Sekarang tengah sibuk pilihan raya kampus , UKM baru habis semalam . Masing-masing telah pun memilih calon yang mereka rasa layak untuk menjadi pemimpin mereka atas ruang demokrasi yang cuba dididik di peringkat Universiti ini . Walaupun masing-masing berbeza dari cara bagaimana mereka menilai tetapi sekurang-kurangnya masing-masing sedar akan tanggungjawab untuk membuang undi .
Menuju Pilihan Raya Kampus merupakan suatu tempoh yang sedikit tegang khususnya jika ada dalam kalangan rakan yang berlainan ideologi parti yang mereka sokong . Bagi golongan yang cintakan "keamanan" dan "kedamaian" mereka akan sedaya upaya akan memastikan diri mereka kelihatan neutral kerana ingin menjaga hati rakan masing-masing . Namun ada juga golongan yang selesa mengisytiharkan parti apa yang mereka sokong .
Teringat cerita rakan saya bagaimana dia dan rakan kos sehingga tidak bertegur sapa dan dingin dalam suatu tempoh masa kerana hal berlainan ideologi ini , ini cerita sewaktu kami tahun satu dahulu , zaman pertama kali merasai kehangatan pilihan raya kampus . Saya sendiri sewaktu tahun pertama hanya banyak memerhati dan tidak berani mengisytihar terang-terangan pihak mana yang saya sebelahi disebabkan banyak kebimbangan yang difikirkan , hubungan dengan rakan , ugutan buang kolej dan lain-lain .
Semakin saya paham berkenaan "Politik" dan pilihan raya kampus itu sendiri , maka tiada lagi ragu untuk menyatakan pendirian saya . Ruang pilihan raya kampus sepatutnya dilihat semudah dua "parti" yang mempunyai ideologi yang berbeza , tawaran manifesto yang tidak sama serta kredibiliti dan personaliti calon yang berlainan untuk diteliti , dianalisa dan dipilih . Lucu sebenarnya jika kita bertengkar , bermasam muka dan hingga bergaduh atas faktor perbezaan kecenderungan terhadap suatu pihak yang berlainan .
Hal ini tidak lain adalah kerana pelbagai "sentimen" dan "label" yang berjaya diapi-apikan oleh sesetengah pihak , dan perkara ini tidak akan berlaku melainkan tempias daripada politik semasa negara Malaysia . Politik yang memburuk-buruk , mencaci maki , fitnah-memfitnah , ugut mengugut sehingga ke tahap mempergunakan bangsa dan agama untuk kepentingan masing-masing . Secara tidak langsung ia "mengajar" kita bahawa orang yang berlainan ideologi dengan kita itu sebagai pihak yang salah dan harus ditentang ! Tidak hairan jika ada yang menganggap politik itu kotor .
Sebagai akhirnya , perbezaan itu suatu lumrah yang kita perlu terima . Besar hikmah kita dapat lihat pada penciptaan lelaki dan perempuan , siang dan malam , kaum dan bangsa berlainan serta pelbagai ciptaanNya yang penuh variasi . Jadi apa masalah kita tidak boleh terima PEMIKIRAN yang berbeza dan pelbagai ?(yang tidak bertentangan dengan akidah dan syariat)
P/S :- yang tak mengundi tu gua tak tau nak kata ape la
No comments:
Post a Comment