Tuesday, 5 November 2013

monolog selepas graduasi




Alhamdulillah setinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi

Atas limpah rahmatNya dapat juga saya bergraduasi pada masa yang ditetapkan.

Mood konvokesyen memang memberi kegembiraan yang sukar diungkap. Wajah girang ibubapa yang merasakan pengorbanan mereka berbaloi tatkala melihat anak tersayang memakai jubah dan topi empat segi, pensyarah yang tersenyum ceria melihat anak-anak muridnya satu per satu menerima skrol. Oh perhatikanlah riak wajah mereka waktu itu!

Istiadat konvokesyen meraikan kejayaan seseorang pelajar itu bergraduasi setelah menyelesaikan kursus yang diambil dalam masa yang ditetapkan. Hal ini memberi suatu perlambangan seolah Universiti sudah merestui graduan untuk berkhidmat kepada masyarakat. "Berkhidmat" dalam skop yang mudah diterangkan sebagai "bekerja tetap dan mempunyai pendapatan yang stabil", walaupun "berkhidmat" itu tidaklah sesempit itu pengertiannya.

Boleh dikatakan antara tujuan utama seseorang belajar ke tahap yang tinggi ialah untuk mendapatkan pekerjaan yang tetap dan gaji yang lumayan. Untuk mencapai tujuan tersebut, segulung ijazah ialah "tiket" yang dikejar-kejar dengan penuh bersungguh. Apa tidaknya ijazah inilah yang menjadi kunci seorang yang berlatarbelakang keluarga yang biasa-biasa untuk berdiri sama tinggi dengan golongan elit. Pengubah taraf sosial ke tahap lebih baik !

Mungkin kalau dahulu sekitar 70an, 80an seorang graduan bertaraf ijazah itu begitu dipandang tinggi dan dihormati kerana masa itu keluaran graduan dari universiti kecil bilangannya. Peluang kerja dan gaji yang  besar menanti para graduan. Seiring masa berlalu, pertumbuhan IPTA/IPTS yang begitu banyak bak cendawan selepas hujan menyebabkan graduan ijazah sarjana muda yang dikeluarkan setiap tahun amat besar bilangannya hingga akhirnya menatijahkan masalah lambakan graduan yang akhirnya membawa kepada bilangan pengangguran yang tinggi. Seseorang yang mempunyai ijazah pada masa sekarang bukan lagilah suatu keistimewaan bahkan suatu kebiasaan.

Suara-suara rungutan banyak sudah kedengaran daripada rakan-rakan tentang masalah memperoleh pekerjaan. Mana tidaknya, rata-rata mahukan yang sudah punya pengalaman. Hingga kalangan rakan-rakan dari kos kritikal seperti perubatan yang dahulunya selesa turut rungsing akan peluang kerja yang sangat tinggi kompetensinya. Itu belum kira soal gaji yang tidak setimpal dengan keperluan masa kini. Hendak fikir punyai kereta rumit sekali, rumah? jauh sekali!

Kehidupan selepas graduasi memang "menakutkan", gelaran graduan bukan lagi jaminan untuk terus menikmati kehidupan yang selesa. Perlu lagi mendaki untuk mengharungi cabaran baru yang lebih mencabar. Dalam suasana hiruk pikuk dunia yang membingitkan, saya pilih untuk terus mempersiapkan diri bersembunyi di bawah gelaran "mahasiswa", mudah-mudahan kelak ilmu yang dituntut pada peringkat lebih tinggi ini memberi kesan yang lebih baik pada masyarakat.  

Teringat satu kata-kata :

“Mengharap habuan dunia menjadikan manusia hina, Sedang mengharap habuan akhirat, dunia akan mengekori penuh hina.”




credit photo : majalah aspirasi ukm










Friday, 13 September 2013

Tamat satu perjalanan.

Sekian lama tak update blog, otak kering idea menulis dan celaru hala tuju penulisan. Mungkin hanya topik ringan yang ingin diulas berkenaan perkara yang dilakukan dalam senggang masa beberapa bulan lepas.

Cabaran Menyiapkan Thesis.

Dua, tiga bulan lepas merupakan tempoh yang sangat mencabar selama aku bergelar seorang pelajar. Hal ini kerana ia merupakan tempoh-tempoh terakhir dalam tiga tahun aku sebagai seorang pelajar ijazah sarjana muda. Tempoh masa yang menghimpit untuk menyiapkan thesis yang bermasalah disamping memanfaatkan masa yang ada untuk mencipta sebarapa banyak kenangan bersama rakan sekeliling.

Berada di tahun akhir, satu perkara yang akan anda hadapi ialah penulisan thesis, pengalaman yang tidak mudah sama sekali, syarat wajib untuk bergelar seorang graduan. Berbanding rakan yang lain yang mengikut timeframe yang ditetapkan, penulisan thesis aku bermasalah. Satu tahap dikala rakan yang lain sudahpun membentangkan hasil kajian mereka atau istilahnya VIVA, aku masih disuruh masuk kedalam makmal untuk meneruskan kerja-kerja makmal.

Perasaan sangat menjengkelkan dan sudah berapa kali rasanya berada di jurang putus asa. Tetapi putus asa bererti tidak bergraduasi pada tahun ini, akal waras memaksa diri menempuh limitasi diri. Penghargaan juga kepada rakan-rakan yang sentiasa meniupkan kata-kata semangat tidak putus-putus. Akhirnya karya ilmiah pertama dapat juga disiapkan.

