Monday 23 March 2015

Part Akhir (Kembara Sumatera Barat : Menjejak Hamka)

Hari Keempat


Awal pagi dengan berat hati kami meninggalkan Danau Maninjau, namun kenangannya akan kami simpan kemas dalam memori. Hari ini, kami berkunjung tiga tempat iaitu yang pertama pusat membeli belah di Bukit Tinggi, kedua ke Istana basa Pagaruyung dan Surau Batipuh sebelum ke sebuah hotel di Padang, tempat penginapan kami yang terakhir. 

Perkara yang menarik ketika membeli belah ialah lebih banyak peniaga meminta wang ringgit jika tahu kita berasal dari Malaysia. Selepas diberitahu, rupanya nilai jual-beli pertukaran  wang ringgit di sini adalah lebih tinggi berbanding di Malaysia. Misalnya, jika membuat pertukaran di Malaysia, 1 juta rupiah ialah bersamaan lebih kurang RM300, tetapi jika di Indonesia untuk tukaran RM300 , memerlukan lebih dari 1 juta rupiah. Hal ini kerana demand terhadap ringgit Malaysia di sini adalah tinggi. Rata-rata mengikut penerangan orang tempatan, mereka lebih selesa mendapatkan rawatan di hospital-hospital Malaysia berbanding di Jakarta kerana jaraknya yang lebih dekat dan “lebih cepat sembuh” .

Istana Pagaruyung sangat gah, menandakan kehebatan kerajaan Minangkabau yang gemilang suatu ketika dahulu. Katanya binaan asal istana ini pernah terbakar dijilat api yang mengakibatkan kerosakan yang besar pada sekitar tahun 2007. Hanya sekitar 15 % sahaja barangan berharga yang sempat diselamatkan. Kerana istana ini merupakan khazanah besar bagi masyarakat Minangkabau, kerajaan Negeri Sembilan yang asal usulnya dari Sumatera ini, turut menghulurkan sejumlah dana yang besar untuk tujuan pembinaan semula atas dasar perkongsian sejarah yang sama.

Istana Pagaruyung


Perhentian seterusnya merupakan di Surau Batipuh. Reka bentuk suraunya yang cukup klasik serta kawasan sekitarnya yang tenang, mendamaikan mata yang memandang. Surau Batipuh sangat kuat nostalgianya dengan Buya Hamka kerana di sinilah Buya Hamka menulis karya novel monumentalnya iaitu “Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck”. Hingga kini surau berkenaan masih lagi aktif dengan aktiviti pengajaran. Ketika kami datang melawat kelihatan sesi pengajaran al-quran  sedang dijalankan. Bertalu-talu soalan diajukan terhadap penjaga surau berkenaan. Antara yang menarik, beliau berkongsi bahawa kisah yang menyentuh hati jutaan pembaca dalam karya “Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck” itu merupakan ilham daripada kisah sebenar Buya Hamka sendiri. Kisah beliau dengan seorang perempuan di sekitar Batipuh itu yang tidak kesampaian. Hujan renyai yang turun saat itu bagai mengimbau detik-detik pertemuan Hayati dan Zainuddin yang disingkapkan di dalam novel tersebut. Selesai lawatan di sini, kami terus menghala ke sebuah hotel di Padang. Perjalanan kami hamper ke penghujungnya.


 
Surau Batipuh *(Kredit Gambar Kak Saadiah Ali)
  

Malam Refleksi Kembara

Pada malam terakhir di bumi Sumatera ini, kami ahli rombongan menjejak Buya Hamka mengadakan sesi refleksi untuk saling bertukar pendapat tentang ibrah yang diperolehi dalam kaca mata masing-masing. Banyak respons yang menarik untuk dikongsi. Saya rumuskan di sini, sepanjang empat hari di sini, kami melihat dan menyaksikan sendiri tinggalan seorang tokoh ulama yang kematian jasadnya tidak mematikan amal kebaikan beliau. Beliau meninggalkan  suatu legasi pemikiran dalam bentuk ratusan buku-buku tulisan yang merentas zaman, sekolah dan universiti yang beliau asaskan dan juga akhlak dan contoh teladan dalam keperibadiaanya yang terus menginspirasi generasi. Kembara jejak Hamka ini memberi kefahaman tentang perkara-perkara yang melatari pembinaan peribadi beliau sebelum diangkat masyarakat akan ketokohannya.

Pertama dapat difahami bagaimana peranan keluarganya khususnya bapanya sendiri, Haji Karim Amirullah. Saat Hamka dilahirkan, bapanya telah menetapkan kepada beliau untuk menjadi seorang ulama besar. Kesungguhan bapanya ini terlihat apabila menyekolahkan Hamka di sekolah beliau sendiri iaitu di Madrasah Thawalib yang suatu ketika, pelajaran yang diterima Hamka itu lebih tinggi untuk umurnya ketika itu. Walaupun kemudiannya Hamka bertindak berhenti daripada belajar di sekolah tersebut, tetapi itu tidaklah menghentikan perjalanan ilmunya bahkan memilih jalan ilmunya yang tersendiri hingga akhirnya menjadi seperti apa yang ayahnya impikan, seorang alim! Saat Hamka telah memahami ilmu, bertambahlah kehormatan beliau terhadap ayahnya kerana baru mengerti ketinggian ilmu ayahnya dan dalam beberapa hal, tindak tanduk beliau hasil inspirasi daripada ayahnya. Contoh, dalam pertembungan hujah melibatkan beliau dengan mufti-mufti di tanah Melayu terhadap tuduhan “kaum muda” terhadap gerakan daripada Sumatera. Beliau nekad seperti ayahnya dalam mempertahankan hak atas ilmu yang diyakini. Rentetan peristiwa ini boleh dibaca melalui buku beliau yang bertajuk “Ayah” dan “Teguran Suci Terhadap Sultan Johor”.


