang bersama sepanjang lawatan kami.
“Kerana
adat yang memperakui nasab pada wanita, jika seorang lelaki Minang berkahwin
dengan wanita yang bukan Minang, maka nasab beliau akan terputus dengan
keluarga besarnya. Tetapi sekiranya wanita Minang yang berkahwin dengan lelaki
yang bukan Minang, nasab keturunannya masih diperakui dan bersambung dengan
keluarga besar” tambah beliau.
“Kalau
begitu, bolehlah wanita Minang berkahwin dengan lelaki Malaysia?” Soal seorang
ahli rombongan teruja.
“Ya,
boleh sahaja. Di sini ramai wanita yang belum bernikah kerana lelakinya ramai yang merantau. Kalau mahu, dalam masa 3 hari sahaja
boleh diuruskan”. Jawab Pak Irfan optimis.
“Wah
3 hari….” Kami masing-masing terbeliak dan tersengih-sengih mendengar tawaran Pak Irfan.
Lawatan ke Pesanteran Syeikh Ahmad Khatib Minangkabawi
Pesanteran
yang baru dibangunkan di bahagian Sumatera ini berbanding Darul hikmah dan
Kuliyatul Muballighin. Pandangan pertama berkenaan pesanteran ini sedikit
berlainan suasananya. Lebih nampak “tsiqah” dan “tawaduk”. Setelah berborak
dengan mudir pesanteran ini bahawa beliau merupakan lepasan Universiti Madinah,
dapatlah kami mengagak mengapa perilaku murid-muridnya begitu. Apa yang menarik
mengenai pesanteran ini ialah pada tokoh yang disandarkan namanya pada
pesanteran ini, iaitu Syeikh Ahmad Khatib Minangkabawi . Siapakah beliau ini ?
Apa istimewanya sumbangan beliau. Agak asing nama beliau pada pengetahuan umum
khususnya kita rakyat Malaysia. Mudir pesanteran ini juga memberitahu bahawa
lawatan kami merupakan seumpamanya dari Malaysia.
Syeikh
Ahmad Khatib merupakan anak jati Minangkabau yang berhijrah ke Makkah dan tidak
pulang-pulang selepas itu. Beliau menetap di sana dan menjadi ulama besar di
sana. Apa menarik tentang Syeikh Ahmad Khatib ini ialah beliau mempunyai
perhubungan dengan buya Hamka melalui ayahnya iaitu Abdul Karim Amirullah (Haji
Rasul). Rupanya, Syeikh Ahmad Khatib
merupakan murabbi disebalik lahirnya tokoh-tokoh pembaharuan di tanah Melayu
khususnya di Indonesia. Beberapa tokoh besar mendapat didikan langsung beliau
semasa di Makkah termasuklah Abdul Karim Amirullah sendiri, Syaikh Ibrahim Musa
Parabek, Syaikh Jamil Jambek, Syaikh Hassan Maksum dan dua pendiri organisasi
besar Indonesia, Nahdatul Ulama (NU) dan Muhammadiyah iaitu K.H Hasyim Asy`arid
dan K.H. Ahmad Dahlan.
Kelok 44 Menuju Danau Maninjau.
Laluan
perjalanan menuju Danau Maninjau agak mencabar kerana perlu melalui jalan bukit
yang tinggi dan kemudiannya turun ke danau tersebut. Sebelum sampai, kenderaan
akan melalui lekok bersimpang siur yang mempunyai empat puluh empat alur
pusingan jalan yang dikenali dengan Kelok empat puluh empat. Jalan ini
mengingatkan kepada struktur jalan yang sama ketika hendak ke Cameron Highland.
Bagi yang tidak betah, tentunya akan mula pening kepala atau muntah-muntah.
Tetapi rombongan kami tiada pula yang mengalaminya. Pemandangan di kiri dan
kanan saat melalui jalan ini sangatlah mengkagumkan setiap mata yang memandang,
hijau dan mempesonakan, kami terlalu asyik dengan keindahan semulajadi
sekeliling hingga terlupa seketika kegelisahan terhadap sebarang kebarangkalian
melalui jalan yang curam.