Latihan Industri Pula Menanti 

Dalam menyiapkan proses pengeditan thesis, sebenarnya sudah bermula latihan industri dan saya hanya membukukan thesis pada minggu ketiga latihan industri. Latihan industri ini aku tetapkan matlamat untuk satu keputusan besar samada kekal dalam bidang yang aku ceburkan ini atau beralih arah kerana hingga takat ini segalanya masih kabur! 

Alhamdulillah, latihan industri di UMBI memberikan jawapan yang sangat ditagih pada sebuah ketidakpastian. Suasana tempat kerja yang sangat kondusif, membina kefahaman dan jawapan kenapa aku belajar bidang yang aku ceburi selama tiga tahun ini. Suatu kepuasan di hujung jalan dan juga satu kesesalan.

Di Pengakhiran Masa

Tiga bulan yang sangat padat ditambah dengan kehadiran Ramadhan dan Syawal melindungkan hakikat perasaan "Aku sudah dipenghujung jalan di UKM untuk program Ijazah sarjana muda". Banyak perkara yang menjadi bekalan untuk melangkah keluar. Penghargaan dan kesyukuran buat insan-insan yang memberi makna ukhwah dan kehidupan. Moga semuanya memperoleh kejayaan dunia dan akhirat.

Ijazah Sarjana Muda Biokimia UKM,

TAMAT.



  





 *Pada minggu kedua latihan industri seorang lecturer biokimia yang juga mantan ketua program Dr. Amir Rabu meninggal dunia. seorang pendidik yang ikhlas mencurahkan ilmu beliau. Al Fatihah~ 



 

Friday, 14 June 2013

A tribute to Hero






  
Bermula umur lebih kurang setahun hingga empat tahun saya dibesarkan oleh datuk dan nenek di kampung, dan saya merupakan cucu sulong mereka. Kasih sayang seorang datuk dan nenek saya tidak pernah kurang sebagaimana kasih ibu ayah kepada anak. 

Atuk saya dahulunya merupakan seorang yang ceria, rajin dan menurut ayah sendiri, atuk seorang yang cool dan sporting. Tiap-tiap hari menjadi rutin hariannya untuk pergi berkebun, mengerjakan kebun di belakang rumah hingga waktu tengah hari ,dan kebiasaan yang saya ingat atuk akan mengaji pada petang hari dan pergi  sembahyang ke surau pada malam hari. Bertahun saya membesar bersama atuk, saya gembira melihat atuk sentiasa sihat walau semakin hari dimamah usia.

Hidup tak selalu indah, langit tak selalu cerah, aturan qada dan qadar Allah mentadbir alam penuh misteri dan rahsia  namun penuh kebijaksaaan. Suatu malam, kira-kira dua tahun yang lepas atuk diserang strok melalui serangan tekanan darah tinggi melalui kapilari otak . Komplikasi kepada serangan itu benar-benar merubah kehidupan beliau. Sejak hari tersebut pergerakan atuk sangat terbatas, walaupun masih boleh berjalan dan bergerak. Perubahan yang paling besar yang dihadapi datuk inilah dia telah kehilangan sebahagian besar memori hidupnya, atau bahasa mudahnya Alzheimer !

Alzheimer merupakan penyakit yang belum ada penawarnya, banyak perbahasan ilmu berkenaan penyakit ini dari pelbagai sudut samada perubatan, psikologi dan bidang saya pelajari biokimia. Biokimia menerangkan bagaimana penyakit Alzhimer berpunca dari tapak jalan (cascade pathway) insulin yang bermasalah iaitu pada protein kinase  GSK 3 yang berkaitan dengan diabetes. Di samping penerangan popular yang menyatakan laluan kapilari darah ke otak yang tersumbat menyebabkan tekanan darah tinggi yang seterusnya merosakkan saluran darah dan mendegradasi neuron.

Psikologi menerangkan bagaimana tingkah laku (behaviour) pesakit. Banyak yang berubah termasuk percakapan yang sudah tidak lancar, memori yang celaru dan lain-lain. Paling membimbangkan apabila pesakit tidak tahu jalan pulang, suatu peristiwa, atuk pernah keluar rumah pada lewat tengah malam hingga satu kampung mencarinya mujur ada nenek yang sedar akan hal ini dan anak-anaknya yang tinggal berhampiran. Menjelang subuh atuk dijumpai di dalam hutan di belakang rumah. "==

Pesakit juga kadang-kadang akan teringat-ingat kenangan lalu seolah-olah ia berada di zaman tersebut. Pernah sekali ketika kami sekeluarga ingin pulang ke rumah dari menziarahi atuk, tiba-tiba atuk berkata kepada nenek , "Imin (merujuk kepada ayah) nak ke mana, kan rumahnya kat sini" seolah-olah teringatkan ayah yang masih dahulu tinggal serumah dengan atuk semasa bujangnya.

Pada hari pertama raya ketika takbir raya berkumandang, atuk teresak-esak menangis sambil memanggil-manggil dan bertanyakan perihal adik beradiknya yang walhal semuanya sudah lama menghadap Ilahi. Terbaru, ketika datang ke rumah kami selepas ibu dan ayah pulang dari Makkah, ketika sembahyang maghrib, saya perhati betapa atuk bersungguh dalam solatnya, lama sujudnya walau bilangan rakaatnya saya pastikan sudah terlebih mengikut mahu dan caranya. Kelihatan butir-butir air mata seusai munajatnya mungkin terkenangan memori indah dahulu ketika dijemput ke tanah suci.

