Sunday 8 November 2015

Perjalanan Rohani : Sesuatu yang hilang

       Beberapa minggu lepas sengaja memilih untuk tidak menghadap facebook, selepas kembali membuka akaun tersebut perhatian saya terarah kepada beberapa perkara, yang paling menarik perhatian ialah posting  seorang gadis seperti tertera di bawah ini.



Pertamanya, saya pun tidak pasti kenapa saya follow beliau di FB. Tapi untuk cerita yang dikongsi, yang berkisar tentang lompong kehilangan antara ruang masa berbeza iaitu pada hari ini dengan zaman sekolah sangat serupa dengan konflik dalaman yang aku pun sendiri semakin merasai dalam beberapa masa kebelakangan ini, iaitu tentang perjalanan rohani.

Perjalanan rohani yang saya maksudkan ialah jika saya boleh menggunakan maksud yang saya fahami ialah pengalaman rohani, pengalaman beragama dan "rasa" (dzauq) interaksi antara diri dengan Allah swt. Ianya suatu pengalaman yang sangat eksklusif kepada diri sendiri dan mungkin tidak difahami oleh orang lain dan jarang orang berdiskusi atau ambil peduli terhadap hal ini. Cuma yang saya tahu ruang ilmu yang membahaskan perkara ini ialah ilmu Tasawuf.

Teringat saya pada suatu situasi saat saya ditemu duga untuk kemasukan sebagai pelajar perubatan di USM Kubang Kerian sekitar tahun 2009/2010 (i failed obviously). Salah satu soalan yang ditanya penemu duga iaitu seorang doktor pakar kanak-kanak, beliau bertanya :-

"Kamu tahu kan, pelajaran-pelajaran perubatan ini sangat membebankan, bagaimana kamu (sebagai pelajar) mengatur pembelajaran kamu nanti ? "

Dan spontan saya membalas :-

"Saya percaya untuk berjaya saya perlu menjaga hubungan dengan Allah, dan jika ada apa-apa yang tidak kena, saya akan recheck hubungan tersebut, dan jika saya menjaganya InshaAllah saya akan berjaya"

Saya membayangkan jikalau saya yang sekarang pastinya akan mengemukakan jawapan standard yang jauh berbeza, jawapan yang bersifat applicable ala-ala "how to .... for dummies" dan bukannya bersifat principal. Sifat principal seperti itu lahir bukanlah kerana kecerdikan saya terhadap elemen-elemen tasawuf mahupun penguasaan saya terhadap sifat-sifat Allah melalui asma`Nya, tetapi hanyalah melalui pengalaman rohani yang mendasar di hati yang terdalam sehingga terlafaz pada perkataan di saat ianya dipaksa (suasana temu duga).

Untuk memahami hal ini, ia membawa kepada ke suatu setting persekitaran di Sekolah menengah Sains Hulu Selangor. Perkara yang sangat-sangat akan saya kenangkan di tempat di mana saya habiskan lima tahun ini ialah tentang perjalanan rohani yang saya tempuhi di sini. Saya sangat bersyukur kepada Allah atas karunia ini yang akan dan sedang menjadi benchmark saat saya merasa kehilangan dzauq, indahnya berhubung dan berinteraksi dengan Allah swt. 

Sekolah ini, walaupun bukanlah sekolah agama tetapi rakan-rakan sebatch sama-sama bersetuju bahawa dengan bersekolah di sinilah kami didisiplinkan dengan solat berjemaah lima waktu, bacaan Quran selepas solat subuh dan maghrib, kenal usrah,  mula belajar membaca Al Ma`thurat , puasa sunat dan mengamalkan bacaan Al Mulk setiap sebelum tidur. Saya antara yang sangat terkesan dengan suasana yang diterapkan hingga  menghadirkan pengalaman rohani yang sangat enak, seakan mustahil bagi saya kini untuk mendapatkan pengalaman seperti itu lagi.

Di sini saya merasai betapa bersungguhnya saya mencapai khusyu` solat setelah diberitahu untuk mencapai khusyu` itu perlunya berasa seperti melihat Allah, dan jika tidak mampu berasalah seperti Allah sedang melihat kamu. Di sini saya merasai betapa lazatnya membaca ayat-ayat Al-Quran sehingga tidak tersedarkan helaian-helaian yang diselak (saya akan membaca setiap waktu solat). Di sini saya juga saya merasa sangat ringan untuk berzikir hingga mulut terkumat-kamit dengan sendirinya kerana larut dengan keasyikan. Di sini juga, saya terbiasa puasa sunat Isnin,khamis bukan kerana alasan untuk berjimat ataupun soal berat badan. Solat-solat sunat juga berasa begitu senang didirikan. Hal ini kerana saya merasai kelazatan beribadah, ketenangan hati langsung pada saat saya mengerjakannya. Hari ini, jauh sekali saya merasakannya. 

