Seharian di Danau Maninjau.
Harini
masuk hari ketiga di Sumatera. Berpagian di Danau Maninjau merupakan antara
momen yang taajub terhadap keindahan alam ciptaan Ilahi. Bayangkan membuka
jendela dengan menghadap bukit-bukau menghijau, kepulan kabus yang menutup
pandangan , jernih air tasik yang terbentang, burung-burung terbang ke sana
sini. MasyaAllah, nikmat yang sangat indah. Alam semulajadinya yang
mententeramkan hati, memberi khayal kepada sang pemuisi dan ilham kepada seniman
yang kaya dengan rasa. Buya Hamka menulis sendiri di dalam tulisan-tulisannya
bagaimana indahnya kampungnya ini, antara kata beliau, “Telah aku mengembara ke
serata dunia, tetapi tiada yang seindah kampong halamanku, Danau Maninjau”. Pak
Soekarno juga ada menyebut perihal keindahan Danau Maninjau di dalam rangkap
pantun beliau. Harini saya mengesahkan dakwaan-dakwaan tersebut dengan mata
kepala sendiri, tiada apa yang berlebihan dengan pujian-pujian terhadap
Maninjau melainkan benar belaka.
Pemandangan saat membuka jendela |
Lawatan
kami hari ini melawat tiga tempat iaitu rumah haji Karim Amirullah, rumah buya
hamka dan seterusnya akan ke Pesanteran Buya Hamka yang terletak di sekitar
Desa Maninjau ini. Hentian pertama kami pergi ke rumah haji Karim Amirullah
iaitu bapa Hamka. Kedatangan kami disambut oleh cucu buya Hamka yang sudah
berumur sekitar 80 tahun. Teruja kami mendengar penerangan langsung daripada
beliau berkenaan Buya Hamka. Walaupun ada satu dua penerangan yang kontradik
dengan buku yang ditulis oleh buya mengenai dirinya dalam tajuk “Kenang-kenang
Hidup”, namun pengolahan yang langsung dari sumber yang pernah hidup sezaman,
bagai terasa hidup sosok yang selama ini hanya saya baca karya-karya sahaja.
Bapa hamka juga bukanlah calang-calang orang, beliau antara golongan kaum muda
yang bertanggungjawab membuat perubahan terhadap pemahaman agama di Indonesia.
Beliau diiktiraf oleh Universiti Al Azhar sehingga diberi anugerah terhormat,
dan hingga kini kitab-kitab karangan beliau masih digunakan dalam pembelajaran
di sana. Bapa Hamka, yang juga dikenali sebagai haji Rosul juga merupakan guru
kepada Soekarno yang kemudiaanya rapat dengan Hamka sebelum memenjarakannya
pula.
Seterusnya,
kami menuju pula ke rumah Buya Hamka, rumah yang suatu ketika tidak diusahakan,
tetapi hasil usaha Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang menaja
pemuliharaan bengunan tersebut, kini berbondong-bondong orang ramai datang
menjadikan kediaman tersebut sebagai tempat yang wajib dilawati. Ketibaan kami
kalini di jemput oleh Pak Ahmad Rashid, anak kepada Sutan Mansur, anak murid
kesayangan ayahnya yang dikahwinkan dengan kakak Hamka. Kami kemudiaannya
mendengar pula penerangan daripada beliau berkenaan hikayat hidup Hamka. Poin
tambahan yang saya peroleh dalam rangkuman kisah yang beliau ceritakan ialah,
kehidupan awal kanak-kanak Hamka yang agak “ganjil” dalam pembentukannya
sebagai seorang tokoh iaitu ketika zaman kanak-kanak merupakan seorang yang
sangat nakal dan dilihat tidak akan mempunyai masa depan yang cerah kerana
hanya bersekolah sekadar pada umurnya 14 tahun. Zaman kanak-kanak Buya Hamka
menjadi sedemikian selepas perpisahan bapa dan ibunya. Jiwanya memberontak dan
kenakalannya yang dizahirkan.
Namun
menurut penerangan yang diberi yang mana saya juga bersetuju, kerana kenakalan
buya Hamka pada zaman kanak-kanaknya inilah beliau sebegitu berani untuk
mengkritik dan berhadapan dengan idealisme komunisme yang di bawa oleh
Soekarno, yang menatijahkan beliau dipenjara.