Satu lagi perkara yang penting berkenaan Buya Hamka ialah beliau merupakan ulama yang lahir, asli melalui “acuan” Nusantara. Berbeza dengan kebanyakan ulama yang menerima pedidikan formal di negara-negara Arab, Hamka tampil unik dengan perjalanan ilmu beliau yang tersendiri. Beliau tidak mempunyai pendidikan formal yang tinggi (sekadar hingga 14 tahun) selain hanya berguru dengan ulama-ulama tempatan seperti di tanah Jawa dan Sumatera sendiri. Hamka juga mendapat manfaat yang besar melalui adat Melayu Minangkabau ketika zaman kanak-kanak dan remaja beliau. Adat ketika itu (surau menjadi tempat membina anak-anak lelaki) telah membina jati diri beliau selain memberi manfaat dalam pengucapan dan bahasa beliau hingga terzahir melalui keindahan tulisannya serta lemah tutur bicara dalam dakwahnya. Walaupun kemudiannya beliau mengkritik beberapa perkara dalam adat Minangkabau yang tidak sesuai dengan syariah, hal ini mungkin tidak berlaku sekiranya beliau tidak memahami benar akan suasana masyarakat ketika itu.


Selain itu, perkara yang kami pelajari ialah berkenaan keindahan alam di kampung kelahiran Hamka sendiri iaitu di Danau Maninjau. Suasana alamnya yang sangat indah memberi kami kefahaman bagaimana keindahan alam memang benar memberi inspirasi buat seorang pujangga. Kehebatan Hamka bukan hanya pada pemikirannya yang kritis dalam mengkritik, ketokohannya dalam memberi fatwa tetapi juga pada karya-karya sastera tradisi seperti pantun, syair yang diinspirasi dengan keindahan alam.


Hamka telah membuktikan dirinya sebagai permata nusantara yang berada di kelasnya yang tersendiri. Saat dia mengarang karya, dialah seorang sastera, saat beliau mencebur dalam politik, beliaulah bintangnya, saat beliau mengajar, beliaulah murobbinya dan saat beliau masuk ke dalam pergerakan Muhammadiyah, beliaulah pejuang dan juga daie. Hamka membuktikan setiap apa yang dilakukannya memberi manfaat besar kepada ummah. Justeru, segala tinggalan penulisan-penulisan beliau khususnya perlulah terus dibaca dan dikaji kerana pada saya ia merupakan khazanah bernilai Bahasa Melayu dari sudut keilmuan Islam.       

  

Pulang Ke Malaysia.

Berbaur perasaan untuk pulang ke Malaysia. Namun saya cukup puas dengan perjalanan menjejak Hamka di Sumatera Barat ini. Perjalanan ini memberi saya pengalaman bernilai terutama dalam melihat khazanah Melayu Nusantara (Minangkabau) yang kaya dan indah. Selain mendalami persekitaran yang membentuk seorang tokoh Nusantara yang akan terus hidup dalam tulisan-tulisanya ; Prof. Dr. Hamka. Moga sahaja aku dapat meneladani dan mendapat manfaat akan ilmu tinggalan beliau. Sempat saya menulis sebuah puisi sebagai dedikasi kepada tanah Sumatera Barat ini.   




Alam Maninjau nan indah.

Dingin, damai dan mempesona.
Alam yang suci dari noda, 
Oleh tangan-tangan rakus manusia. 

Alam Maninjau nan memukau.
Kurniaan Tuhan pada masyarakat,
Mengilham, menginspirasi sekian generasi,
Menjadi guru mencetak ulama. 

Maninjau akan terus ku ingati,
Lukisan Tuhan menghidupkan hati.
Semoga kita ketemu lagi,
Nescaya akan ku terpesona,
1000 kali lagi. 

Sumatera Barat,
15 Feb 2015

Friday 20 March 2015

Part 3 Travelog Sumatera Barat : Menjejak Hamka

Seharian di Danau Maninjau.



Harini masuk hari ketiga di Sumatera. Berpagian di Danau Maninjau merupakan antara momen yang taajub terhadap keindahan alam ciptaan Ilahi. Bayangkan membuka jendela dengan menghadap bukit-bukau menghijau, kepulan kabus yang menutup pandangan , jernih air tasik yang terbentang, burung-burung terbang ke sana sini. MasyaAllah, nikmat yang sangat indah. Alam semulajadinya yang mententeramkan hati, memberi khayal kepada sang pemuisi dan ilham kepada seniman yang kaya dengan rasa. Buya Hamka menulis sendiri di dalam tulisan-tulisannya bagaimana indahnya kampungnya ini, antara kata beliau, “Telah aku mengembara ke serata dunia, tetapi tiada yang seindah kampong halamanku, Danau Maninjau”. Pak Soekarno juga ada menyebut perihal keindahan Danau Maninjau di dalam rangkap pantun beliau. Harini saya mengesahkan dakwaan-dakwaan tersebut dengan mata kepala sendiri, tiada apa yang berlebihan dengan pujian-pujian terhadap Maninjau melainkan benar belaka.




