Monday, 27 January 2014

Medic? Engineer? bakat-bakat yang dipersia



Dah habis sekolah nanti nak jadi apa?

"Doktor, Engineer..."

Tanyalah mana-mana pelajar di mana-mana sekolah rata-rata dua jawapan ini akan menjadi jawapan paling popular yang akan diberikan. Kenapa begitu ?

Pemerhatian amatur saya berpendapat kerana masyarakat masih memandang dua pekerjaan ini sebagai suatu yang gah baik dari segi nama, pendapatan dan penghormatan yang menyebabkan perkaitan doktor dan engineer dengan perlambangan makna kejayaan begitu kuat dan sinonim dengan masyarakat baik di mana sahaja. 

Salahkah ?

Saya tidak bermaksud demikian, tidak langsung. Jika itu memang minat yang lahir dari individu tersebut, lalu silakan.

Jadi apa masalahnya ?

"Masalah" yang berlaku apabila dua bidang ini sahaja yang menjadi sasaran pelajar-pelajar cemerlang yang  merupakan cream of the cream, produk-produk terbaik yang dihasilkan oleh sistem pelajaran negara. Seolah-olahnya jikalau berada di luar bidang selain berkaitan dua ini, mereka dilihat kurang berjaya.

Dengan "tekanan" masyarakat dan dorongan ibu bapa, yang pastinya teruja mempunyai anak yang dihadapan namanya tertera DR atau IR, lalu ramailah yang melorongkan bakat dan cita-cita anak-anak mereka untuk tujuan itu. Jarang-jarang kedengaran ibu bapa yang mendorong anak-anak mereka menjadi seorang guru, ustaz mahupun ahli ekonomi.

 "Pembaziran bakat" ini akhirnya balik kepada masyarakat. Bilamana golongan bijak dan cemerlang ini dikumpulkan di suatu bidang tertentu sahaja, maka kita dapat melihat kebodohan dalam banyak bidang yang lain, sebagai contoh mudah bidang sinematografi dan perfileman. Apa yang boleh dibanggakan dengan drama, filem Melayu kita? TIADA, buktinya balik-balik hanya karya si genius P.Ramlee itu sahaja yang boleh dibanggakan hingga sekarang, kerana tiada yang cukup bijak untuk menandingi beliau.

Selain itu, bidang-bidang lain yang "ketandusan bakat" termasuklah bidang politik. Kerana kurangnya orang yang cerdik mahu terlibat dalam bidang ini, maka harini kita dihidangkan dengan ucapan-ucapan dan hujah-hujah yang boleh diistilahkan sebagai jenaka badut.

Golongan agamawan turut sedar akan hal ini dikala sekolah-sekolah agama hanya menjadi pilihan bagi anak-anak yang nakal dan tidak mampu lagi dikawal ibu bapa. Walhal untuk memahami bidang agama yang cukup luas bidang ilmunya memerlukan orang-orang bijak, pandai dan genius.! Dinukilan oleh Ustaz Dr Zaharuddin Abdul Rahman betapa tokoh besar Islam zaman kontemporari ini iaitu Sheikh Dr YusofAl Qaradawi itu merupakan pelajar yang kebitaraan sudah diketahui sejak di bangku sekolah apabila tersenarai sebagai top 100 seluruh Mesir ketika di zaman sekolah rendahnya lagi, rujuk buku beliau "Jangan Berhenti Belari".

Turut sama mempromosi bidang-bidang asing untuk diisi pelajar cemerlang ini ialah Ustaz Hasrizal Jamil yang bersungguh mempromosi bidang agama dan sejarah peradaban. Sinis beliau dalam kata lebih kurang, masyarakat harini banyak menyalahkan agamawan/ulama` atas kenyataan kenyatan yang kurang sensitif atau tindakan yang kurang bijak tapi dalam masa yang sama tidak pula membina anak-anak mereka ke arah menjadi agamawan.

Kini sudah masanya atas apa-apa kapasiti yang ada untuk melorongkan minat dan bakat adik-adik, anak-anak untuk mereka menjadi apa yang mereka mahu dan bukan disempitkan atas dua bidang itu sahaja. Masuklah bidang penulisan, hasilkanlah karya sehebat JK Rowling, ceburilah bidang perisian komputer ciptalah perisian sehebat window dan android, terjunlah ke bidang politik jadilah pemimpin karisma seperti Recap Tayyip Erdogan dan beriltizamlah menjadi seorang guru, mendidik jiwa manusia kenal akan dunia mencerah tujuan hidup menuju Ilahi seperti baginda Nabi Muhammad saw.


