Tuesday 5 November 2013

monolog selepas graduasi




Alhamdulillah setinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi

Atas limpah rahmatNya dapat juga saya bergraduasi pada masa yang ditetapkan.

Mood konvokesyen memang memberi kegembiraan yang sukar diungkap. Wajah girang ibubapa yang merasakan pengorbanan mereka berbaloi tatkala melihat anak tersayang memakai jubah dan topi empat segi, pensyarah yang tersenyum ceria melihat anak-anak muridnya satu per satu menerima skrol. Oh perhatikanlah riak wajah mereka waktu itu!

Istiadat konvokesyen meraikan kejayaan seseorang pelajar itu bergraduasi setelah menyelesaikan kursus yang diambil dalam masa yang ditetapkan. Hal ini memberi suatu perlambangan seolah Universiti sudah merestui graduan untuk berkhidmat kepada masyarakat. "Berkhidmat" dalam skop yang mudah diterangkan sebagai "bekerja tetap dan mempunyai pendapatan yang stabil", walaupun "berkhidmat" itu tidaklah sesempit itu pengertiannya.

Boleh dikatakan antara tujuan utama seseorang belajar ke tahap yang tinggi ialah untuk mendapatkan pekerjaan yang tetap dan gaji yang lumayan. Untuk mencapai tujuan tersebut, segulung ijazah ialah "tiket" yang dikejar-kejar dengan penuh bersungguh. Apa tidaknya ijazah inilah yang menjadi kunci seorang yang berlatarbelakang keluarga yang biasa-biasa untuk berdiri sama tinggi dengan golongan elit. Pengubah taraf sosial ke tahap lebih baik !

Mungkin kalau dahulu sekitar 70an, 80an seorang graduan bertaraf ijazah itu begitu dipandang tinggi dan dihormati kerana masa itu keluaran graduan dari universiti kecil bilangannya. Peluang kerja dan gaji yang  besar menanti para graduan. Seiring masa berlalu, pertumbuhan IPTA/IPTS yang begitu banyak bak cendawan selepas hujan menyebabkan graduan ijazah sarjana muda yang dikeluarkan setiap tahun amat besar bilangannya hingga akhirnya menatijahkan masalah lambakan graduan yang akhirnya membawa kepada bilangan pengangguran yang tinggi. Seseorang yang mempunyai ijazah pada masa sekarang bukan lagilah suatu keistimewaan bahkan suatu kebiasaan.

Suara-suara rungutan banyak sudah kedengaran daripada rakan-rakan tentang masalah memperoleh pekerjaan. Mana tidaknya, rata-rata mahukan yang sudah punya pengalaman. Hingga kalangan rakan-rakan dari kos kritikal seperti perubatan yang dahulunya selesa turut rungsing akan peluang kerja yang sangat tinggi kompetensinya. Itu belum kira soal gaji yang tidak setimpal dengan keperluan masa kini. Hendak fikir punyai kereta rumit sekali, rumah? jauh sekali!

Kehidupan selepas graduasi memang "menakutkan", gelaran graduan bukan lagi jaminan untuk terus menikmati kehidupan yang selesa. Perlu lagi mendaki untuk mengharungi cabaran baru yang lebih mencabar. Dalam suasana hiruk pikuk dunia yang membingitkan, saya pilih untuk terus mempersiapkan diri bersembunyi di bawah gelaran "mahasiswa", mudah-mudahan kelak ilmu yang dituntut pada peringkat lebih tinggi ini memberi kesan yang lebih baik pada masyarakat.  

Teringat satu kata-kata :

“Mengharap habuan dunia menjadikan manusia hina, Sedang mengharap habuan akhirat, dunia akan mengekori penuh hina.”




credit photo : majalah aspirasi ukm










Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...