Seminggu dua ini
aku menikmati karya penulis fenomenal Indonesia, Andre Hirata. Memulakan bacaan
dengan novel terbaru beliau yang bertajuk "Ayah", aku terpesona
dengan cara penceritaan Andrea Hirata yang sangat hidup membawa pembaca
ke suasana pulau Belitung serta puisi-puisi yang bukan main indah, dalam
masa yang sama boleh pula menggeletek dengan humoris yang melucukan.
Kemudiaannya dalam ketawa anda diam-diam meresapi ironi dan falsafah berat yang
cuba disampaikan. Hebat! Bijak sungguh penulis ini, bicara hatiku. Lantas aku
terus membeli karya besar Andrea Hirata iaitu "Laskar Pelangi" !
Laskar Pelangi
sudah pun berada di pasaran sejak 2005 lagi rupanya. Dan hebatnya novel ini ia
telah diterjemahkan ke dalam lebih dua puluh bahasa seluruh dunia. Dan penulisan
sulung Andrea Hirata ini melayakkan beliau diijazahkan doktor terhormat oleh
sebuah universiti di Wales. Terkagum melihat latar belakang Andrea yang
menerima pendidikan dalam bidang Master ekonomi di Universiti Paris dan
Sheffield Hallam University. Rupanya niat asal penulisan novel ini ialah untuk
menghargai seorang guru yang mengajar beliau mulai sekolah rendah (SD)
hinggalah peringkat pmr (SMP) iaitu Cikgu Muslimah serta kepada rakan-rakan
beliau seramai 10 orang itu yang diberi gelar oleh gurunya itu sebagai
"Laskar Pelangi". Alangkah malunya diri apabila hanya baru mengetahui
bahawa perkataan "Laskar" itu bermaksud "Askar" ! Askar
Pelangi bukankah sangat indah metafora ini?
Andrea Hirata
mengatakan beliau teringat suatu momen di sekolah usang beliau, yang mana pada
waktu itu hujan sangat lebat, di kala atap bocor menitis masuk ke dalam kelas,
beliau terlihat guru beliau iaitu Cikgu Muslimah, dengan penuh kecekalan
berpayung daun pokok pisang meredahi hujan untuk mengajar anak muridnya. Kala
itu katanya beliau bertekad suatu hari akan aku tuliskan mengenai ibunda
gurunya itu.
Laskar Pelangi
pada suatu sisi mengangkat "the unsung hero" iaitu guru sekolah
Muhammadiyah yang diceritakan oleh penulis sangat sederhana, hanya dibayar 15
kilo beras tiap bulan! Dua watak yang didiskripsi jelas di dalam novel ini
ialah Pak Harfan (pengetua sekolah) dan ibu Mus (guru kelas). Dua watak ini
sangat mengesankan pada saya kerana perjuangan yang mereka terpaksa harungi
disebalik segala kekurangan yang ada di sekolah mereka yang disifatkan sebagai
kandang tinggal dan sangat daif disamping tiada kemewahan yang menjanjikan.
Sudah lali anggota sekolah ini diperlekehkan kerana kedaifab mereka. Dedikasi
guru di Sekolah Muhammadiyah justeru digerakkan atas prinsip kerana percaya
anak-anak orang kampung yang sangat miskin berhak punya pendidikan
(satu-satunya sekolah yang percuma) serta rasa kebertanggungjawaban dalam
mengajar prinsip-prinsip Islam (satu-satunya sekolah Islam) pada masyarakat.
Digambarkan
bagaimana penduduk Belitung yang miskin melarat ibarat kais pagi makan pagi
kais petang makan petang walaupun mereka berada di salah sebuah pulau terkaya
di peta Indonesia sebagai pulau yang kaya dengan sumber timah. Hal ini kerana
mereka dimiskinkan oleh sistem yang ditinggalkan oleh Belanda, di mana hasil
kekayaan hanya berlegar di kalangan kapitalis yang turut menghuni di pulau
tersebut malahan dibina tembok yang mengasingkan mereka dengan golongan
marhean. Digambarkan banyak tempat digantung peringatan "Dilarang masuk
kepada yang tidak punya hak". Manifestasi keangkuhan kepada harta dan
kekuasaan. Pendudukan dinafikan banyak hak seperti dilarang menggali timah di
tanah oleh undung-undang yang diwarisi penjajah. Rata-rata penduduk di
situ merupakan kuli kepada syarikat kapitalis timah, kerana kemiskinan,
sampai-sampai mereka meragui anak-anak mereka untuk dihantar belajar kerana
menganggap ia sebagai membazir duit dan lebih baik anak-anak mereka terus
sahaja bekerja sebagai kuli seperti mereka.
