Wednesday 17 June 2015

Hikayat Tentang Bulan


Assalamualaikum,

Awas, entry ini bukan untuk orang yang alergi dengan politik. 

Saya bukanlah sesiapa untuk mengulas, ini juga bukanlah satu analisis tuntas, namun sebagai coretan yang terbuku di hati.

Suatu "peristiwa" besar telah melanda,  yang saya kita perlu suatu rekod peribadi. Bukti perkara ini berlaku di zaman saya supaya nanti boleh dikenang (ambil iktibar) bila perlu.  

Saya akan bicara perihal muktamar PAS 2015 kali ke-61. Berikut merupakan catatan saya sebelum menjelangnya muktamar 2015. Congakan dan harapan terhadap hala tuju parti Islam ini. 








Muktamar 2015.

 

Sebagai seorang yang mengikuti perjalanan politik Malaysia, saya berasa teruja dengan pemilihan PAS pada kalini. PAS sentiasa menarik kerana walaupun akar ideologi parti ini ialah Islam, tetapi terdapat pelbagai pemikiran-pemikiran lain yang berada dalam PAS (berbeza pada sudut pembawakan).Beberapa perkara menarik yang akan berlaku :-

1) Jawatan presiden dicabar pertama kali selepas 50 tahun. 

2) Pertembungan semua posisi melibatkan 2 "kelompok"


.Ia menjadi bertambah panas apabila ada pelbagai spekulasi yang dijangka menerima natijah daripada muktamar kalini.

1) Soal laksana hudud/ tidak

2) Soal terus kerjasama dengan PR/BN

3) Parti baru mungkin akan tertubuh? 

Mungkin ada kemungkinan yang tidak akan berlaku pun hal-hal di atas, sekadar perencah rasa. Harapan saya, PAS perlukan sisi golongan konservatifnya kerana di sinilah letaknya "roh" jamaah ini yang menyebabkan ianya cukup unik berbanding parti lain. Di samping, PAS juga perlunya golongan progresif untuk memastikan ianya terus terkehadapan dalam persaingan politik tempatan. 

Pantang org PAS menerima komen pasal PAS bila orang itu bukan seorang ahli yang aktif. Saya sedar diri. Niat, sekadar merakam "peristiwa" bersejarah ini di sini. 


 
Sekian.

_________________________________________________________________________________

Namun, apa yang telah terjadi sangat menghiris hati, tidak terbayang saya sebuah jemaah Islam memperlakukan beberapa perkara yang jauh dari fahaman saya terhadap maksud "adil" pada pemilihan muktamar tersebut.

1) Label-melebel / Fitnah menjadi halal.

Isu ini sudah sangat berpanjangan, bermula selepas PRU 13 lepas lagi, pelbagai gelaran yang timbul diacukan sesama ahli atau pimpinan yang tidak sebulu. "Munafik Haraki" , "Jebon", "Liberal" , "Anwarinas" dan pelbagai lagi dimainkan dengan begitu jahat melalui FB dan whatsapp. Demikian juga beberapa tuduhan yang boleh dianggap fitnah (kerana tiada bukti kukuh) seperti isu Hawaio 5, cubaan mengurangkan kuasa Majlis Syura oleh seorang pimpinan dan lain-lain. Isu ini langsung tidak mencerminkan sifat gerakan Islam, lebih malang lagi ia turut disemarakkan lagi oleh mereka yang memakai gelaran ustaz/ulama. Hal ini tidak lain dikenali sebagai "Character Assassination". Membunuh terus karakter orang-orang yang dilabel tanpa peduli jasa dan sumbangan yang telah diberi. Hal ini sangat buruk apabila kata-kata cacian menjadi ratib ahli gerakan dalam komen-komen di FB, suatu pandangan yang tidak terbayang sebelum ini. 

2) Undi Chai

Taktik yang saya kira sangat tidak sihat, apabila sebelum pemilihan berlangsung berlegarnya nama-nama perwakilan yang "mendapat restu" dewan ulama Pas. Seolah-olahnya barisan ini sudah pun dipilih di peringkat atas dan dengan pengaruh yang ada terhadap perwakilan, kesempatan ini digunakan.  Hasilnya 99% pemilihan memihak kepada yang di atas kertas.

3) Fasa pembersihan

Kemenangan bergaya barisan blok "Pro-ulama" dikatakan sebagai fasa pembersihan daripada golongan blok "Progresif" yang disifatkan sebagai celaru fikrah, tanpa melihat performance. 