Pemandangan saat membuka jendela



Lawatan kami hari ini melawat tiga tempat iaitu rumah haji Karim Amirullah, rumah buya hamka dan seterusnya akan ke Pesanteran Buya Hamka yang terletak di sekitar Desa Maninjau ini. Hentian pertama kami pergi ke rumah haji Karim Amirullah iaitu bapa Hamka. Kedatangan kami disambut oleh cucu buya Hamka yang sudah berumur sekitar 80 tahun. Teruja kami mendengar penerangan langsung daripada beliau berkenaan Buya Hamka. Walaupun ada satu dua penerangan yang kontradik dengan buku yang ditulis oleh buya mengenai dirinya dalam tajuk “Kenang-kenang Hidup”, namun pengolahan yang langsung dari sumber yang pernah hidup sezaman, bagai terasa hidup sosok yang selama ini hanya saya baca karya-karya sahaja. Bapa hamka juga bukanlah calang-calang orang, beliau antara golongan kaum muda yang bertanggungjawab membuat perubahan terhadap pemahaman agama di Indonesia. Beliau diiktiraf oleh Universiti Al Azhar sehingga diberi anugerah terhormat, dan hingga kini kitab-kitab karangan beliau masih digunakan dalam pembelajaran di sana. Bapa Hamka, yang juga dikenali sebagai haji Rosul juga merupakan guru kepada Soekarno yang kemudiaanya rapat dengan Hamka sebelum memenjarakannya pula.

 
Disambut Anak Saudara Hamka, Penjaga Rumah Haji Karim Amirullah



Seterusnya, kami menuju pula ke rumah Buya Hamka, rumah yang suatu ketika tidak diusahakan, tetapi hasil usaha Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang menaja pemuliharaan bengunan tersebut, kini berbondong-bondong orang ramai datang menjadikan kediaman tersebut sebagai tempat yang wajib dilawati. Ketibaan kami kalini di jemput oleh Pak Ahmad Rashid, anak kepada Sutan Mansur, anak murid kesayangan ayahnya yang dikahwinkan dengan kakak Hamka. Kami kemudiaannya mendengar pula penerangan daripada beliau berkenaan hikayat hidup Hamka. Poin tambahan yang saya peroleh dalam rangkuman kisah yang beliau ceritakan ialah, kehidupan awal kanak-kanak Hamka yang agak “ganjil” dalam pembentukannya sebagai seorang tokoh iaitu ketika zaman kanak-kanak merupakan seorang yang sangat nakal dan dilihat tidak akan mempunyai masa depan yang cerah kerana hanya bersekolah sekadar pada umurnya 14 tahun. Zaman kanak-kanak Buya Hamka menjadi sedemikian selepas perpisahan bapa dan ibunya. Jiwanya memberontak dan kenakalannya yang dizahirkan.

Namun menurut penerangan yang diberi yang mana saya juga bersetuju, kerana kenakalan buya Hamka pada zaman kanak-kanaknya inilah beliau sebegitu berani untuk mengkritik dan berhadapan dengan idealisme komunisme yang di bawa oleh Soekarno, yang menatijahkan beliau dipenjara.  Yang mana kemudiaanya kita tahu, di dalam penjara itulah beliau menyelesaikan tulisan tafsir al quran lengkap Bahasa Melayu, satu seumpamanya di nusantara ini. Poin lain yang menarik perhatian saya ialah perihal isterinya yang jarang diungkapkan oleh mana-mana tulisan. Buya Hamka selalu berbincang dengan isteri beliau dan beberapa tindakan beliau juga atas nasihat yang diterima oleh isteri beliau, seperti penolakan tawaran untuk menjadi duta bagi Arab Saudi, kerana menurut isterinya beliau akan menjadi orang besar yang terlalu sibuk hingga akan menganggu rutin membaca al quran dan solat tahajudnya.




Kami kemudian terus ke Pesanteran Buya Hamka yang kedudukannya terletak di atas bukit. Kami terpaksa diangkut dengan lori pick up kerana bas yang kami naiki tidak mampu dibawa ke atas. Di sana, seperti pesanteran-pesanteran yang lain, sambutannya sangat luar biasa. Ramah, manis muka dan hidangan-hidangan yang enak sebagai menerima kunjungan kami. Tetamu dari Malaysia sangat dialu-alukan seperti kunjungan saudara jauh yang sudah lama tidak ketemu. Menurut penerangan wakil pesanteran, mereka sangat terhutang budi dengan warga Malaysia khususnya ABIM dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang memberi bantuan dalam pembinaan pesanteran tersebut. Pesanteran ini baru dibina kembali selepas pesanteran yang lama musnah kerana gegeran gempa bumi yang melanda wilayah itu sekitar 5 tahun lepas.

Kami berpeluang bersembahyang Jumaat di masjid situ. Terkagum melihat khatib pada hari itu ialah pelajar pesanteran mereka sendiri yang hanya berumur sekitar 15 tahun, namun pengisian khutbah yang di sampaikan tanpa melihat teks itu cukup bernas dan penuh wibawa. Selepas berkenalan tambah terkejut apabila mengetahui pelajar tadi berasal dari Malaysia. Rupanya terdapat tiga orang pelajar yang berasal dari Malaysia yang rata-rata merupakan anak kepada pimpinan ABIM. Melalui penerangan wakil pesanteran, ciri pendidikan yang disusun oleh pesanteran ini lebih kurang sama sahaja seperti pesanteran-pesanteran lain iaitu adanya unsur akademik, agama, hafalan quran dan mengekalkan khazanah adat budaya Minang yang sesuai. Pulang kami dari pesanteran ini, maka berakhirlah lawatan bersifat ilmiah kami. Memang banyak sungguh khazanah ilmu yang diperolehi sepanjang tiga hari ini.