Melihat hidup atuk sebegitu memuhasabahkan diri, kiranya  berada di tempatnya. Sains menerangkan bahawasanya perkara ini tidak mustahil kerana perkaitan penyakit tadi diturunkan melalui genetik. Apa mungkin aku akan diuji sebegitu? Apakah dalam kecelaruan dan kehilangan memori itu nanti masih ada ingat akan pencipta Allah Rabbul Alamin sedang pada masa sihat ini pun sering alpa dan terlupa akanNya.

Muhasabah..

Muhasabah..

Selamat Hari Bapa, buat Bapa kepada Bapa Saya! 

Saturday, 20 April 2013

Tembok yang musnah


 55 Tahun Malaysia sudah merdeka, pelbagai kemajuan telah dikecapi. Nikmat keamanan dan kemakmuran  Malaysia yang terdiri daripada beberapa komposisi kaum begitu bernilai untuk dikorbankan. Dengan itu rakyat Malaysia dalam tempoh beberapa dekad selesa dengan apa yang ada termasuklah kepimpinan negara. Kepimpinan negara mungkin tidak mencapai tahap sempurna, tetapi apa yang kurang serba sedikit rakyat masih boleh memaafkan dan bersabar.

Namun lewat akhir-akhir ini khusus selepas tsunami politik 2008, kemarahan rakyat tidak dapat disembunyikan lagi terhadap kepimpinan kerajaan yang ada yang nyata sudah tidak layak memegang tampuk pemerintahan. Kebangkitan dari pelbagai kelompok masyarakat dan kesatuan antara pelbagai kaum dapat dilihat. Amat menarik, sebagai contoh masyarakat cina yang sebelum ini begitu pasif terhadap politik negara telah bersama bangkit dalam gelombang kebangkitan ini.

Satu perkara yang perlu diakui, walaupun hidup aman damai antara kaum di Malaysia. Sentimen antara kaum sentiasa menjadi senjata tajam puak pemerintah untuk mengekalkan blok pemikiran bersifat "perkauman" yang memecah belahkan masyarakat pelbagai kaum yang akhirnya menguntungkan mereka. Strategi yang sama diguna pihak British ketika penjajahan mereka dahulu iaitu kaedah "pecah dan perintah". Jika dahulu fizikal yang diasingkan kalini minda pemikiran . Apa yang ditanam dalam minda anak Melayu, si cina itu sentiasa menunggu kesempatan untuk menjatuhkan Melayu. Suatu tembok yang dibina kukuh. 




Saya masih teringat antara hujah-hujah sentimen yang dimainkan ketika sebelum berlangsungnya "Bersih 2.0". Antaranya "Orang Melayu diperbodoh kerana hanya orang Melayu yang nanti akan berhimpun, sedang orang Cina hanya menonton dari rumah mentertawakan". Tidak puas hanya memerhati dari jauh, saya nekad untuk turut serta memerhati sendiri dari dekat. Ternyata pelaburan itu sangat berbaloi, saya melihat sendiri bagaimana Cina, Melayu dan India sama berkorban masa, berdiri di panas terik, merelakan diri mereka "diserang" gas pemedih mata puak polis. Tanpa perlu peduli apa warna kulit, masing-masing saling mengambil berat antara satu sama lain. Ada sekali itu saya terjatuh sebelum segera bangun, yang menegur risau keadaan saya itu CINA! 


Dan drama kebangkitan rakyat berterusan dengan kemeriahan pilihan raya umum.Terbaru , kebenaran penggunaan logo PAS kepada DAP, membuka mata seluas-luasnya semua masyarakat apa yang tidak pernah tergambar sebelum ini. Penyatuan dan tolak ansur antara parti "ekstrimis Islam" dengan "Parti komunis". Sifat PAS sebagai suatu gerakan Islam wajar dipuji, Islam itu bukan eksklusif kepada suatu bangsa bahkan bersifat "Alamiyyah" , rahmat kepada sekalian manusia, walaupun kepada bukan Islam. 







Islam sedang menuju kebangkitan ,
musnah tembok musnah....!

Friday, 29 March 2013

Saya seorang pelajar sains


            Setelah lebih kurang setahun lebih saya berkecimpung dalam arena "blogging" ,baru perasan kebanyakan entry-entry yang saya tulis adalah bertemakan "islamik" walaupun ada juga entry yang bersifat perkongsian pengalaman. Sebenarnya perkara ini sejajar dengan tujuaan blog Haruman Kasturi ini dihasilkan iaitu untuk berkongsi perkara-perkara bermanfaat yang akhirnya membawa pemilik blog ini dan juga pembaca bersama-sama menuju redha Ilahi. 


Pada awalnya, pandangan typical saya sebagai seorang yang biasa dan kurang ilmunya melihat apa-apa tulisan yang ada ayat-ayat al quran dan hadith barulah akan dilihat sebagai "islamik" . Sedaya upaya saya meletakkan element ini dalam penulisan , namun satu perkara yang saya sedar ayat al quran dan hadith ini bukanlah sewenang-wenangnya ditafsir mengikut kefahaman kita sendiri , jadi saya menjaga bab yang satu ini , dan hanya menggunakannya bilamana ia keluar dari mulut ustaz-ustaz atau syeikh yang diyakini.