"Kehilangan" ini adalah suatu tragedi pada saya. Suatu kerinduan yang tidak mampu dilafazkan pada sesiapa melainkan pada Allah pemberi ketenangan. 

Dibandingkan dengan sekarang, saya bukanlah tahu banyak perkara tentang agama ini melainkan hanya sedikit. Tidak pernah saya mendengarkan tentang maqasid syariah, tidak pernah saya membaca karya-karya Sheikh Yusuf Al Qardawiy, Sheikh Ramadhan Al Butiy, Ibn Athaillah, Sheikh Qadir Al jilani, Sheikh Jalaluddin Ar-rumi, Said hawwa, mendengarkan nama Hamka pun begitu asing bagi saya. Tetapi rupanya saya begitu menggenggam falsafah Al Ghazali yang saya hanya temukan di buku bahasa arab komunikasi yang saya pelajari. 

"Ilmu itu cahaya, dan cahaya Allah tidak akan masuk ke dalam hati orang yang membuat maksiat"

Sepanjang pembelajaran saya di sekolah menengah, falsafah ilmu inilah yang saya genggam erat-erat dan begitu berpengaruh dalam segala hal sehingga ia secara tidak langsung mempengaruhi peribadi dan pergaulan saya ketika itu. Antaranya,saya jarang bersama-sama rakan-rakan lain sangat mereka bergelak ketawa dengan bercerita hal-hal mengumpat orang lain dan lebih-lebih lagi bercerita tentang lucah. Saya bahkan sangat menjaga pergaulan dengan perempuan sehingga boleh dikira berapa orang perempuan yang saya pernah tegur hinggalah memasuki tingkatan 5. Hal ini tidak lain adalah kerana batasan "maksiat" sesuai dengan kefahaman saya waktu ini. Perkara ini membuatkan saya banyak menyendiri dan mengasing. 

Apa yang saya cuba menginsafi dan sedar ialah bagaimana dahulunya dengan hanya tahu sedikit ilmu tentang sesuatu perkara (Islam),saya bahkan mampu melaksanakannya dalam kehidupan dan begitu memelihara sehingga ianya sebati dalam diri. Tidak seperti sekarang, rasanya semakin saya mendaki dan mempelajari ilmu-ilmu tentang Islam, semakin hanya boleh dibilang percentage yang saya mampu amalkan bahkan amalan saya saya pernah bersungguh saya amalkan di sekolah juga gugur satu per satu. Bukankah ilmu sepatutnya membuahkan amal ? 

Dahulu saya teringat betapa gementarnya saya saat disuruh kehadapan untuk memberi tazkirah, dan saat memberi tazkirah sekali itu bergetar hati saya sendiri terhadap butir-butir perkataan yang saya keluarkan. Lain sekarang, tazkirah bukanlah suatu hal yang sukar untuk saya sampaikan, namun apa yang saya takuti ialah semakin ia mudah dikeluarkan dari mulut semakin sedikit ia menyentuh hati diri sendiri bahkan perbuatan sendiri bertentangan pula apa yang dipercakapkan. Bukankah ini ciri munafik ? Nauzubillah. Kerana itu saya banyak memilih sekarang untuk diam dalam hal agama.

Akhirnya, dalam semakin saya menempuh ilmu-ilmu yang bersifat tsaqafah/intelligent, saya merasai kekurangan terhadap pengalaman spiritual. Saya belum menemukan balance antara pintar dan kritikal dalam mengkritik tetapi sangat rendah hati dan hina pada Allah umpama suatu lirik nasyid Sunnah orang berjuang itulah "Malamnya bagai rahib merintih sayu dihiris dosa dan air mata, siangnnya bagai singa dirimba memerah keringat mencurah tenaga". Betapa saya rindukan berasa dekat dengan Allah, merasa hati tenang dan dipandu dalam melakukan sesuatu. Suatu perasaan yang hilang, saat aku sedang berdepan beberapa hal yang sangat menuntut petunjukNya dalam membuat keputusan yang jauh di sana itu, pertaruhannya ialah syurga dan neraka. Ya Allah.... tunjukkanlah aku ke jalan yang lurus.





  

   





        





   



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...