Dua hal ini
membuat saya menjerit, meronta-ronta di dalam hati. Pertembungan antara sifat
kapitalis yang membolot peluang dan kekayaan serta bersenang lenang atas qudrat
orang-orang yang dimiskinkan dengan keikhlasan dan keteguhan seorang yang
dipandang biasa kerana kurang harta benda tapi justeru dengan segala qudrat
yang ada membela mereka yang ditindas. Situasi kini memperlihatkan hal yang
tidak kurang berbeza. Lihatlah di bandar-bandar besar ada segala macam
"home tuition, kem remaja, pusat tuisyen, sekolah antarabangsa, tahfiz
sains" kerana atas satu faktor tarikan, KEUNTUNGAN. Adakah peluang yang
sama diperoleh oleh pelajar pinggir bandar dan pelosok kampung punya peluang
sama? Jawapannya tentulah tidak, kerana market yang tidak menguntungkan. Jelek
dengan situasi ini, tapi soalannya siapa yang mahu berjuang untuk orang miskin?
dan siapa pula yang tidak mahu kaya? Realiti yang jijik untuk diakui tetapi tak
terdaya untuk menafikan.
Pengorbanan guru
Muhammadiyah kampung Belitong diam-diam telah membentuk anak-anak muridnya yang
bukan hanya berjaya dalam hidup tetapi menyerap masuk nilai-nilai Islam yang
dikongsi penulis melalui ucapan Pak Harfan yang menanamkan supaya memberi
sebanyak-banyak bukan menerima sebanyak-banyak sampai beliau berani bertaruh
tiada ahli Muhammadiyah yang berani-berani mengambil kuropsi! Serta dengan
bagaimana bergolak pun arus kehidupan mereka, nilai dan prinsip agama sama
sekali tidak akan mereka korbankan. Suatu nilai yang tidak akan sekali kali
diaudit oleh jabatan penilaian dalam menganalisis keberkesanan suatu
pendidikan. Namun, justeru perkara inilah yang sangat mahal pada penilaian
Allah swt, silap-silap mudah-mudah sahaja dianugerah syurga kerana hal ini.
Banyak lagi
aspek menarik di dalam karya Laskar Pelangi ini. Sebagaimana karya hebat yang
lain, Andrea Hirata berjaya menggambarkan sosio budaya yang ada dengan cukup
indah. Beliau membuatkan pembaca sedar akan kekayaan alam dan kekayaan hati dan
perasaan sehingga kemiskinan dan melarat pada suatu sudut pandangan biasa
tetapi adalah kekayaan nilai pada orang yang menjalaninya. Beliau juga
membangkitkan rasa semangat untuk memperdalami ilmu pengetahuan, hormat guru
dan tidak menjadikan kemiskinan sebagai alasan untuk mengalah. Akhirnya,
semangat setia kawan dan keindahan masa kecil adalah suatu yang harus selalu
disyukuri kerana di situ ada kekuatan yang menjadikan kita seperti hari ini.
Saya cukup
menginsafi diri saya selepas habis membaca dan menonton filem "Laskar
Pelangi" ini, dan hati saya berbisik, "Tidak mengapalah jika suatu
hari nanti aku bukan dalam kalangan mereka yang kaya harta padahal mengaut
untung dan bahagian dari si miskin. Biarlah kalau aku ditakdir hanya sederhana
pada kekayaan harta, kerana InshaAllah akan kulimpahkan sebanyak-banyak budi
kepada mereka yang dianggap "tidak menguntungkan" duit kocek.
Shazwan suhiman,
Kampung Sijangkang,
2 November 2015
1257 am
Kampung Sijangkang,
2 November 2015
1257 am
No comments:
Post a Comment