Melihat pada suatu fenomena yang berlaku pada hari ini , semakin ramai yang membawa imej islamik samada dari golongan pemerintah, profesional , sains , mahupun artis . Fenomena yang sangat bagus dan menarik. Namun, yang menjadi masalah bilamana golongan ini mula bercakap soal hukum hakam dan perkara agama yang diluar ilmu masing-masing, dan akan menjadi parah apabila pandangan mereka ini salah dan menjadi suatu pegangan kepada mereka yang naif. Misal kata ucapan tokoh negara yang mengatakan hudud tiada dalam al quran dan hanya rekaan ahli fiqah yang sama sekali jelas bertentangan dengan al quran.


Maka saya mengingatkan diri saya sendiri betapa kita perlu jujur dalam ilmu yang ada apatah lagi dalam bab kesucian agama Islam. Sumber agama Islam yang berteras al quran dan hadith begitu dipelihara hingga penafsiran serta hukum yang diambil daripadanya berlandaskan manhaj dan kaedah tertentu yang tentunya perlu dirujuk pada ahlinya. Jangan perasan bilamana orang memandang kamu "alim" atau memanggil kamu "ustaz" asbab pakaian kamu yang berciri sunnah atau blog kamu semacam "islamik" maka kamu sewenang wenangnya mengeluarkan "fatwa" kamu sendiri walhal kamu bukanlah ahlinya. Ingatlah kamu bertanggungjawab akan segala yang kamu ucapkan. 


Bertakwalah kamu kepada Allah!




Dalam keghairahan bercakap-cakap soal luar bidang ilmu kita, sepatutnya kita memanfaatkan bidang ilmu yang kita berada sekarang agar kelak ia juga membawa manfaat pada Islam. Islam bukan hanya terletak pada aliran-aliran agama , tetapi aliran seperti ekonomi , sains , teknologi , kejuruteraan dan lain-lain juga ada Islam di situ. Islam itu sama sekali tidak terpisah dari mana-mana bidang ilmu dan kehidupan. Sesungguhnya Islam itu bersifat syumul.


Dalam ruang aspek sains sendiri, bahasa sains sangat universal dan mudah diterima ramai , bukan sedikit yang apabila telus mengkaji sains akhirnya bertemu siapa disebalik setiap penciptaan. Ruang yang sebanyak-banyaknya perlu dimanfaatkan oleh golongan aliran sains.

Saya Muhammad Shazwan B Suhiman ,akhirnya sedar diri bahawasanya saya pelajar jurusan Sains Biokimia . 


langkah baru bermula




Saturday, 9 March 2013

K-Fiqh Politik Islam, suatu perkongsian.

Alhamdulillah pada hari Ahad 3 Mac 2013, saya dan beberapa rakan telah menghadiri kfiqh politik Islam 2.0 yang bertempat di dewan MBSA. Banyak perkara yang kami perolehi.

Pembukaan- Dr Zulkifli Al Bakri 




Dimulakan dengan sepotong hadith :-

Daripada Abu Hurairah r.a. Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
“Tujuh golongan, Allah akan menaungi mereka pada hari yang tiada naungan melainkan naungan-Nya :

Pertama : Imam (pemimpin) yang adil.
Kedua : Pemuda yang membesar dengan beribadah kepada Allah.
Ketiga : Insan yang hatinya terpaut dengan mesjid.
Keempat : Dua insan yang berkasih sayang kerana Allah, mereka bertemu dan berpisah kerana Allah.
Kelima : Insan yang di ajak (di goda) oleh wanita yang berpangkat dan cantik, lalu ia berkata :
‘Sesungguhnya aku takutkan Allah’
Keenam : Insan yang bersedekah dengan cara yang tersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang di belanjakan oleh tangan kanannya.
Ketujuh : Insan yang mengingati Allah secara bersunyian lalu menitiskan air matanya."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Menurutnya walaupun pelbagai riwayat yang menyebut berkenaan hadith ini dengan susunan yang berbeza beza berkenaan siapa yang dimaksudkan dalam turutan kedua atau ketiga dan sebagainya, namun kesemuanya sepakat bahawa pemimpin yang adil itu letaknya diturutan pertama!

-Imam yang adil ialah yang melaksanakan syariat Allah kepada masyarakatnya.

Takrif Adil Hafez Ibnu Hajar :
"Imam yang adil ialah tatkala dunia datang kepadanya, kemewahan dimewahkan, dia mampu berkata ,
Sesungguhnya aku takut kepada Allah penguasa sekalian Alam "

-Diteruskan lagi bahawa pemimpin yang soleh akan diikuti rakyat yang soleh. Rakyat mengikut agama pemimpinnya.

Contoh tauladan daripada salafus soleh.

Diceritakan rutin Umar Abdul Aziz yang rajin bersolat malam meninggalkan kesan kepada rakyatnya apabila hal-hal yang dibicarakan di kedai-kedai kopi ialah berkenaan berapa rakaat kamu solat malam tadi atau sudah berapa banyak hafalan kamu ?'