Pesanteran Buya Hamka, Maninjau


Petang itu dihabiskan dengan menaiki bot merentasi tasik Danau Maninjau. Dikatakan Danau ini merupakan hasil letusan gunung berapi yang terhasil berkurun lama dahulu. Kalau dilihat struktur fizikal disekelilingnya, ada logik terhadap dakwaan tersebut. Pemandu bot berkongsi perihal yang berlaku yang kawasan tersebut. Menurut beliau, dahulunya sumber pendapatan masyarakat di tempat itu ialah melalui pertanian semata. Kerana, kurangnya potensi untuk melakukan pekerjaan lain, maka ramailah yang berkelana. Harini katanya, bermula beberapa tahun kebelakangan ini, penduduk di sini telah memulakan pengusahaan penternakan kolam ikan. Penternakan kolam ikan ini walau bagaimanapun telah menyebabkan air tasik sekarang, tidak lagi sejernih dahulu menurutnya. Begitulah kerana survival dan ekonomi manusia, alam semulajadi jugalah akhirnya yang terpaksa “toleransi”.





*kredit foto : diri sendiri, google, kiera ishak


Wednesday 18 March 2015

(Part 2) Travelog Sumatera Barat : Menjejak Hamka.

Masjid Asasi dan Rumah Gadang ; Adat Minangkabau nan istimewa



Lawatan diteruskan dengan berkunjung ke Masjid Asasi dan Rumah Gadang. Dilahirkan dan dibesarkan dalam lingkungan keluarga Melayu Minangkabau, adat dan budaya yang diwarisi diamati dengan penuh teliti oleh Buya Hamka. Lantaran itu dalam pelbagai tulisan beliau khususnya dalam novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck dan Merantau ke Deli  setting masyarakat Minangkabau itu ditonjolkan dengan jelas sekali. Selain menggambarkan kita akan jati diri Hamka sebagai seorang  Minang, kecintaan terhadap adat budayanya tidak pula mengurangkan pandangan kritis Hamka dalam mengkritik adat-adat masyarakatnya yang beliau kurang setuju. Masih ingat watak Zainuddin dalam Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck yang menjadi korban adat lantaran terpaksa berpisah dengan Hayati kerana permasalah suku. Pernah membaca watak Leman, seorang pemuda Minang, dalam Merantau ke Deli yang kehidupan rumah tangganya yang sebelum ini bahagia bersama seorang perempuan berbangsa Jawa bernama Poniem kemudian berubah sepenuhnya setelah menikahi gadis minang yang bernama Suyono. Hal ini berlaku kerana merasakan adat (Minang) yang lebih mulia berbanding bangsa lain runtuhnya rumah tangga poligami yang dibina oleh Leman di antara Poniem dan Suyono. Kerana desakan adat juga, lingkup perniagaan yang dimajukan Leman kerana modalnya habis dibelanjakan untuk memenuhi tuntutan adat untuk didirikan rumah bagi isteri dari negerinya itu. 

Melalui penerangan daripada penjaga Rumah Gadang, beliau menceritakan dengan teliti apakah disebalik falsafah rumah Gadang dan kaitannya dengan fungsi masjid dalam masyarakat Minang. Kedua binaan rumah gadaang dan masjid Minangkabau tidak menggunakan paku tetapi diperkukuh dengan teknik pasak. Rumah Gadang didirikan dengan beberapa buah bilik, saiz biliknya hanyalah kecil sahaja. Ada sebab kenapa saiznya kecil, ini memberi peringatan kepada si suami supaya kerja keras membanting tulang agar lekas dalam membeli tanah dan membina rumah sendiri, lalu keluar dari rumah gadang tersebut. Susunan penghuni bilik di rumah Gadang mengikut siapa yang berkahwin dahulu. Bilik paling awal dihuni pasangan yang baru kahwin manakala di pasangan yang sudah berkahwin paling lama tinggal di bilik paling hujung. Sekiranya terdapat lagi saudara perempuan yang berkahwin, maka turutan kedudukan bilik ini akan berubah dengan pengantin baru akan mengambil bilik yang paling awal, dan yang seterusnya akan berpindah dan berganjak aturannya. Pasangan yang berada di bilik paling hujung akan keluar dari rumah. Sekiranya pasangan ini tidak mampu untuk berdikari untuk hidup diluar rumah gadang, maka pasangan yang paling  kukuh ekonominya yang akan keluar dahulu.  

Hidup dengan percampuran beberapa keluarga di dalam sebuah rumah tidaklah menjadi pertengkaran, kerana masing-masing menjaga adab di dalam rumah yang sedia difahami. Sekiranya mempunyai tetamu, batas tempat meraikan tetamu hanya sebatas kawasan di hadapan bilik keluarga yang menerima tetamu sahaja. Walaupun semua keluarga memasak di dalam dapur yang sama, tetapi alatan memasak dan ketuhar adalah tidak bercampur, masing-masing menggunakan barangan masing-masing. Namun apabila ada tetamu yang datang, maka dirai oleh seluruh keluarga. Ketika keluarga yang menerima tetamu sedang sibuk melayan tetamunya, keluarga lain akan mempersiapkan makan, minum untuk dihidang. Menurut mereka, tetamu ialah rahmat yang dihantar Ilahi untuk memberi barakah kepada seisi rumah kerana itu layanan yang diberi istimewa. Persis budaya kaum Arab sahaja yang terkenal memuliakan tetamu. Berbeza dengan budaya Malaysia, saat datangnya tetamu masing-masing melarikan diri di dalam bilik! 