4) Usul putus DAP tanpa Bahas

Pelbagai usul atau ucapan perwakilan yang sangat pelik, antaranya menyelar tindakan NGO yang membantu kerajaan negeri kerana tidak melalui terus kerajaan negeri, isu pelarian yang perlu dihantar pulang dan yang paling menarik ialah usul khas dewan ulama yang memutuskan untuk berpisah dengan DAP tanpa bahas. Satu usul yang menarik ialah berkenaan "Grooming Ahli Parlimen Pas."

_________________________________________________________________________________

Pandangan saya selepas muktamar.

1) Pas sudah terpecah kepada dua. Mahu tidak mahu perkara ini terpaksa diakui. Satu, kumpulan yang terus memberi wala` terhadap pimpinan baharu dan kumpulan kedua yang masih simpati kepada bekas-bekas pimpinan yang lalu. Juga ada desas-desus parti baru akan ditubuhkan. Hati sesama pendokong Pas juga sudah terpecah, ada renggang ukhwah yang tak dapat disembunyi di setiap lapisan ahli.

2) Pas bukan tempat untuk meneguk ketulenan ilmu. Maaf, setelah saya mendengar/membaca pendapat-pendapat Ustaz/Ulama di dalam Pas yang "menghalalkan" tindakan label-melabel dengan hujah-hujah salutan agama serta beberapa perkara lagi juga dengan menggunakan nas-nas sebagai benteng penguat tindakan mereka yang pincang, saya hilang percaya sama sekali. Maaf kuliah maghrib anda juga saya sudah tiada hati untuk pergi, apatah lagi liqa mahupun usrah. *Nilaian saya ini adalah dengan merujuk pendapat-pendapat ilmuan lain yang menegur tindakan ini.* *Bukan generalisasi, terkecuali ulama yang jujur dengan ilmu*.

3) Pas sudah tidak menghala ke Putrajaya. Usul berpisah dengan DAP nyata disambut baik oleh DAP yang dengan tegas memuktamadkan hubungan dengan PAS pada 17/6/2015 ketika PAS masih berdolak dalih keputusan mereka yang sebenar. Pasti dan pasti, undi daripada kaum Cina pasti akan hilang, serta pemandangan melihat kaum Cina berbangga memakai/mengibar logo PAS akan menjadi memori yang tersimpan rapi. Pas menuju redha Allah. Redha Allah yang bagaimana? yang akan melaksanakan hudud tanpa rakan Pakatan? atau bagaimana ? menarik untuk diperhati.

4) Rasionalis beranggapan keputusan muktamar ini mengingatkan PAS pada zaman 80-an, PAS yang tulen. Tulen dari segi idelogi, bebas dari Anwarinas, Erdogan, IRF, Jebon mahupun liberalis. Sejauh mana kepimpinan yang tulen ideologi ini akan membawa hala tuju PAS dan capaian di akhir tempoh kepimpinan mereka menarik juga untuk dinilai. Maju? Mundur?

5) Kepimpinan Tuan Guru Abdul Hadi Awang sudah menerima banyak kritikan terhadap apa yang berlaku, namun saya pasti beliau melihat apa yang tidak saya lihat terhadap parti ini. Pasti. Saya tertanya-tanya, apa yang beliau lihat sebenarnya. Tetapi, dengan barisan kepimpinan yang baharu yang mendokong beliau 100% dari semua dewan, saya pasti beliau akan kuat. Benarlah kata perwakilan.. "Kita kan kuat...". Mari kita soal, jika kuat, apa yang bakal berubah atau diubah ? Saya melihat komposisi barisan kepimpinan TGHH ketika memimpin Terengganu tahun 1999 dengan barisan kepimpinan sekarang, ada persamaan.

6) Apakah akan ada tempat lagi dalam Pas untuk blok pemikir Islam yang "tidak tulen" ? Professional akan sentiasa menjadi 2nd class dalam Pas?

_________________________________________________________________________________


Muktamar ini saya percaya meninggalkan kesan yang menarik untuk dikaji dan dilihat semula. Satu demi satu peristiwa selepas ini pasti akan ada kena mengena dengan natijah muktamar ini.

Saya kira cukuplah.. dengan ini, saya cuba "berpuasa" tentang politik.      


Mudah-mudahan. 

   



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...