Monday, 6 April 2015

Penapis Air dan kisah Imam Abu Hanifah

Perkara ni berlaku minggu lepas, waktu aku balik rumah hujung minggu. Mulanya aku perasan jugak ada beberapa orang datang rumah, ingatkanlah kawan ibu atau ayah, jadi aku malas nak layan sangat. Tiba-tiba nampak ayah dah malas nak layan, kepenatan rewang pada sebelah pagi, kemudian beliau kata kepada aku "Cubalah tengok dekat atas tu, teman ibu..". Aku pun pergilah ke anjung tamu rumah, meramahkan diri menegur tetamu, hurmm... rupanya tetamu tak diundang yang hadir, iaitu beberapa orang salesman! dan aku perasan produk yang mereka jual, penapis air ion beralkali. Adus menyampah...

Aku kerap ikuti page di fb, "Pseudoscience" yang mendedahkan beberapa produk yang tidak mempunyai bukti saintifik yang meyakinkan tetapi berleluasa di jual di pasaran. Kebetulan pada waktu tersebut sedang hangat berkenaan "Kangen Water". Nah, salesman  yang di depan aku ni pun menjual benda yang lebih kurang sama, cuma brand sahaja lain. Mulanya aku cuba diam dan hanya lihat perbualan antara dua orang jurujual ini dengan ibu, ibu merupakan seorang guru agama. Sesuai dengan penampilan yang mereka bawa, memakai kopiah dan lengguk-lengguk bahasa yang acap kali mengucap "InshaAllah", "Alhamdulillah" dengan terma saintifik yang nampak bombastik, memang nampak meyakinkan. Dalam hati pada waktu itu aku dapat merasa aura  tak puas hati dah meluap terhadap dua orang jurujual tersebut.

"Bang... kalau guna teknologi infra red ni dekat air bukan bahaya ke? "

Saja psiko, walhal aku bukan ingat sangat pun bab-bab infra red semua ni.

"Eh tak lah, yang ni sesuai untuk air"

Jawab dia laju, dalam hati aku, kalau jawab macam tu aku pun boleh, ceh..

"Habis apa istimewanya air abang ni ? "

Air ni dia air ion beralkali, air ni akan ditapis dengan menjadikan molekul air ini lebih kecil dan halus serta beralkali. Air beralkali ni, cancer pun tak boleh hidup dalam ni.

Hurm.. bab dia sebut pasal molekul jadi lagi kecil dengan menyembuh cancer ni aku dah mula alergik. Sebab apa? apa yang dia claim lebih kurang macam air ECPI dengan produk-produk pseudoscience yang lain, masing-masing tak malu nak cakap produk mereka boleh sembuhkan cancer. Ironinya, semua benda yang jurujual ni confident terang dekat aku, semuanya ada dalam silibus yang aku pernah belajar, lagi-lagi bab cancer yang aku memang ikut perkembangan dalam dunia penyelidikan. Aku mula alergik dengan penerangan dia. Dan sengaja aku bertanya beberapa persoalan yang sedikit saintifik yang membingungkan mereka. Sekali imbas, aku boleh tahu mereka ini tiada asas sains. Namun, dah nama jurujual, mereka juga punya starategi, mereka terus hanya menumpukan pada ibu, dan menjaja nama-nama testimoni pengguna produk mereka, kebetulan nasib mereka baik, ada satu nama mereka petik itu saudara kepada ibu, dan aku nampak ibu terus sahaja setuju untuk membeli alatan mesin yang berharga dalam lingkungan RM 5k itu!  

Waktu itu aku pun berlalu sahaja, api amarah membara di dada. Takut-takut aku meninggi suara pada mereka, aku terus meninggalkan mereka dan masuk ke bilik. Terkilan aku waktu itu pada ibu yang tidak mengambil pendapat aku dan lebih percaya pada jurujual yang tersenyum lebar memikirkan komisyen yang kan diterima. Fuh, sakitnya itu di sini, di dalam dada. Sehingga waktu malam saat kami makan malam pun aku tak mampu untuk mengangkat muka memandang ibu kerana masih belum padam rasa terkilan pasal peristiwa tersebut. Sebaliknya adik-adiklah yang mendengar penerangan panjang lebar aku perihal mesin air mengarut itu.

Menariknya, hari ini aku terclick satu video di youtube oleh Ustad Nouman Ali Khan yang menceritakan perihal Imam Abu Hanifah dan juga ibunya. Sebagaimana kita tahu, Imam Abu Hanifah merupakan seorang yang sangat faqih dan tinggi keilmuaannya sehingga seluruh pelosok masyarakat meminta fatwa daripada beliau. Namun, suatu hari, baju ibunya terkena darah kemudiaan ibunya itu bertanya kepada anaknya imam Abu Hanifah berkenaan perkara tersebut. Selepas menjawab, lantas ibunya mengatakan, "Engkau tidak benar..., aku akan menanyakan kepada si anu (merupakan seorang daie yang terkenal)". Sebaik ibunya bertanyakan tentang masalahnya kepada daie tersebut, kemudiaanya daie ini yang tidak arif berkenaan soal hukum bertanyakan pula kepada tidak lain kepada Imam Abu Hanifah sendiri...~ Setelah memberi jawapan Imam Abu Hanifah memesan agar tidak diberitahu ibunya bahawa beliau yang memberikan jawapan. Si ibu akhirnya percaya setelah diberitahu jawapannya oleh Si daie tersebut.

Pengajaran yang diberitahu, memang sukar selalunya keluarga yang rapat untuk mempercayai perkataan kita, mungkin khusus lagi antara anak dan ibubapa. Tetapi itu bukanlah sebab untuk kita berlaku tidak hormat kepada mereka. Ibubapa berada di tahap yang sangat tinggi yang diiktiraf oleh Allah swt sendiri. Akhirnya peringatan kepada diri sendiri, walau setinggi mana kita sudah menjadi atau orang di luar mengangkat kita, pabila di rumah marilah kita hanya menjadi seorang anak, rendahkan diri dan hormati mereka selayaknya, dengar tiap tutur bicara mereka, kerana mana mungkin jasa mereka terbalas, dan redha Ilahi ada pada mereka.  


*Boleh baca tentang keraguan mesin air ion beralkali kangen water di fb “Pseudoscience watch”
*Youtube – Nouman Ali Khan : Imam Abu Hanifah and his Mother

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...