Adat Perpatih banyak memberi kelebihan kepada kaum wanita. Rumah Gadang juga lebih memberikan hak kepada wanita. Selalunya apabila pasangan berkahwin, mereka akan berpindah ke Rumah Gadang keluarga si wanita, kerana ada hak si wanita di rumah tersebut. Dalam soal pembahagian harta juga, kaum perempuan lah yang mendapat bahagian bukannya kaum lelaki, kerana adat yang cukup menjaga kaum perempuan kerana menurut mereka, lelaki tentu mampu sahaja mencari nafkahnya sendiri sekiranya berlaku masalah penceraian sebagai contoh, tetapi pasti sulit bagi perempuan. Mereka juga menggunakan dalil hadith Nabi bagaimana Nabi menyebut tiga kali , “ibumu, ibumu, ibumu … kemudian barulah ayahmu”. Namun tentunya pendapat adat ini boleh diperbahaskan dari konteks syara`  yang agak kontradik. 


Rumah Gadang


 Kaum lelaki hanya menjadikan rumah sebagai persinggahan sahaja. Seawal umur 10 tahun, anak-anak lelaki sudah membiasakan diri untuk hidup di surau. Di suraulah tempat anak-anak lelaki bersosial, belajar agama, pidato dan bermain di pagi hari, manakala di malam hari diajar pula dengan seni bela diri, silat. Hal inilah yang akan membina peribadi yang teguh di dalam diri lelaki-lelaki Minang! Dapat difahami, fungsi surau dalam masyarakat Minangkabau sangat unik dan meluas sehingga terlibat dalam pembinaan karakter peribadi masyarkatnya. Menjelang usia belasan tahun pula, secara tradisinya lelaki-lelaki ini akan keluar mengembara keluar dari tanah Minangkabau, mengutip pengalaman di negeri orang. Suatu malu yang besar sekiranya kurang tiga tahun sudah balik ke kampong halamannya semula, kerana tanda tak mampu mandiri di tempat orang! Jika disoroti tulisan Hamka di dalam buku Kenang-kenang Hidup, beliau bercerita bagaimana beliau membina kebolehan berpidatonya melalui pidato adat dan kaba yang beliau pelajari ketika di surau. Beliau juga berkelana beberapa kali dalam hidupnya termasuk ke Padang Panjang dan Pulau Jawa yang mana beliau berguru dengan ramai tokoh pada masa tersebut seperti  Bagoes Hadikoesoemo, HOS Tjokroaminoto, Fakhruddin dan Suryopranoto juga Ahmad Rasyid Sutan Mansur yang akhirnya menemukannya dengan pergerakan Muhammadiyah. 


Masjid Asasi Nagari Gunung (Gambar google)



Janji 3 hari


"Di sini, kalau ingin berkahwin perempuan yang akan meminang si lelaki." ujar Pak Irfan, seorang pegawai pendidikan Indonesia, merupakan anak jati Minang yang bersama sepanjang lawatan kami.

“Kerana adat yang memperakui nasab pada wanita, jika seorang lelaki Minang berkahwin dengan wanita yang bukan Minang, maka nasab beliau akan terputus dengan keluarga besarnya. Tetapi sekiranya wanita Minang yang berkahwin dengan lelaki yang bukan Minang, nasab keturunannya masih diperakui dan bersambung dengan keluarga besar” tambah beliau.

“Kalau begitu, bolehlah wanita Minang berkahwin dengan lelaki Malaysia?” Soal seorang ahli rombongan teruja.

“Ya, boleh sahaja. Di sini ramai wanita yang belum bernikah kerana lelakinya ramai yang merantau. Kalau mahu, dalam masa 3 hari sahaja boleh diuruskan”. Jawab Pak Irfan optimis.

“Wah 3 hari….” Kami masing-masing terbeliak dan tersengih-sengih mendengar tawaran Pak Irfan.

              


Lawatan ke Pesanteran Syeikh Ahmad Khatib Minangkabawi


Pesanteran yang baru dibangunkan di bahagian Sumatera ini berbanding Darul hikmah dan Kuliyatul Muballighin. Pandangan pertama berkenaan pesanteran ini sedikit berlainan suasananya. Lebih nampak “tsiqah” dan “tawaduk”. Setelah berborak dengan mudir pesanteran ini bahawa beliau merupakan lepasan Universiti Madinah, dapatlah kami mengagak mengapa perilaku murid-muridnya begitu. Apa yang menarik mengenai pesanteran ini ialah pada tokoh yang disandarkan namanya pada pesanteran ini, iaitu Syeikh Ahmad Khatib Minangkabawi . Siapakah beliau ini ? Apa istimewanya sumbangan beliau. Agak asing nama beliau pada pengetahuan umum khususnya kita rakyat Malaysia. Mudir pesanteran ini juga memberitahu bahawa lawatan kami merupakan seumpamanya dari Malaysia.