-"Jangan harap urusan dunia akan elok jika pemimpin tidak berlaku adil"

Pada pelantikan khalifah Umar Abd Aziz , ucapan pertamanya menyebut :

-"Aku tidak dilantik dengan keputusan mesyuarat dan mendapat kepimpinan, maka aku pecat diriku sendiri dan serahkannya kepada kamu"

Sebelum perlantikan khalifah Umar Abd Aziz berlaku konflik dan ada yang tidak senang atas perlantikannya. Ucapannya memberi kesan kepada rakyat lalu mereka membalas ucapan Umar Abd Aziz dengan

-"Kamu paling layak antara kami, kami pulangkan kembali kepada mu."

Berkata Imam Ghazali :
"Rosaknya Rakyat kerana rosaknya Pemimpin, rosaknya Pemimpin kerana rosaknya Ulamak"

Berkata Hasan Al Basri :
"Menguatkan agama ialah warak dan yang merosakkan ialah tamak"

Umar Abd Aziz apabila bertanya dengan Hasan Al Basri mengenai sifat pemimpin, beliau menjawab :-

"Ketahuilah ya Amirulmukminin , sesungguhnya Allah menjadikan pemimpin-pemimpin yang adil ini sebagai penguat kepada yang tidak tetap, pemimpin adil seperti pengembala kambing yang cinta gembalanya, seperti Abah sayang kepada anak, seperti ibu yang amat sayang kepada putera puterinya, seperti pemegang amanah kepada anak yatim, yang menghampirkan hamba dengan Allah.

Umar Abdul Aziz menyukai jawapan yang diberi oleh Hasan Al Basri kerana perkataannya yang tidak mengampu.


Sifat yang perlu ada pada pemimpin :-

1)Amanah sifat utama

-Nabi Yusuf yang merupakan menteri perbendaharaan, merujuk dirinya, "Aku ini hafiz dan alim".

-Tidak mengambil harta rakyat untuk kaya.

-Diceritakan Fatimah binti Abd Malik b Marwan yang merupakan isteri kepada khalifah Umar bin Abdul Aziz mendapat hadiah berupa berlian daripada bapanya iaitu Abdul Malik bin Marwan . Umar Abdul Aziz tidak senang akan hal itu dan menyatakan samada berlian itu diberi kepada baitulmal atau isterinya boleh menyimpannya tetapi dengan syarat mereka bercerai. Suatu pendekatan Umar Abdul Aziz yang begitu cermat dengan urusan amanah ini. Lalu isterinya menuruti kata beliau.

2)Menolak kezaliman

-Petikan ucapan Saidina Abu Bakar 

"...Aku akan pastikan mereka mendapat akan haknya, sedang yang dhaif disisimu, kuat disisiku. Sedang yang kuat disisimu , dhaif disisiku."

-Pentingnya adil kerana lawannya zalim. Sedang Allah sendiri mengharamkan diriNya pada kezaliman apatah lagi manusia.

Sabda Rasulullah saw :-
“Sesungguhnya ini adalah amanah dan ia akan menjadi kedukacitaan kepadamu di akhirat nanti”




**Berikut merupakan catatan saya, sekiranya ada tersilap sila tegur, dan apa yang disampaikan saya bersandar pada apa yang saya perolehi dari Tuan Dr penceramah.





Friday, 1 March 2013

Bajet Bagus


          Suatu malam saya didatangi rakan semashur yang tak asing lagi ke UKM , siapa lagi kalau bukan Abdul Qayyum yang gigih bergegas dari tempat kerjanya di Sungai Buloh ke Bangi untuk bertemu secara terus salah seorang penulis kegemarannya yang juga kegemaran saya juga iaitu Ustaz Hasrizal Jamil yang dijadualkan berkuliah maghrib di Surau An Nur Bandar Baru Bangi. Ini kali pertama untuk qayyum , dia excited. 

Benar Islam atau hanya label

Malam itu berkisar ibrah surah Al Kahfi, surah yang mana menurut ustaz jika dihayati sungguh maksud tafsirannya serta diamati ibrahnya InsyaAllah menjadi benteng pada hati untuk menghalang fitnah-fitnah dajjal mahupun dunia. Mengulas isi kandungan pada malam berkenaan , Ustaz banyak berceloteh pengalamannya di bumi Turki yang baru dilawati minggu lepas. Banyak perkara yang dilontarkan khususnya mengenai muhasabahnya sepanjang beliau di Turki yang menyentuh banyak perkara khususnya soal masyarakat Turki yang sudah jauh membangun baik dari segala segi berbanding masyarakat Malaysia yang masih tidak banyak berganjak di takuk lama. Tak perlu saya ulas panjang, jika berminat untuk mendengar klik di sini.


Antara lontaran pedas beliau ialah menurutnya di Turki mereka tiada pun kuliah agama maghrib, ceramah agama apatah lagi motivasi sana sini , trend yang semakin popular masa kini yang impaknya pada masyarakat Malaysia masih bergelar sekitar takuk yang sama. Maka ditimbulkan apakah "ilmu" yang diberikan oleh golongan ustaz-ustaz itu benar atau hanya sekadar hanya "bermain-main"  hingga kesannya tidak dirasai masyarakat. Ditambah lagi, kerana demand yang tinggi terhadap agama ini, maka banyaklah yang menawarkan khidmat mereka dengan menggunakan label Islam,ajaran Nabi dan seumpamanya tetapi subtensnya kosong menatijahkan impak yang tidak baik kepada pemahaman masyarakat sedang kocek mereka dibayar tebal.

