Saturday, 24 June 2017

Coret-coret Ramadhan : Menghentikan "automation" ibadah.

Ramadhan kalini mengajar aku satu hal atau perasan satu hal iaitu Ramadhan masa untuk menghayati ibadah dan menghentikan automation dalam ibadah.

Terkadang kerana sudah menjadi tabiat, ibadah yang kita lazimi sudah menjadi suatu automation. Analogi yang saya pinjam dari Sheikh Hamza Yusuf seperti perihal kita memandu. Ingat dahulu saat-saat awal belajar memandu, kita tersangatlah peka akan kereta yang dipandu. Resah, cemas.. Namun pabila sudah expert, kita ibarat As if we are sleeping on the wheels. Start enjin, tekan minyak.. tiba-tiba dah sampai. Hal sama kita dapati dalam ibadah. Solat sebagai contoh, kadang kala entah ke mana mana fikiran kita saat menghadap Allah, tiba-tiba sudah tahiyat akhir. Adakah ini kualiti ibadah yang Allah kehendaki?

Maka atas rahmatNya Allah dihadirkan bulan Ramadhan. Ramadhan istimewa dengan perintah puasa, ada solat taraweh di sampai ganjaran yang dilipat kali gandakan. Ibadah puasa memberikan kita alert kembali melalui lapar dan dahaga bahawasanya kita  sedang beribadah kepada Allah swt. Sabar dengan mulut yang kering, tenaga yang berkurang, nafsu yang ditekan semata kerana Allah mengembalikan ingat kita pada Allah. Sedang kita akan tahu maghrib nanti pasti akan ada juadah yang menanti untuk dijamah, hikmah menuntut kita untuk berfikir berkenaan fakir miskin yang hal ini sudah menjadi rutin mereka dan berbanding kita, soal makanan samada ada atau tidak belum tentu lagi bagi mereka. Seperti mana juga kita dapat melihat pada kucing di jalanan yang meminta makan, belum tentu lagi akan mendapat makanan, mungkin mendapat sepakan. Di sini terlihatnya satu kualiti yang kita dididik iaitu TAWAKAL.

Kadang dalam hidup walau berkali kita mengucap hamdalah yang bermakna menyerah segala pujian hanya pada Allah dan tahu segala sesuatu hanyalah mampu terjadi atas izin Allah. Tapi kita selalu bodoh menyangka, kejayaan itu adalah hasil kepandaian kita, hasil dari besarnya nilai wang yang kita punya dan hasil usaha keras kita. Sehingga terlupakan Allah lah sebaik baik perancang, pemilik dan penguasa takdir yang dengan kebesaranNya mampu merubah takdir mengikut kemampuannya.

Ramadhan juga menuntut usaha keras pada mengejar malam malam al qadr yang mana digalakkan untuk beriktikaf. Dalam ketidakpastian mana malam al qadr, kita dituntut untuk mengejar kesemuanya. Amalan biasa orang Arab yang juga bersandar kepada Nabi Muhammad saw dan sahabat berterusan iktikaf di dalam masjid di penghujung Ramadhan. Masih janggal hal ini untuk dipraktikkan di masjid masjid Malaysia kerana kalaupun dibenarkan qiam waktu malam pasti paginya akan lengang kerana masing masing bekerja atau masjid memang tidak meriah. Lantas tidak betah untuk bertahan lama di masjid. Cemburu mendengar cerita orang-orang yang bersungguh dalam iktikaf sehingga waktunya cukup untuk hafal beberapa juz Al Quran. Alangkah...

Pada akhirnya karekter sabar ,tawakal serta bersungguh dalam ibadah di bulan Ramadhan, seharusnya juga memberikan impak pada solat dan al quran kita untuk tahun mendatang. Solat teraweh bersungguh untuk didirikan, mengapa solat wajib tidak dilakukan secemerlang itu? Quran juga sentiasa menuntut untuk sekadar dibaca, malahan untuk difahami, dihafaz dan di amalkan.

Madrasah Ramadhan 2017 akan berakhir. Akan saya kenang sebagai Ramadhan yang mana saya duduk di banyak persimpangan dilema seputar hal peribadi. Dan sungguh besar pengharapan saya untuk mencuri barakah Ramadhan kalini untuk manfaat pilihan pilihan hidup yang akan datang. Ramadhan yang Alhamdulillah dikurnia kelapangan masa yang pastinya akan susah untuk diperoleh kembali.

Moga segala amal diterimaNya, memberi kesan dalam kehidupan, diampun segala dosa dan tergolong dalam golongan orang bertakwa.

Akhir kalam penulis mengingatkan diri sendiri dengan pesanan yang diulang kali dengar di akhir Ramadhan,

"Sesiapa yang menyembah Ramadhan ketahuilah Ramadhan akan pergi, Sesiapa menyembah Allah, ia kekal selamanya"

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...