Alhamdulillah setinggi kesyukuran ke
hadrat Ilahi
Atas limpah rahmatNya dapat juga saya
bergraduasi pada masa yang ditetapkan.
Mood konvokesyen memang memberi
kegembiraan yang sukar diungkap. Wajah girang ibubapa yang merasakan
pengorbanan mereka berbaloi tatkala melihat anak tersayang memakai jubah dan
topi empat segi, pensyarah yang tersenyum ceria melihat anak-anak muridnya satu
per satu menerima skrol. Oh perhatikanlah riak wajah mereka waktu itu!
Istiadat konvokesyen meraikan kejayaan
seseorang pelajar itu bergraduasi setelah menyelesaikan kursus yang diambil
dalam masa yang ditetapkan. Hal ini memberi suatu perlambangan seolah
Universiti sudah merestui graduan untuk berkhidmat kepada masyarakat.
"Berkhidmat" dalam skop yang mudah diterangkan sebagai "bekerja
tetap dan mempunyai pendapatan yang stabil", walaupun
"berkhidmat" itu tidaklah sesempit itu pengertiannya.
Boleh dikatakan antara tujuan utama
seseorang belajar ke tahap yang tinggi ialah untuk mendapatkan pekerjaan yang
tetap dan gaji yang lumayan. Untuk mencapai tujuan tersebut, segulung ijazah
ialah "tiket" yang dikejar-kejar dengan penuh bersungguh. Apa
tidaknya ijazah inilah yang menjadi kunci seorang yang berlatarbelakang
keluarga yang biasa-biasa untuk berdiri sama tinggi dengan golongan elit.
Pengubah taraf sosial ke tahap lebih baik !
Mungkin kalau dahulu sekitar 70an, 80an
seorang graduan bertaraf ijazah itu begitu dipandang tinggi dan dihormati
kerana masa itu keluaran graduan dari universiti kecil bilangannya. Peluang
kerja dan gaji yang besar menanti para graduan. Seiring masa berlalu,
pertumbuhan IPTA/IPTS yang begitu banyak bak cendawan selepas hujan menyebabkan
graduan ijazah sarjana muda yang dikeluarkan setiap tahun amat besar
bilangannya hingga akhirnya menatijahkan masalah lambakan graduan yang akhirnya
membawa kepada bilangan pengangguran yang tinggi. Seseorang yang mempunyai
ijazah pada masa sekarang bukan lagilah suatu keistimewaan bahkan suatu
kebiasaan.
Suara-suara rungutan banyak sudah
kedengaran daripada rakan-rakan tentang masalah memperoleh pekerjaan. Mana
tidaknya, rata-rata mahukan yang sudah punya pengalaman. Hingga kalangan
rakan-rakan dari kos kritikal seperti perubatan yang dahulunya selesa turut
rungsing akan peluang kerja yang sangat tinggi kompetensinya. Itu belum kira
soal gaji yang tidak setimpal dengan keperluan masa kini. Hendak fikir punyai
kereta rumit sekali, rumah? jauh sekali!
Kehidupan selepas graduasi memang
"menakutkan", gelaran graduan bukan lagi jaminan untuk terus
menikmati kehidupan yang selesa. Perlu lagi mendaki untuk mengharungi cabaran
baru yang lebih mencabar. Dalam suasana hiruk pikuk dunia yang membingitkan,
saya pilih untuk terus mempersiapkan diri bersembunyi di bawah gelaran
"mahasiswa", mudah-mudahan kelak ilmu yang dituntut pada peringkat
lebih tinggi ini memberi kesan yang lebih baik pada masyarakat.
Teringat satu kata-kata :
“Mengharap
habuan dunia menjadikan manusia hina, Sedang mengharap habuan akhirat, dunia
akan mengekori penuh hina.”
credit photo : majalah aspirasi ukm
No comments:
Post a Comment