Thursday, 14 May 2015

Sikit pasal hidup seorang postgrad.

Sekadar pengalaman setahun lebih dunia pascasiswazah (Master).

Pertama, bermula dengan kenapa hendak memilih untuk memasuki peringkat pascasiswazah. Persoalan ini walaupun macam remeh, tapi bagi saya ia amat penting untuk keberlangsungan tahun-tahun mendatang. Sebab dan tujuan inilah yang berfungsi sebagai "enjin" yang akan menyebabkan kita terus bergerak walaupun cabaran yang datang. Saya memilih menyambung sarjana Master bukan kerana berjayanya saya semasa peringkat sarjana muda (pointer tak tinggi), sebaliknya saya merasakan sekejapnya masa untuk sarjana muda yang tidak saya pergunakan untuk meraih sebanyak-banyaknya ilmu terutamanya dalam bidang saya (biokimia). Saya hanya menemukan makna saya belajar bidang ini dipenghabisan akhir semester (semasa praktikal di UMBI) yang membuatkan saya tertarik dengan dunia penyelidikan. Jujur, malu saya memegang gelaran Ijazah Sarjana Muda Biokimia kerana tahulah saya betapa ceteknya ilmu yang saya garap sepanjang pengajian ini. Sepatutnya saya serik, tetapi kerana malu kepada ilmu, saya teruskan melangkah, dalam bidang bioperubatan.

Kedua, ialah pada perihal memilih jenis modul untuk peringkat master. Setahu saya ada 3 jenis modul master yang berlainan dengan pro/con masing-masing.

1) Coursework mode
Coursework semacam lanjutan daripada degree. Style sama macam degree (pergi kelas-assignment-exam-final year project). Kelebihannya selalu mengambil masa yang singkat untuk dihabiskan (sekitar 2/3 sem) sahaja. Dan model ini akan menambahkan teori terhadap subjek yang dipilih, tetapi sangat sedikit pengalaman penyelidikan. Pengalaman penyelidikan penting untuk PhD.

2) Research mode
Research mode tidak memerlukan rutin kelas-assignment-exam. Tetapi settingnya lebih menyerupai suasana PhD. Research,poster presentation,publish jurnal. Subjek penyelidikan sangat spesifik dan kerana tiada kelas-kelas formal berkenaan teori subjek, maka pemahaman adalah atas pembacaan sendiri dan inisiatif perbincangan dengan pensyarah.

3) Mix mode
Campuran dua mode tadi, ada kelas dan buat Research, cuma penilaian dekat Research kurang dan kena hadapi exam.


Pemilihan Research mode (ulas sikit sebab saya ambil Research Mode) pada saya perlu dinilai dari beberapa aspek :-

1) Tajuk Penyelidikan - Tajuk penyelidikan sangat penting memandangkan anda akan menghabiskan 2,3 hingga 4 tahun anda menghadap tajuk tersebut. Minat dan kesanggupan sangat penting.

2) Grant Penyelidikan - Perlu diketahui samada penyelidikan yang ditawarkan mempunyai Grant atau tidak. Grant akan berfungsi sebagai bajet yang membiayai penyelidikan (sangat susah nak buat penyelidikan jika tiada bajet) dan membiyai anda (wang poket).

3) Supervisor - SV sangat penting! bergantung kepada diri masing-masing. Beliau samada akan memudahkan hidup anda atau membuat anda sengsara sepanjang perjalanan pascasiswazah. Semak juga profil mereka sebelum approach.


4) Universiti - Pemilihan universiti penting untuk tujuan kemudahan pentadbiran dan pengurusan hal-hal berkaitan penyelidikan. Universiti penyelidikan memang mempunyai beberapa kelebihan dari segi pengurusan, setting dan budaya penyelidikan yang amat bermanfaat. Kalau universiti bukan penyelidikan kena banyak "pandai-pandai" sendiri.