Syeikh Ahmad Khatib merupakan anak jati Minangkabau yang berhijrah ke Makkah dan tidak pulang-pulang selepas itu. Beliau menetap di sana dan menjadi ulama besar di sana. Apa menarik tentang Syeikh Ahmad Khatib ini ialah beliau mempunyai perhubungan dengan buya Hamka melalui ayahnya iaitu Abdul Karim Amirullah (Haji Rasul).  Rupanya, Syeikh Ahmad Khatib merupakan murabbi disebalik lahirnya tokoh-tokoh pembaharuan di tanah Melayu khususnya di Indonesia. Beberapa tokoh besar mendapat didikan langsung beliau semasa di Makkah termasuklah Abdul Karim Amirullah sendiri, Syaikh Ibrahim Musa Parabek, Syaikh Jamil Jambek, Syaikh Hassan Maksum dan dua pendiri organisasi besar Indonesia, Nahdatul Ulama (NU) dan Muhammadiyah iaitu K.H Hasyim Asy`arid dan K.H. Ahmad Dahlan.



Maahad Tahfiz Syech Ahmad Chatib Al Minangkabawi





Kelok 44 Menuju Danau Maninjau.


Laluan perjalanan menuju Danau Maninjau agak mencabar kerana perlu melalui jalan bukit yang tinggi dan kemudiannya turun ke danau tersebut. Sebelum sampai, kenderaan akan melalui lekok bersimpang siur yang mempunyai empat puluh empat alur pusingan jalan yang dikenali dengan Kelok empat puluh empat. Jalan ini mengingatkan kepada struktur jalan yang sama ketika hendak ke Cameron Highland. Bagi yang tidak betah, tentunya akan mula pening kepala atau muntah-muntah. Tetapi rombongan kami tiada pula yang mengalaminya. Pemandangan di kiri dan kanan saat melalui jalan ini sangatlah mengkagumkan setiap mata yang memandang, hijau dan mempesonakan, kami terlalu asyik dengan keindahan semulajadi sekeliling hingga terlupa seketika kegelisahan terhadap sebarang kebarangkalian melalui jalan yang curam.   

Kami diberitahu tanah-tanah di sekitar Sumatera ini terdiri daripada tanah adat, jadi sukar sekali untuk pemaju masuk ke dalam kawasan ini. Sebab itu, keindahan semula jadinya belum banyak yang terusik. Suatu situasi yang pada kami sangat menarik ialah bagaimana ketertiban pemandu-pemandu ketika melalui jalan yang agak berbukit-bukit dan bersimpang siur ini. Ada kala apabila melalui jalan yang sempit akan bertembung dua kereta dari kedua belah arah, kerana jalan yang ada cukup untuk satu kereta sahaja. Keadaan seperti ini sepatutnya jika di Malaysia akan menjadikan aliran traffic hura-hara, bingit bunyi hon dan mungkin saja mengundang kemalangan. Lain keadaan di sini, menurut Pak Irfan, pemahaman pemandu di sini bahawa orang yang di atas haruslah memberikan laluan kepada orang yang dibawah katanya berdasarkan pemahaman orang sini terhadap pujangga adat yang menyuruh demikian. Jadi perjalanan yang kami lalui sangat lancar dan teratur walaupun melalui jalan yang curam dan bersimpang siur.

Hebat sungguh detik hati saya, bagaimana kerana kukuhnya berpegang mereka dengan apa yang diajar oleh adat, hal traffic pun boleh diatur dengan baik tanpa berhabisan memikir alternatif membina jalan yang lebih besar yang memakan belanja yang besar. Negara kita sangat miskin adab dan ketertiban saat berada di jalan raya, mungkin kerana itu walaupun lebuh raya semakin luas dibina tetapi kemalangan tetap sahaja tinggi. Kerana bukan lagi salah infrasuktur tetapi kerosakan adab dan tatasusila pengguna yang tidak pernah diupgrade. Kami selamat tiba di Desa Maninjau pada waktu Maghrib.

Pemandangan Maninjau dari atas

Kelok 44


Halilintar dari Semenanjung


Sedang kami menikmati pemandangan malam di Danau Maninjau, kami dikejutkan dengan berita yang telah mulai tersebar di Whatsapp dan juga facebook tentang kewafatan Al marhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mursyidul Am Parti Islam seMalaysia (PAS). Antara percaya atau tidak percaya, kami bersabar dahulu kerana bukan sekali dua berita palsu seumpama ini disebarluaskan. Namun, jam lebih kurang 9 malam waktu tempatan, telah disahkan melalui laporan rasmi tentang meninggalnya Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz akibat barah prostat. Baru tadi kami berbual-bual mengenai topik hangat dalam parti ketika itu yang melibatkan konflik golongan ulama dan Pasma, tiba-tiba terpaksa menelan pula pahitnya kehilangan orang yang paling dihormati di dalam parti. Seorang pemimpin, murabbi dan lagenda politik tanah air yang mana pemergiaannya akan terus dikenang. Ada semacam kesedihan yang menyerap masuk di dalam diri tanpa dipaksa, ada suatu rasa kehilangan yang terpaksa direlakan. Rupanya ramai juga berkongsi rasa yang sama berdasarkan tulisan-tulisan di media-media sosial.


Walaupun orang seumpama Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz merupakan permata yang hanya hadir sekali dalam seumur hidup, tetapi janganlah dibiarkan sahaja legasi pemikiran dan ketokohannya dibiarkan begitu sahaja. Umpama Hamka, daripada beberapa pondok yang berkaitan dengan buya Hamka seperti Kuliyatul Muballighin dan Darul Hikmah, mereka optimis dengan pendidikan yang disusun bahawa mereka akan mencetak “Hamka-hamka  kecil” yang akan memberi impak terhadap masyarakat mereka. Semangat ini yang saya kira perlu dibawa pulang dan kita perlulah mencetak pula tokoh-tokoh negara yang hilang supaya legasi mereka akan terus kekal walaupun selepas kematian. 