Yang mana kemudiaanya kita tahu, di dalam penjara itulah beliau
menyelesaikan tulisan tafsir al quran lengkap Bahasa Melayu, satu seumpamanya
di nusantara ini. Poin lain yang menarik perhatian saya ialah perihal isterinya
yang jarang diungkapkan oleh mana-mana tulisan. Buya Hamka selalu berbincang
dengan isteri beliau dan beberapa tindakan beliau juga atas nasihat yang
diterima oleh isteri beliau, seperti penolakan tawaran untuk menjadi duta bagi
Arab Saudi, kerana menurut isterinya beliau akan menjadi orang besar yang
terlalu sibuk hingga akan menganggu rutin membaca al quran dan solat
tahajudnya.
Kami
kemudian terus ke Pesanteran Buya Hamka yang kedudukannya terletak di atas
bukit. Kami terpaksa diangkut dengan lori pick
up kerana bas yang kami naiki tidak mampu dibawa ke atas. Di sana, seperti
pesanteran-pesanteran yang lain, sambutannya sangat luar biasa. Ramah, manis
muka dan hidangan-hidangan yang enak sebagai menerima kunjungan kami. Tetamu
dari Malaysia sangat dialu-alukan seperti kunjungan saudara jauh yang sudah
lama tidak ketemu. Menurut penerangan wakil pesanteran, mereka sangat terhutang
budi dengan warga Malaysia khususnya ABIM dan Universiti Kebangsaan Malaysia
(UKM) yang memberi bantuan dalam pembinaan pesanteran tersebut. Pesanteran ini
baru dibina kembali selepas pesanteran yang lama musnah kerana gegeran gempa
bumi yang melanda wilayah itu sekitar 5 tahun lepas.
Kami
berpeluang bersembahyang Jumaat di masjid situ. Terkagum melihat khatib pada
hari itu ialah pelajar pesanteran mereka sendiri yang hanya berumur sekitar 15
tahun, namun pengisian khutbah yang di sampaikan tanpa melihat teks itu cukup
bernas dan penuh wibawa. Selepas berkenalan tambah terkejut apabila mengetahui
pelajar tadi berasal dari Malaysia. Rupanya terdapat tiga orang pelajar yang
berasal dari Malaysia yang rata-rata merupakan anak kepada pimpinan ABIM.
Melalui penerangan wakil pesanteran, ciri pendidikan yang disusun oleh
pesanteran ini lebih kurang sama sahaja seperti pesanteran-pesanteran lain
iaitu adanya unsur akademik, agama, hafalan quran dan mengekalkan khazanah adat
budaya Minang yang sesuai. Pulang kami dari pesanteran ini, maka berakhirlah
lawatan bersifat ilmiah kami. Memang banyak sungguh khazanah ilmu yang
diperolehi sepanjang tiga hari ini.
Pesanteran Buya Hamka, Maninjau |
Petang
itu dihabiskan dengan menaiki bot merentasi tasik Danau Maninjau. Dikatakan
Danau ini merupakan hasil letusan gunung berapi yang terhasil berkurun lama
dahulu. Kalau dilihat struktur fizikal disekelilingnya, ada logik terhadap
dakwaan tersebut. Pemandu bot berkongsi perihal yang berlaku yang kawasan
tersebut. Menurut beliau, dahulunya sumber pendapatan masyarakat di tempat itu
ialah melalui pertanian semata. Kerana, kurangnya potensi untuk melakukan
pekerjaan lain, maka ramailah yang berkelana. Harini katanya, bermula beberapa
tahun kebelakangan ini, penduduk di sini telah memulakan pengusahaan
penternakan kolam ikan. Penternakan kolam ikan ini walau bagaimanapun telah
menyebabkan air tasik sekarang, tidak lagi sejernih dahulu menurutnya.
Begitulah kerana survival dan ekonomi
manusia, alam semulajadi jugalah akhirnya yang terpaksa “toleransi”.
*kredit foto : diri sendiri, google, kiera ishak
No comments:
Post a Comment