Beberapa perkara yang menarik saya jumpa setakat menjadi pelajar siswazah ialah :-

Saya teruja melihat orang-orang (pensyarah) yang menyerahkan diri mereka untuk tujuan ilmu. Ramai pensyarah (setakat ini) yang tanpa berkira, bersungguh memberi bantuan dalam penyelidikan tanpa mengharap apa-apa balasan. Padahal mereka ada yang sudah taraf Prof Madya ataupun Prof. Dahulu zaman Pra Siswazah jarang ambil peluang dek kerana rasa inferior terhadap mereka, namun setelah berada di peringkat Siswazah yang mana perlu banyaknya berjumpa dengan mereka barulah tahu...    

Seterusnya saya sangat teruja bagaimana Prof/Prof Madya dan pensyarah-pensyarah yang sentiasa merendah diri dan tidak segan untuk belajar. Pernah saya menghadiri bengkel di mana seorang Prof. yang juga pakar Patologi berusia lebih kurang 60 tahun masih sahaja teruja belajar mengenai asas biologi molekul (PCR, gene clonning) yang kami pelajari semasa zaman degree. Benar-benar meresapi resmi padi.. "semakin berisi (ilmu), semakin tunduk".

Pada saya, untuk mereka capai pada tahap mereka (academician) sekarang, banyak sifat-sifat/disiplin atau petua yang saya kira setiap dari mereka punyai yang kita boleh pelajari dan ikuti.

Melihat kepada diri sendiri, saya berasa syukur kerana memilih jalan ini (sambung siswazah) kerana pada jalan ini saya didisiplinkan untuk menghargai dan mencintai ilmu serta merefleksi diri ke arah membina sifat-sifat yang berkualiti daripada orang-orang yang larut dengan ilmu. Moga-moga mereka (pensyarah) dan penuntut-penuntut ilmu dimuliakan dengan ilmu. InsyaAllah.  



Monday, 6 April 2015

Penapis Air dan kisah Imam Abu Hanifah

Perkara ni berlaku minggu lepas, waktu aku balik rumah hujung minggu. Mulanya aku perasan jugak ada beberapa orang datang rumah, ingatkanlah kawan ibu atau ayah, jadi aku malas nak layan sangat. Tiba-tiba nampak ayah dah malas nak layan, kepenatan rewang pada sebelah pagi, kemudian beliau kata kepada aku "Cubalah tengok dekat atas tu, teman ibu..". Aku pun pergilah ke anjung tamu rumah, meramahkan diri menegur tetamu, hurmm... rupanya tetamu tak diundang yang hadir, iaitu beberapa orang salesman! dan aku perasan produk yang mereka jual, penapis air ion beralkali. Adus menyampah...

Aku kerap ikuti page di fb, "Pseudoscience" yang mendedahkan beberapa produk yang tidak mempunyai bukti saintifik yang meyakinkan tetapi berleluasa di jual di pasaran. Kebetulan pada waktu tersebut sedang hangat berkenaan "Kangen Water". Nah, salesman  yang di depan aku ni pun menjual benda yang lebih kurang sama, cuma brand sahaja lain. Mulanya aku cuba diam dan hanya lihat perbualan antara dua orang jurujual ini dengan ibu, ibu merupakan seorang guru agama. Sesuai dengan penampilan yang mereka bawa, memakai kopiah dan lengguk-lengguk bahasa yang acap kali mengucap "InshaAllah", "Alhamdulillah" dengan terma saintifik yang nampak bombastik, memang nampak meyakinkan. Dalam hati pada waktu itu aku dapat merasa aura  tak puas hati dah meluap terhadap dua orang jurujual tersebut.

"Bang... kalau guna teknologi infra red ni dekat air bukan bahaya ke? "

Saja psiko, walhal aku bukan ingat sangat pun bab-bab infra red semua ni.

"Eh tak lah, yang ni sesuai untuk air"

Jawab dia laju, dalam hati aku, kalau jawab macam tu aku pun boleh, ceh..

"Habis apa istimewanya air abang ni ? "

Air ni dia air ion beralkali, air ni akan ditapis dengan menjadikan molekul air ini lebih kecil dan halus serta beralkali. Air beralkali ni, cancer pun tak boleh hidup dalam ni.