Tuesday 17 March 2015

Travelog Sumatera Barat : Menjejak Hamka.

Trevelog (Part 1)

Menjejak Sumatera Barat


Untuk beberapa minggu sebelumnya, tarikh ini amat dinanti-nantikan. Hal ini kerana, ini merupakan trip saya yang pertama untuk ke luar negara. Ya, setelah 23 tahun, baru kalini diberi peluang untuk merentas sempadan geografi negara walaupun cuma di negara jiran Indonesia. Keterujaan bertambah apabila trip yang akan disertai bukanlah berhasrat sekadar makan angin begitu sahaja tetapi bertujuan untuk menjejak seorang tokoh yang amat saya kagumi baik dari segi penulisannya, peribadi dan perjalanan hidup beliau, iaitu Prof Dr. Hamka! 

Ditambah pula ketika ini filem “Tenggelamnya Kapal Van der Wijck” hasil adaptasi dari novel beliau baru beberapa bulan ditayangkan di Malaysia. Masih menjadi buah mulut orang ramai hingga novel asal tulisan-tulisan beliau kembali terjual laris di kedai-kedai buku, serta semakin ramai juga yang ingin mengenal siapakah disebalik nama seorang Hamka.  

Tetapi saat menghampiri masa untuk bertolak, bertubi-tubi tugasan akademik sebagai pelajar sarjana yang perlu diselesaikan hingga tidak sempat meneliti butir-butir perjalanan program di sana yang akan mengambil masa dalam lima hari. Mujur sahaja pensyarah penyelia bermurah hati memberi cuti tanpa banyak soal. Pokoknya saat terbang ke sana saya tidak menjangkakan apa yang akan menanti di sana lantaran persediaan yang kelam kabut.

Hari kejadian seramai 29 orang peserta telah terbang ke Sumatera Barat dengan selamatnya. Perjalanan yang hanya memakan masa kurang lebih satu jam, iaitu kurang dari masa perjalanan ke Sabah dan Sarawak memberi tanggapan betapa hampirnya Indonesia dengan Malaysia. Saya menanti dengan sabar ketika di atas kapal terbang, dibalik kepulan awan yang sangat memutih, apakah yang berbeza pada tempat orang yang sebenarnya sangat hampir dengan negara sendiri tetapi dipisahkan dengan “tembok” lukisan sempadan geografi. Seperti apa bezanya? Sejauh mana kesan itu terhadap semua perkara ; ekonomi, sosiobudaya mahupun politik.   

  Setibanya di Lapangan Terbang Sumatera Barat yang mana strukturnya boleh dikatakan agak sederhana, namun saya tertarik dengan kemegahan lapangan terbang ini yang dilihat melalui reka bentuknya yang mengambil ciri rumah tradisi Minangkabau (rumah gadang), dapat dilihat melalui elemen yang cukup prolifik pada struktur bumbungnya yang melengkung. Nilaian pertama saya terhadap tanah ini ialah mereka cukup berbangga akan nilai seni bina tinggalan pusaka yang diwarisi nenek moyang mereka! Dan itu rupanya adalah bangunan pertama kepada ratusan mahupun ribuan binaan bangunan-bangunan lain yang mempunyai elemen tradisional Minangkabau ini. Boleh dikatakan sepanjang perjalanan, dapat dilihat bangunan seperti balai polis, pejabat-pejabat kerajaan, rumah-rumah, kedai-kedai mahupun hospital didirikan dengan elemen rumah Gadang ini. Bucu lengkung pada bumbung-bumbung bangunan megah menjulang ke langit, bagai mengisyaratkan “pemodenan” globalisasi belum mampu menembusi bumi kelahiran adat Minangkabau, Sumatera Barat ini.     

Selepas menjamu selera, perjalanan diteruskan ke Pesanteran Darul Hikmah Padang Panjang yang mengambil masa lebih kurang dua jam perjalanan. Sempat berhenti sebentar di Air Terjun Lembah Anai yang merupakan salah satu tarikan di sini untuk mengambil gambar.


Bandar Udara Internasional Sumatera Barat.


Pesanteran Darul Hikmah & Kuliyyatul Muballingin ; Pembinaan Generasi Baru “Hamka”
 

Buya Hamka menerima pendidikan awal di Sekolah Dasar Meninjau hingga darjah dua. Ketika berusia 10 tahun, bapanya mendirikan sekolah Thawalib di Padang Panjang. Beliau bersekolah di Thawalib yang didirikan oleh ayah beliau sendiri iaitu Haji Karim Amirullah. Beliau tidak menghabiskan pelajaran beliau dan berhenti ketika berumur 14 tahun. Kemudiaannya, pada tahun 1929, iaitu ketika beliau berumur awal 20-an, beliau menjadi guru agama di Padang Panjang. 

Kami tiba di Pesanteran Darul Hikmah Padang Panjang lewat petang. Pesanteran Darul Hikmah ini menjadi tempat bermalam kami pada malam pertama. Sungguh tidak disangka-sangka, sambutan kedatangan kami diraikan penuh istimewa oleh warga Pesanteran. Kami disambut dengan paluan gendang, pertunjukan silat dan adat memakan daun sirih oleh semua warga sekolah, terasa bagai tetamu VIP sungguh! Pada waktu malamnya kami diperkenalkan serba sedikit mengenai latar belakang Pesanteran Darul Hikmah ini, disamping diselangi dengan persembahan pelajar-pelajar Pesanteran di sini. Banyak perkara yang menarik mengenai Pesanteran ini yang belum pernah saya temui di Malaysia.


