Bermula umur lebih kurang setahun hingga empat tahun
saya dibesarkan oleh datuk dan nenek di kampung, dan saya merupakan cucu sulong
mereka. Kasih sayang seorang datuk dan nenek saya tidak pernah kurang
sebagaimana kasih ibu ayah kepada anak.
Atuk saya dahulunya merupakan seorang yang ceria,
rajin dan menurut ayah sendiri, atuk seorang yang cool dan sporting. Tiap-tiap hari
menjadi rutin hariannya untuk pergi berkebun, mengerjakan kebun di belakang
rumah hingga waktu tengah hari ,dan kebiasaan yang saya ingat atuk akan mengaji
pada petang hari dan pergi sembahyang ke surau pada malam hari. Bertahun
saya membesar bersama atuk, saya gembira melihat atuk sentiasa sihat walau
semakin hari dimamah usia.
Hidup tak selalu indah, langit tak selalu cerah,
aturan qada dan qadar Allah mentadbir alam penuh misteri dan rahsia namun
penuh kebijaksaaan. Suatu malam, kira-kira dua tahun yang lepas atuk diserang
strok melalui serangan tekanan darah tinggi melalui kapilari otak . Komplikasi
kepada serangan itu benar-benar merubah kehidupan beliau. Sejak hari tersebut
pergerakan atuk sangat terbatas, walaupun masih boleh berjalan dan bergerak.
Perubahan yang paling besar yang dihadapi datuk inilah dia telah kehilangan
sebahagian besar memori hidupnya, atau bahasa mudahnya Alzheimer !
Alzheimer merupakan
penyakit yang belum ada penawarnya, banyak perbahasan ilmu berkenaan penyakit
ini dari pelbagai sudut samada perubatan, psikologi dan bidang saya pelajari
biokimia. Biokimia menerangkan bagaimana penyakit Alzhimer berpunca dari tapak
jalan (cascade pathway) insulin yang bermasalah iaitu pada protein kinase GSK 3 yang
berkaitan dengan diabetes. Di samping penerangan popular yang menyatakan laluan
kapilari darah ke otak yang tersumbat menyebabkan tekanan darah tinggi yang
seterusnya merosakkan saluran darah dan mendegradasi neuron.
Psikologi menerangkan bagaimana tingkah laku (behaviour)
pesakit. Banyak yang berubah termasuk percakapan yang sudah tidak lancar,
memori yang celaru dan lain-lain. Paling membimbangkan apabila pesakit tidak
tahu jalan pulang, suatu peristiwa, atuk pernah keluar rumah pada lewat tengah
malam hingga satu kampung mencarinya mujur ada nenek yang sedar akan hal ini
dan anak-anaknya yang tinggal berhampiran. Menjelang subuh atuk dijumpai di
dalam hutan di belakang rumah. "==
Pesakit juga kadang-kadang akan teringat-ingat
kenangan lalu seolah-olah ia berada di zaman tersebut. Pernah sekali ketika
kami sekeluarga ingin pulang ke rumah dari menziarahi atuk, tiba-tiba atuk
berkata kepada nenek , "Imin (merujuk kepada ayah) nak ke mana, kan
rumahnya kat sini" seolah-olah teringatkan ayah yang masih dahulu tinggal
serumah dengan atuk semasa bujangnya.
Pada hari pertama raya ketika takbir raya
berkumandang, atuk teresak-esak menangis sambil memanggil-manggil dan
bertanyakan perihal adik beradiknya yang walhal semuanya sudah lama menghadap
Ilahi. Terbaru, ketika datang ke rumah kami selepas ibu dan ayah pulang dari
Makkah, ketika sembahyang maghrib, saya perhati betapa atuk bersungguh dalam
solatnya, lama sujudnya walau bilangan rakaatnya saya pastikan sudah terlebih
mengikut mahu dan caranya. Kelihatan butir-butir air mata seusai munajatnya
mungkin terkenangan memori indah dahulu ketika dijemput ke tanah suci.
Melihat hidup atuk sebegitu memuhasabahkan diri,
kiranya berada di tempatnya. Sains menerangkan bahawasanya perkara ini
tidak mustahil kerana perkaitan penyakit tadi diturunkan melalui genetik. Apa
mungkin aku akan diuji sebegitu? Apakah dalam kecelaruan dan kehilangan memori
itu nanti masih ada ingat akan pencipta Allah Rabbul Alamin sedang pada masa
sihat ini pun sering alpa dan terlupa akanNya.
Muhasabah..
Muhasabah..
Selamat Hari Bapa, buat Bapa kepada Bapa Saya!
No comments:
Post a Comment