Amal untuk dimuhasabah

Turut terkesan di hati apabila ustaz mengajak bermuhasabah, selepas  semua kuliah-kuliah agama yang dihadiri,dipelajari dan didengari mahupun ilmu-ilmu yang dituntut di mana tahap diri sekarang ? Apakah ilmu itu benar-benar memandu diri terhadap menuju matlamat redha Allah atau hanya sebagai halwa telinga lalu lupa.Majlis-majlis ilmu yang dihadiri itu hanyalah kerana kebetulan diri kita memang minatnya mendengar ceramah sama sahaja seperti orang-orang yang minat berfutsal dan merempit kala maghrib ! 


Jom lihat dan teliti kembali amal-amal kita agar kita tidak tergolong dalam kalangan yang tertipu dengan amalan sendiri. Merasakan diri sudah banyak tahu, banyak amal kemudian merasa diri bajet bagus walhal kita tidak sedar kita telah pon terbuang dari pandangan Allah dek kerana perasaan kita yang satu ini, Nauzubillah. Perkara inilah cabaran besar yang selalu terjadi kepada mereka-mereka yang dalam kategori yang digelar atau dilabel "baik,alim mahupun daie" .Maaf saya mengkritik dalam keadaan saya juga bukan sesiapa sekadar ingatan pada diri agar sama-sama dijauhkan. Moga amal kita benar-benar mendekatkan diri kepada Allah bukan mengheret kita lebih jauh daripadanya.

Kalam Alim Ulama` :-


Wednesday, 20 February 2013

Al kisah Malaysiaku


 Al kisah Malaysiaku ,PRU13 yang akan menjelang tidak lama lagi. Parlimen  dikhabarkan akan bubar 22/2/2013 ni. Penantian sekian lama oleh rakyat Malaysia dan jentera-jentera parti khususnya yang mana beberapa kali "tilikan" mereka tentang tarikh pilihan raya gagal. Seingat saya sejak tahun lepas lagi mereka menjangkakan akan tarikh pilihan raya sehingga banyak tempat yang sudah pun "dijajah" dengan bendera-bendera parti terlebih awal yang kian sudah pun lusuh penat menanti tarikh keramat tersebut diumum. Namun, kepuasan pada diri ini bila dapat turut terlibat sama sebagai pengundi.


Apa yang menarik pada pandangan saya ialah "serangan-serangan" isu yang dilancarkan oleh pihak pemerintah terhadap pemikiran masyarakat dalam usaha meraih sokongan ramai. Serangan bertalu arus ini begitu dasyat sehingga menimbulkan persepsi yang agak tegang terhadap parti yang tidak sehaluan dengan mereka. Pandangan saya melihat PAS lah yang paling teruk menerima serangan akhir-akhir ini.

1) Isu Amanat Hadi Awang

 Ucapan Tuan Guru  Hadi Awang yang dirakamkan pada tahun 80an yang mana dihighlightkan pada bahagian "Cukup mengatakan agama suku politik suku sudah boleh dianggap murtad" dan dijenamakan sebagai amanat.

Dakwaan mengatakan bahawa kerana amanat inilah masyarakat Melayu menjadi berpecah belah kerana  melabel puak-puak UMNO sebagai sudah murtad hingga ada yang mendakwa mereka tidak berimamkan satu sama lain dan tidak memakan sembelihan korban puak yang lain. Amanat ini didakwa sesat dan menyesatkan. Serangan media yang menggila akhirnya mendesak TGHA untuk menarik kembali amanat beliau ini.

Isu ini menimbulkan simpati kunonnya UMNO telah dianiaya oleh pemikiran ahli-ahli Pas yang menghukum mereka sebagai murtad. Makin panas apabila doa KO KO UMNO dibacakan pada himpunan PAS. 

Isu tamat bilamana TGHA dengan berani meminta izin untuk bersiaran selama sejam di media massa utama (tv1,2,3 etc..) live untuk menerangkan dan memberi hujah bela diri akan amanat tersebut sedang UMNO melalui Rais Yatim menyarankan hanya melalui rakaman, dan ianya mesti diikuti sekali penilaian mufti-mufti atau ahli ilmu yang lain.


2) Isu Kalimah Allah

Melihat isu Amanat Hadi Awang tidak menguntungkan mereka, segera isu baru ditimbulkan iaitu isu kalimah Allah ini. Isu ini pernah hangat sekitar 2 tahun lepas. Pas dituduh bersekongkol dengan PKR dan DAP bahawa mereka "menjual" kesucian kalimah Allah ini kepada bukan Islam.

Pas dikatakan sudah lari dari landasannya dan pelbagai lagi tohmahan. Isu ini menarik perhatian untuk melihat bahawa UMNO lah yang bersendirian mempertahankan kesucian kalimah Allah sedang PAS sudah berpaling untuk bersama pakatan rakyat.

Golongan ahli ilmu berdasarkan para pendapat ulamak muktabar khilaf tentang isu ini iaitu ada yang bersetuju dan tidak bersetuju dengan hujah masing-masing. Dan semua maklum apabila ada khilaf ulamak tentang sesuatu perkara maka kedua duanya boleh diguna pakai.

Akhirnya melalui keputusan Majlis Syura iaitu badan tertinggi di dalam PAS mengeluarkan kenyataan bahawa PAS tidak bersetuju akan penggunaan kalimah Allah dalam terjemahan bible Melayu.

