Tuesday 17 February 2015

Almarhum TGNA - Permata Yang Hilang

Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat ulama` rabbani.

Detik Khamis malam ketika sedang berada di Sumatera Barat (12.2.2015) dikejutkan dengan berita pemergian Almarhum ke Rahmatullah setelah bertarung dengan penyakit barah prostat. Berita ini menyentak hati ini membayangkan perginya ulama kesayangan ramai ini. Belum berkesempatan saya menemui beliau secara personal, hanya melihat beliau secara live sekali atau dua kali pada majlis ijtima PAS di mana beliau ketika itu pun sudah uzur. Selebihnya hanya mengikuti almarhum melalui video-video di youtube atau live streaming. 

Beliau antara figure yang saya hormati dan sanjung lantas memberikan kepercayaan kepada PAS, dan percaya konsep kepimpinan ulama merupakan suatu konsep siyasah yang bukan hanya meraih kejayaan di dunia bahkan membawa redha Ilahi. Beliau dan perjuangan PAS seakan sebati dan seiring, lebih-lebih lagi untuk orang yang lahir tahun 90an yang mana lahir-lahir beliau sedahpun menjadi menteri besar Kelantan. Mungkin boleh dipersoal tentang "pembangunan" Kelantan sepanjang beliau memerintah, tetapi bak kata naqib, jasa terbesar beliau pada landskap politik mahupun pembangunan negara ialah pada pembangunan pemikiran. Membina pemikiran selaras tuntutan syara` dan membawa visi akhirat.
Memetik kata Dr Hafidzi, saat akhir hidup seseorang itu barulah kita dapat mengerti bahawa beliau sesungguhnya seorang ulama rabbani yang disebut sebagai ulama pewaris nabi. Beliau kekal istiqamah, ilmunya setanding amalnya, hanya tertinggalkan solat tahajud hanya 2 kali yang amat dikesalinya. Menjadi contoh pemimpin Islam yang zuhud serta membawa kepada contoh politik Islam yang sedaya mencontohi kepimpinan baginda nabi Muhammmad saw. 

Sentiasa teguh mengatakan yg Haq terhadap sesiapa sahaja tanpa risau akan balasan yang akan dihambur manusia kepadanya. Walaupun tidak pernah muncul di TV, melainkan muncul untuk dipersenda dan difitnah media.. Namun, di penghujung hayatnya diberi pula liputan penuh pengkebumiannya dan dibongkarkan segala kebaikannya sekaligus memadamkan fitnah dan tohmahan yang dilemparkan. Kebaikannya tidak henti-henti disebut, pemergiannya ditangisini segenap manusia. 

Disingkap pula sisi romantis beliau oleh isterinya. Sabda Nabi, Orang yang paling beriman di antara kamu ialah yang paling baik terhadap isterinya. MasyaAllah rupanya begitu hebat kasih dan cinta beliau pada isterinya. Cerita lain yang membuatkan bertakung air mata saya ialah cerita daripada adik Muhammad yang dahulu pernah mewarnai pertandingan akademi quran dan mari mengaji.






Kehilangan ulama ini adalah suatu bencana, bencana pada diri kita yang jahil lagi berdosa ini. Namun, marilah sedaya kita meneladani akhlak beliau. Akan aku kenang keberuntungan dapat hidup sezaman dengan beliau. Selamat jalan bertemu Allah yang engkau cintai wahai Sang Murabbi setelah mewakafkan seluruh kehidupan untuk Islam.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...