Monday, 26 October 2015

Tenggelamnya Jiwa Melayu



              Tulisan ini merupakan ulasan dan pandangan saya selepas menikmati karya agung "Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck" oleh Buya Hamka baik melalui novel dan juga filemnya. Pertama kali  mendengar tentang tulisan ini ialah melalui ibu beberapa masa yang lampau. Katanya ia merupakan tulisan yang menjadi silibus suatu ketika dahulu dan amat payah untuk menjumpai karya tersebut pada tempoh 5 tahun yang lepas. Namun akhir-akhir ini, karya ini hidup kembali dan dirai penuh gilang gemilang melalui cetakan kembali novelnya , filemnya yang menjadi hit di  panggung serta turut menjadi pementasan di pentas teater. Indonesia dan Malaysia meraikan karya ini bagai ianya hanya dicetak semalam mahupun kelmarin, walhal tulisan ini sudah pun berumur hampir 90 tahun. Mengapa begitu? Mengapa hati berasa sangat mendalami dan dekat dengan penceritaan ini?

Pada saya tenggelamnya kapal van der wijck dari satu segi berjaya menampilkan definisi sebenar percintaan atau mencintai seseorang acuan seorang Melayu. Pada saya, kisah Zainuddin dan Hayati inilah contoh klasikal pada mencintai seseorang secara tulus, bersih pada fitrah seorang Melayu. Pada watak Zainuddin, Hamka persembahkan bagaimana riak seorang lelaki Melayu apabila jatuh cinta. Ungkapan puisi dan bahasa-bahasa indah pada surat-surat yang dihantar, pada kesengsaraan dan derita melepaskan orang yang disayang, pada janji setia yang dipegang dan tak terhilang walaupun orang yang disayang sudah menjadi milik orang. Pada watak Hayati dipersembahkan bagaimana dalam bercinta ada adab dan tertib yang dipelihara. 

Nah, saya kira beginilah fitrahnya seorang Melayu nan bercinta. Kelihatan tinggi sekali maruah seorang Melayu dalam mengungkap dan menjalani cinta sesama insan. Cumanya Hamka kemudiannya mengajar untuk membina kebangkitan daripada derita dan tetap menjaga maruah walaupun sudah di puncak kejayaan. Kesengsaraan dan keindahan cinta ini pada saya yang dikongsi banyak orang adalah suatu fitrah. Sehinggakan pada saya jika belum sengsara, belum lagilah sampai pada darjat cinta yang fitrah. Lihatlah pada kisah-kisah cinta sepanjang zaman seperti Romeo dan Juliet dan Qaisyh dan Laila. Keindahan dan kesengsaraan yang mereka rasa adalah suatu rasa yang dikongsi semua jiwa (fitrah), kerana itu karya-karya ini terus hidup dan takkan mati.

Sengaja saya letak perkataan Melayu di atas kerana pada pemerhatian saya, orang Melayu sekarang tidak lagi bercinta sebagaimana selayaknya dia bercinta sebagai seorang Melayu. Ukurannya mudah, berapa ramai kau boleh temukan "Zainuddin" dalam rakan-rakanmu? Pada bahasanya dalam mencurah jiwanya. Saya agak, Zainuddin pada waktu masa Hamka itu agak normal. Lelaki Melayu memang begitu saatnya bercinta. Tapi kini kita (Melayu) sudah menolak jauh-jauh percintaan sedemikian rupa. Satu perkataan yang memusnahkan identiti, bahasa jiwa indah orang Melayu nan bercinta ; JIWANG.

Lalu untuk mengelak dicap JIWANG, merabalah umat Melayu dalam mendefinisi maksud cinta. Berjumpalah dengan dua perkataan, "cool" dan "sweet". Bercinta perlu cool seperti yang dicontohi barat pada definisi "LOVE". Musik, drama dan filem mereka mempersembahkan bagaimana cinta perlu ada ikatan material, berpegangan dan bersentuhan itu adalah menzahirkan maksud sayang dan yang menariknya ialah pada pembuktian cinta menurut barat yang disebut "Making Love"! Mungkin inilah yang membawa haluan percintaan Melayu kearah video 3GP dan hotel murahan.  

Datang pula satu gelombang dari Asia timur membawa pengertian cinta pada jenama "SWEET" melalui pendaratan drama awalnya Winter Sonata, Full House sebelum dialu-alukanlah segala macam musik dan filem mereka. Romantisme pengaruh korea ini lebih sesuai dengan ketimuran dan ada tata susila yang bersangkutan budaya mereka. Cumanya, romantisme mereka sangat bersifat khayalan dan jauh dari realiti yang menyakitkan. Penonton akan dibawa khayal tinggi-tinggi, indah-indah laksana sempurnalah seseorang yang dicintainya itu. Hal ini, mempengaruhi penulisan Melayu melalui novel-novel sehingga terhasilnya lambakan novel berunsur sweet sweet ini yang menaikkan rating TV saat slot Maghrib, walau kemudiaannya saat habis ditayangkan tiada pun mahu menontonnya kembali. Kesempurnaan ciptaan khayal, rupanya tak menjejak ke realiti yang anda pun tahu sendiri. 

Pada saya sebagai terakhirnya Melayu cuba memakai acuan "LOVE" dan "SWEET" tapi mereka tidak hanya cumalah menipu diri mereka sendiri, kerana cinta Melayu fitrahnya tidak begitu. LOVE penuh dengan nafsu yang sangat nikmat kemudiaanya kelak akan membawa ke lembah durjana. "SWEET" hanya tempelan keindahan-keindahan yang sebentar, terlalu tenggelam dalam khayalan kerana realiti ada pahit yang perlu ditelan dan diharungi.

Terima kasih Buya Hamka kerana mengingatkan kami pada erti cinta.



Shazwan Suhiman,
Bandar Baru Bangi
26 Oktober 2015
914pm






Post a Comment
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...