Meskipun begitu isu ini seakan belom reda dan juga dipusing-pusing lagi untuk memberi keuntungan kepada suatu pihak. Seterusnya bukti menunjukkan bahawa UMNO sendiri melalui DS Idris Jala rupanya yang dahulu lagi sudah  membenarkan penggunaan ini dan sudah banyak pon bible-bible yang menggunakan kalimah Allah sehingga kini.

3) Isu Palestin

Dikala pertempuran saraf yang tegang di tanah air , perdana menteri Malaysia membuat lawatan ke Palestin bersama mengiringi Ustaz Nasharuddin (Ahli majlis syura PAS) bertemu dengan Presiden Gaza Ismail Haniy sendiri, dalam pertemuan lebih kurang 2 jam.

Lawatan ini menimbulkan sedikit tanda tanya kerana kerajaan Malaysia tidak mengiktiraf kerajaan Hamas Gaza yang dilihat cukup intim dengan PAS sebaliknya mereka lebih pro kepada Fattah.

Sekembalinya dari Gaza ,Ds Najib Razak diraikan dan diangkat seperti perwira Islam , kerana pastinya isu Palestin sangat dekat di hati penduduk Islam Malaysia.

Sungguhpun begitu , Ds Najib Razak dikritik hebat apabila menyatakan tujuaan beliau kesana bukanlah atas nama kerajaan tapi sekadar lawatan kemanusiaan seperti mana-mana NGO, di mana kerajaan Hamas Gaza tetap tidak diiktiraf kerajaan Malaysia.

4) Isu pemecatan Ustaz Nasharuddin

Ustaz Nasharuddin merupakan bekas Timbalan presiden Pas yang juga merupakan ahli majlis syura telah dipecat daripada menganggotai ahli majlis syura.

Isu ini segera digembar gemburkan media massa kunonnya Pas telah lari dari landasannya , dan pemecatan Ustaz Nasha menjadi bukti bahawa Pas lebih sayangkan pakatan PKR dan DAP berbanding persekatan dengan UMNO.

Dijelaskan bahawa pemecatan Ustaz nasha dari majlis syura adalah kerana tindakannya yang merugikan jemaah.

Hal ini kemudiaanya ditegaskan oleh Dato Nik Zawawi (SU Majlis syura Pas) bahawa Pas bukan parti yang mengangkat individu tetapi mengangkat dasarnya iaitu dalam memperjuangkan syariat Islam. 

5) Isu Pas digesa keluar dari Pakatan

Akhirnya Pas digesa keluar dari pakatan rakyat yang didakwa merugikan Islam dan ada suara-suara yang menyarankan Pas untuk bersama dengan UMNO atas nama kesepakatan umat Islam.

Pas pernah mempunyai sejarah bersama dengan pakatan Barisan Nasional sebelum akhirnya ditendang keluar kerana ketika itu Pas dilihat lemah dengan pelbagai masalah dalaman . Ironinya sekarang saat melihat Pas kini berjaya meraih banyak sokongan dan kepercayaan rakyat , Umno kembali datang menghulur tangan atas nama perpaduan Melayu Islam.

Perkara ini kemudiannya ditegaskan Tuan Guru Hadi Awang bahawa Pas tidak akan "disengat" dua kali di tempat sama dan akan tetap mengekalkan "tahaluf siyasi"  dengan Pakatan Rakyat selagi mana Islam  mendapat manfaat daripadanya.


_________________________________________________________________________________

Harapan Malaysia Baharu

Menurut UMCEDEL (Badan Pengkaji dan pemerhati politik UM) mendapati atas semua isu-isu yang dilontarkan Umno semuanya "backfire" kepada mereka.

Umno menimbulkan isu bukanlah kerana mereka mahu menyelesaikannya, tetapi sekadar membina sentimen orang ramai samada bersifat perkauman atau keagamaan yang sama sekali membelakangkan ilmu dan ulama` untuk memastikan mereka terus berkuasa. Buktinya , bila diajak berdebat tiada satu pon pemimpin mereka yang berani tampil.

Kajian umcedel juga menunjukkan Umno masih kuat pengaruhnya di kawasan-kawasan pedalaman yang tidak mempuanyai akses kepada media alternatif sedang di kawasan-kawasan bandar , hampir pasti semuanya majoriti bersama dengan pakatan rakyat.

Sebab itu ada yang mengeluarkan pendapat bahawa pertembungan pakatan rakyat dan barisan nasional pada PRU kalini ibarat pertembungan antara golongan yang mencari fakta dan  ilmu dengan golongan yang menelan fakta yang kerajaan sajikan melalui lidah-lidah mereka samada RTM, Utusan , Berita harian dan Tv3 kepada mereka yang berinti sentimen politik yang sempit.

Dan pastinya kalini merupakan pertembungan yang paling dasyat akan berlaku dalam sejarah malaysia , hingga ada yang meramalkan akan bertukarnya pemerintahan kerajaan pusat buat pertama kali.

Menjadi harapan saya sebagai mahasiswa generasi muda untuk melihat Malaysia yang lebih baik terutama dalam aspek memartabatkan Islam itu sendiri , biarlah tampuk pemerintahan itu diberi pada yang selayaknya, moga jahiliyah 55 tahun Malaysia juga akan terkubur dan sinar kebangkitan Islam akan terbit menyinar seluruh pelosok bumi Malaysia , dan impian melihat suatu daulah Islam tertegak menjadi realiti. 

InsyaAllah.