Kami
diberitahu tanah-tanah di sekitar Sumatera ini terdiri daripada tanah adat,
jadi sukar sekali untuk pemaju masuk ke dalam kawasan ini. Sebab itu, keindahan
semula jadinya belum banyak yang terusik. Suatu situasi yang pada kami sangat
menarik ialah bagaimana ketertiban pemandu-pemandu ketika melalui jalan yang
agak berbukit-bukit dan bersimpang siur ini. Ada kala apabila melalui jalan
yang sempit akan bertembung dua kereta dari kedua belah arah, kerana jalan yang
ada cukup untuk satu kereta sahaja. Keadaan seperti ini sepatutnya jika di
Malaysia akan menjadikan aliran traffic hura-hara,
bingit bunyi hon dan mungkin saja mengundang kemalangan. Lain keadaan di sini,
menurut Pak Irfan, pemahaman pemandu di sini bahawa orang yang di atas haruslah
memberikan laluan kepada orang yang dibawah katanya berdasarkan pemahaman orang
sini terhadap pujangga adat yang menyuruh demikian. Jadi perjalanan yang kami
lalui sangat lancar dan teratur walaupun melalui jalan yang curam dan
bersimpang siur.
Hebat
sungguh detik hati saya, bagaimana kerana kukuhnya berpegang mereka dengan apa
yang diajar oleh adat, hal traffic
pun boleh diatur dengan baik tanpa berhabisan memikir alternatif membina jalan
yang lebih besar yang memakan belanja yang besar. Negara kita sangat miskin
adab dan ketertiban saat berada di jalan raya, mungkin kerana itu walaupun
lebuh raya semakin luas dibina tetapi kemalangan tetap sahaja tinggi. Kerana
bukan lagi salah infrasuktur tetapi kerosakan adab dan tatasusila pengguna yang
tidak pernah diupgrade. Kami selamat
tiba di Desa Maninjau pada waktu Maghrib.
Pemandangan Maninjau dari atas |
Halilintar dari Semenanjung
Sedang kami menikmati pemandangan malam di Danau
Maninjau, kami dikejutkan dengan berita yang telah mulai tersebar di Whatsapp dan juga facebook tentang kewafatan Al marhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik
Mat, Mursyidul Am Parti Islam seMalaysia (PAS). Antara percaya atau tidak
percaya, kami bersabar dahulu kerana bukan sekali dua berita palsu seumpama ini
disebarluaskan. Namun, jam lebih kurang 9 malam waktu tempatan, telah disahkan
melalui laporan rasmi tentang meninggalnya Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz
akibat barah prostat. Baru tadi kami berbual-bual mengenai topik hangat dalam
parti ketika itu yang melibatkan konflik golongan ulama dan Pasma, tiba-tiba
terpaksa menelan pula pahitnya kehilangan orang yang paling dihormati di dalam
parti. Seorang pemimpin, murabbi dan lagenda politik tanah air yang mana
pemergiaannya akan terus dikenang. Ada semacam kesedihan yang menyerap masuk di
dalam diri tanpa dipaksa, ada suatu rasa kehilangan yang terpaksa direlakan.
Rupanya ramai juga berkongsi rasa yang sama berdasarkan tulisan-tulisan di
media-media sosial.
Walaupun orang seumpama Almarhum Tuan Guru Nik Abdul
Aziz merupakan permata yang hanya hadir sekali dalam seumur hidup, tetapi
janganlah dibiarkan sahaja legasi pemikiran dan ketokohannya dibiarkan begitu
sahaja. Umpama Hamka, daripada beberapa pondok yang berkaitan dengan buya Hamka
seperti Kuliyatul Muballighin dan Darul Hikmah, mereka optimis dengan
pendidikan yang disusun bahawa mereka akan mencetak “Hamka-hamka kecil” yang akan memberi impak terhadap
masyarakat mereka. Semangat ini yang saya kira perlu dibawa pulang dan kita perlulah mencetak pula tokoh-tokoh negara yang hilang supaya legasi mereka akan terus
kekal walaupun selepas kematian.
No comments:
Post a Comment