Saat rombongan disambut


            Pertama Pesanteran Darul Hikmah, Padang Panjang ini merupakan sekolah berasrama penuh swasta. Berdirinya sekolah ini hasil usaha alumni Thawalib/Kuliyatul Muballighin serta infak beberapa orang hartawan. Pesanteran ini hanya mempunyai jumlah murid sekitar 80 lebih yang semuanya lelaki, sangat sedikit berbanding sekolah-sekolah di Malaysia. Strateginya, jumlah yang sedikit adalah untuk memberi fokus kepada kualiti pelajar-pelajar mereka. Tentang kualiti, saya cukup tertarik bagaimana mereka mempersiapkan pelajar-pelajar mereka kearah kualiti yang mereka tetapkan. 

              Di sini mereka diajar mengikut sukatan akademik di sekolah, manakala di asrama mereka diajarkan pula kitab-kitab turath agama, selain perlu menghafaz al Quran. Untuk mempersiapkan pelajar-pelajar ini menjadi pendakwah yang memberi impak kepada masyarakat, mereka  diajar bertutur tiga Bahasa lain, selain Bahasa Melayu Indonesia, iaitu Bahasa Inggeris, Bahasa Arab serta Bahasa Mandarin. Nyata mereka serius dalam soal memperkasakan Bahasa ini sehingga pelajar-pelajar ini dihantar ke Mesir, China serta Singapura dan Malaysia dalam program mobilasi untuk memperkukuhkan penggunaan bahasa-bahasa tersebut. Malalui persembahan pelajar kami dipertontonkan kebolehan pelajar untuk menterjemahkan Al Quran dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Mandarin. Saya juga melihat, pelajar-pelajar ini berkomunikasi dengan guru mereka dalam Bahasa Inggeris. Kagum.. ! 

                Bukan itu sahaja, pelajar juga dilatih supaya fasih dalam bersyarah dan berpidato melalui rutin “kuliah tujuh minit selepas Maghrib” dan juga pidato pada perhimpunan pagi. Dikhabarkan pada bulan Ramadhan, pelajar-pelajar ini akan bertebaran di masjid-masjid di serata Indonesia untuk memberikan tazkirah dan kuliah! Diwajibkan untuk setiap pelajar sebagai salah satu syarat untuk tamat sekolah. Dapat diperhatikan juga, hubungan antara guru dan murid mereka sangat akrab.     


Pelajar Menyampaikan Kultum. Tajuk berkenaan cabaran umat Islam
  
            Malam hari kami tidur di Pesanteran Darul Hikmah, mungkin kerana keletihan, tidur kami nyenyak sekali, ditambah pula angin semulajadi yang sangat nyaman. Pagi hari, iaitu masuk hari kedua barulah kami perasan pemandangan indah yang mengelilingi Pesanteran ini. Padang Panjang tempat berhimpun dua gunung iaitu Gunung Singgalang dan Gunung Merapi, pemandangan ketika matahari terbit memang sangat mengasyikkan. Kemudiannya kami meninggalkan Pesanteran dan menuju ke kompleks pendidikan Muhammadiyah Padang Panjang khusus untuk melawat Madrasah Aliyah Kuliyatul Muballigin atau lebih dikenali dengan KM. 


                  Jika di darul hikmah hanya menumpukan sekolah menengah rendah, kompleks pendidikan ini merangkumi semua lapisan pendidikan bermula dengan tadika, sekolah menengah rendah, menengah Aliyah dan juga universiti! Dari banyak segi, elemen yang diterapkan oleh pendidikan KM lebih kurang sama dengan Darul Hikmah. Fokusnya, memupuk kebolehan multidisiplin pelajar, gabungan akademik, hafalan quran, pidato, bahasa-bahasa asing selain diterapkan pula elemen adat-adat Melayu seperti seni silat dan menari adat juga kemahiran hidup seperti menukang. Untuk pelajar perempuan diajar untuk boleh memasak! KM  mendapat sokongan penuh alumninya dari segi dana di mana sekolah ini juga merupakan sekolah persendirian yang tidak mendapat dana kerajaan. Lebih istimewa lagi, guru-guru di sini semuanya merupakan alumni KM sendiri! Selain itu, KM mempunyai sejarah yang berhubung terus dengan Buya Hamka di mana Buya Hamka pernah menjadi guru besar di sekolah ini dahulu. Diceritakan oleh anakanda Buya Hamka iaitu Irfan Hamka, beliau dilahirkan ibunya di kediaman guru di KM.

Universiti Muhammadiyah Sumatera Barat dan Kuliyatul Muballighien


               Semangat Buya Hamka diteruskan oleh generasi beliau seterusnya iaitu mereka yang pernah menjadi murid beliau kemudian bersambung-sambung hingga ke hari ini. Menyaksikan bagaimana bersungguh mereka melalui elemen pendidikan yang disusun, yang mengambil kira pelbagai aspek pembinaan diri meliputi akademik, agama, bahasa asing, penulisan, kemahiran hidup, di samping diperteguh dengan warisan adat dan budaya. Saya melihat dalam rangka masa bermula 10 tahun akan datang, Indonesia tidak akan ketandusan pemimpin malahan sedia mempersiapkan bakal-bakal tokoh yang akan mengukir nama dalam sejarah peradaban bangsa!  
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...