Bebaskan  pemikiran ~












Nukilan oleh : Bukan budak medic ataupun engineer.
Tulisan yang tak bermaksud nak cemburu tapi lebih kepada pengharapan. 







Tuesday, 5 November 2013

monolog selepas graduasi




Alhamdulillah setinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi

Atas limpah rahmatNya dapat juga saya bergraduasi pada masa yang ditetapkan.

Mood konvokesyen memang memberi kegembiraan yang sukar diungkap. Wajah girang ibubapa yang merasakan pengorbanan mereka berbaloi tatkala melihat anak tersayang memakai jubah dan topi empat segi, pensyarah yang tersenyum ceria melihat anak-anak muridnya satu per satu menerima skrol. Oh perhatikanlah riak wajah mereka waktu itu!

Istiadat konvokesyen meraikan kejayaan seseorang pelajar itu bergraduasi setelah menyelesaikan kursus yang diambil dalam masa yang ditetapkan. Hal ini memberi suatu perlambangan seolah Universiti sudah merestui graduan untuk berkhidmat kepada masyarakat. "Berkhidmat" dalam skop yang mudah diterangkan sebagai "bekerja tetap dan mempunyai pendapatan yang stabil", walaupun "berkhidmat" itu tidaklah sesempit itu pengertiannya.

Boleh dikatakan antara tujuan utama seseorang belajar ke tahap yang tinggi ialah untuk mendapatkan pekerjaan yang tetap dan gaji yang lumayan. Untuk mencapai tujuan tersebut, segulung ijazah ialah "tiket" yang dikejar-kejar dengan penuh bersungguh. Apa tidaknya ijazah inilah yang menjadi kunci seorang yang berlatarbelakang keluarga yang biasa-biasa untuk berdiri sama tinggi dengan golongan elit. Pengubah taraf sosial ke tahap lebih baik !

Mungkin kalau dahulu sekitar 70an, 80an seorang graduan bertaraf ijazah itu begitu dipandang tinggi dan dihormati kerana masa itu keluaran graduan dari universiti kecil bilangannya. Peluang kerja dan gaji yang  besar menanti para graduan. Seiring masa berlalu, pertumbuhan IPTA/IPTS yang begitu banyak bak cendawan selepas hujan menyebabkan graduan ijazah sarjana muda yang dikeluarkan setiap tahun amat besar bilangannya hingga akhirnya menatijahkan masalah lambakan graduan yang akhirnya membawa kepada bilangan pengangguran yang tinggi. Seseorang yang mempunyai ijazah pada masa sekarang bukan lagilah suatu keistimewaan bahkan suatu kebiasaan.

Suara-suara rungutan banyak sudah kedengaran daripada rakan-rakan tentang masalah memperoleh pekerjaan. Mana tidaknya, rata-rata mahukan yang sudah punya pengalaman. Hingga kalangan rakan-rakan dari kos kritikal seperti perubatan yang dahulunya selesa turut rungsing akan peluang kerja yang sangat tinggi kompetensinya. Itu belum kira soal gaji yang tidak setimpal dengan keperluan masa kini. Hendak fikir punyai kereta rumit sekali, rumah? jauh sekali!

Kehidupan selepas graduasi memang "menakutkan", gelaran graduan bukan lagi jaminan untuk terus menikmati kehidupan yang selesa. Perlu lagi mendaki untuk mengharungi cabaran baru yang lebih mencabar. Dalam suasana hiruk pikuk dunia yang membingitkan, saya pilih untuk terus mempersiapkan diri bersembunyi di bawah gelaran "mahasiswa", mudah-mudahan kelak ilmu yang dituntut pada peringkat lebih tinggi ini memberi kesan yang lebih baik pada masyarakat.  

Teringat satu kata-kata :

“Mengharap habuan dunia menjadikan manusia hina, Sedang mengharap habuan akhirat, dunia akan mengekori penuh hina.”




credit photo : majalah aspirasi ukm










Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...