Monday, 28 January 2013

Kaedah Jibril


Salam Maulidur Rasul ,

"Seseorang itu akan dibangkitkan di akhirat bersama orang yang dicintai ” (Hadith Riwayat Muslim)                                                       

Kecintaan terhadap baginda perlulah kita pupuk dengan sesungguhnya agar impian dihimpunkan bersama dengan baginda nabi Muhammad SAW diakhirat kelak menjadi suatu realiti. InshaAllah ~

Sahabat-sahabat sekalian, mana mungkin dinamakan cinta jika kita tidak mengikuti apa yang disukai orang yang dicinta. Maka bukti cinta perlulah diterjemahkan dalam tindakan tidak cukup hanya dihati. 

Dua perkara yang ditinggalkan oleh baginda Nabi Muhammad SAW ialah Al-quran dan Assunah. Dua perkara ini seharusnya ditekuni oleh orang-orang yang mengaku dirinya mencintai nabi.

Ketika Aisyah ditanya, apakah akhlak Rasulullah?  Beliau menjawab,

“Akhlaknya adalah al-Quran”





Entry kalini saya ini mempromosikan sebuah buku berjudul "Kaedah Jibril Teknik Mudah dan Praktikal Menghafaz al-Quran".

Buku ini telah mengubah minda saya untuk menghafaz al-quran kerana kaedahnya yang mudah dan praktikal untuk orang umum. Kalau sebelum ini menghafaz al-quran bagaikan impian yang seolah mencapai awan dilangit , selepas membaca buku ini terasa begitu optimis sekali. Namun begitu , saya hanyalah baru di peringkat langkah awal kejayaannya belum ada. 


Penulis buku berjaya memberi rangsangan untuk menghafaz al-quran dengan berkongsi ilmu beliau sepanjang perjalanan menghafaz al-quran. Antara yang beliau kongsikan manfaat menghafaz al-quran ialah :
·         sebagai melaksanakan sunnah Rasulullah
·         Mengisi otak dengan makanan paling sempurna
·         Membentuk manusia yang seimbang seperti Rasulullah
·         Menjadi kerabat Allah atau Ahlullah
·         Membantu Allah mengekalkan al-Quran
·         Kehidupan lebih dekat dengan Allah  
·         Pembersih teragung hati.


Bayangkan indahnya hidup bilamana al-quran itu duduk didalam hati , menjadi teman menerangi kala gelap , mengingati kala terlupa , memujuk kala duka dan memastikan hidup sentiasa terpandu dan diberkati.


Beberapa persoalan yang biasa timbul tentang kegusaran kemampuan diri untuk menghafaz al-quran dijawab baik oleh penulis. Antara perkara yang dibangkitkan ialah :-


1) Umur sudah lanjut , hafaz al-quran masa zaman budak-budak bolehlah
Sedang baginda Rasulullah mula meghafaz al-quran  ketika baginda 40 tahun dan selesai ketika baginda berumur 63 tahun. 
Benar apalah kita untuk dibanding dengan nabi , tetapi jika dilihat dari sudut sains , otak manusia sebenarnya sangat hebat dan memiliki keupayaan untuk menyimpan maklumat lebih besar dari keupayaan komputer yang ada sekarang dan kita sebenarnya hanya menggunakan 1% kemampuannya manakala 99% sedia untuk digunakan. POSITIF!

2) Tiada masa
Masa sentiasa ada , cuma lagi kita yang tidak bijak menyusunnya. Kita selalu merungut tiada masa tetapi yang peliknya sentiasa pula ada masa untuk aktiviti seperti online atau seumpanya.

3)Takut lupa
Antara sebab lupa seperti yang dibahaskan dalam ilmu psikologi ialah kerana maklumat usang dan tidak cuba diingat kembali, berlaku gangguan seperti ada hafalan baru yang bertindih dan tekanan. Yang penting menurut penulis jadikan ia sebagai suatu yang positif dengan menganggapnya sebagai cabaran jangan mengalah.


 Dengan disiplin dan kesungguhan InsyaAllah impian untuk menghafaz al-quran dapat direalisasikan.


"Ya Allah rezekikanlah kami untuk menghafaz Al-quranMu "

Amin. 


Sunday, 13 January 2013

Sejarah Malaysia


Suharto telah tiada, Marcos telah tiada, Husni Mubarak telah tiada, Ben Ali telah tiada, tak kan UMNO masih ada”  

-Tuan Guru Abdul Hadi Awang





































DI ATAS PADANG SEJARAH

Di dataran sejarah suara kita sesubur rumput,
bisik kalbu bergaung garang tanpa resah tanpa takut.
Lagu kita rindu demokrasi darjat awan tertinggi
mengindah ufuk senja merai kemerdekaan diri.

Rumput di kaki, awan di kepala, gah iringi murba,
seramainya, sederapnya, setulusnya, kita bersama
menjulang panji negara, bangga dicium angin jati
di tengah gelora kita sebangsa dan sejiwa murni.

Di atas padang sejarah pantang kita mungkiri janji
setiap tapak dan langkah mengisi rindu demokrasi.
Diri kita padu maruah senandung setulus hati
melunturkan wewarna zalim, menyubur kuning berseri.

Kita—tenaga jati—gah berjuang demi keadilan;
kita terbang sederas sinar julang panji kebenaran.

(A.samad said - 12/1/2013 -stadium merdeka)


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...