Hurm.. bab dia sebut pasal molekul jadi lagi kecil dengan menyembuh cancer ni aku dah mula alergik. Sebab apa? apa yang dia claim lebih kurang macam air ECPI dengan produk-produk pseudoscience yang lain, masing-masing tak malu nak cakap produk mereka boleh sembuhkan cancer. Ironinya, semua benda yang jurujual ni confident terang dekat aku, semuanya ada dalam silibus yang aku pernah belajar, lagi-lagi bab cancer yang aku memang ikut perkembangan dalam dunia penyelidikan. Aku mula alergik dengan penerangan dia. Dan sengaja aku bertanya beberapa persoalan yang sedikit saintifik yang membingungkan mereka. Sekali imbas, aku boleh tahu mereka ini tiada asas sains. Namun, dah nama jurujual, mereka juga punya starategi, mereka terus hanya menumpukan pada ibu, dan menjaja nama-nama testimoni pengguna produk mereka, kebetulan nasib mereka baik, ada satu nama mereka petik itu saudara kepada ibu, dan aku nampak ibu terus sahaja setuju untuk membeli alatan mesin yang berharga dalam lingkungan RM 5k itu!  

Waktu itu aku pun berlalu sahaja, api amarah membara di dada. Takut-takut aku meninggi suara pada mereka, aku terus meninggalkan mereka dan masuk ke bilik. Terkilan aku waktu itu pada ibu yang tidak mengambil pendapat aku dan lebih percaya pada jurujual yang tersenyum lebar memikirkan komisyen yang kan diterima. Fuh, sakitnya itu di sini, di dalam dada. Sehingga waktu malam saat kami makan malam pun aku tak mampu untuk mengangkat muka memandang ibu kerana masih belum padam rasa terkilan pasal peristiwa tersebut. Sebaliknya adik-adiklah yang mendengar penerangan panjang lebar aku perihal mesin air mengarut itu.

Menariknya, hari ini aku terclick satu video di youtube oleh Ustad Nouman Ali Khan yang menceritakan perihal Imam Abu Hanifah dan juga ibunya. Sebagaimana kita tahu, Imam Abu Hanifah merupakan seorang yang sangat faqih dan tinggi keilmuaannya sehingga seluruh pelosok masyarakat meminta fatwa daripada beliau. Namun, suatu hari, baju ibunya terkena darah kemudiaan ibunya itu bertanya kepada anaknya imam Abu Hanifah berkenaan perkara tersebut. Selepas menjawab, lantas ibunya mengatakan, "Engkau tidak benar..., aku akan menanyakan kepada si anu (merupakan seorang daie yang terkenal)". Sebaik ibunya bertanyakan tentang masalahnya kepada daie tersebut, kemudiaanya daie ini yang tidak arif berkenaan soal hukum bertanyakan pula kepada tidak lain kepada Imam Abu Hanifah sendiri...~ Setelah memberi jawapan Imam Abu Hanifah memesan agar tidak diberitahu ibunya bahawa beliau yang memberikan jawapan. Si ibu akhirnya percaya setelah diberitahu jawapannya oleh Si daie tersebut.

Pengajaran yang diberitahu, memang sukar selalunya keluarga yang rapat untuk mempercayai perkataan kita, mungkin khusus lagi antara anak dan ibubapa. Tetapi itu bukanlah sebab untuk kita berlaku tidak hormat kepada mereka. Ibubapa berada di tahap yang sangat tinggi yang diiktiraf oleh Allah swt sendiri. Akhirnya peringatan kepada diri sendiri, walau setinggi mana kita sudah menjadi atau orang di luar mengangkat kita, pabila di rumah marilah kita hanya menjadi seorang anak, rendahkan diri dan hormati mereka selayaknya, dengar tiap tutur bicara mereka, kerana mana mungkin jasa mereka terbalas, dan redha Ilahi ada pada mereka.  


*Boleh baca tentang keraguan mesin air ion beralkali kangen water di fb “Pseudoscience watch”
*Youtube – Nouman Ali Khan : Imam Abu Hanifah and his Mother
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...