Saturday 3 January 2015

Salam Maulidur Rasul. Islam kamu ikut siapa?

Allahumma Solli Ala Saiyidina Muhammad Wa a la Ali Muhammad.


12 Rabiul Awal kembali lagi dengan kita menyambut keputraan baginda Nabi Muhammad saw. Saban hari, saban tahun merayakan, apakah kenalnya kita, kecintaan kepada baginda Nabi Muahammad saw dan kefahaman ajaran baginda itu semakin bertambah? Ataupun kita masih sekadar ghairah mahu menang di dalam pertandingan perarakan Maulid ataupun sibuk turut serta dalam membidah itu dan ini. *bab bidah rujuk asatizah*

Baginda Nabi bukti Islam Agama Praktikal


Khazanah ilmu ajaran Islam daripada baginda Nabi Muhammad saw itu sangat luas untuk diterokai , dan amatlah sesatnya jikalau kita yang beragama Islam ini tidak menjadikan ajaran baginda sebagai ikutan dan juga rujukan. Baginda Nabi menjadikan agama Islam, bukan sekadar teori yang tercatat di dalam Al quran (sebagaimana kebanyakan ajaran agama yang lain), tetapi menjejak kepada massa masyarakat, praktikal dan menepati fitrah manusia  (bukan terlalu kemalaikatan). "A live living example" ! 

Kemudiannya sejurus selepas kewafatan baginda Nabi Muhammad saw bermulalah konflik berkenaan hal tafsiran mengenai Islam (dalam kalangan orang-orang Islam). Mulanya wujud kumpulan-kumpulan murtad, tidak mahu membayar zakat dan juga nabi-nabi palsu. Seterusnya muncul pula golongan Khawarij dan kemudiannya Syiah. Khawarij dan Syiah masing-masing mengaku mereka mengikut ajaran Nabi Muhammad saw tapi dengan kefahaman mereka tersendiri yang menyimpang. Walaupun "sources" panduan masing-masing sama iaitu Al-Quran dan Assunnah namun ternyata cara memahami kedua sumber tersebut, akhirnya memberikan kesan yang sangat jelas berbeza dengan ajaran Islam sebenar. Pada hal Syiah dan Khawarij perlukan pembacaan akademik yang mendalam untuk faham. (baca sendiri)     

Islam Kita sama dengan Islam Nabi ?


Baru beberapa tahun sahaja selepas kewafatan Nabi Muhammad saw, saat khulafa` Ar Rasyidin masih ada, sudah ada tafsiran-tafsiran Islam yang jauh dari keaslian ajaran baginda. Persoalan yang saya ingin utarakan kepada sidang pembaca pula ialah "Apakah kalian pernah terfikir, Islam yang anda pegang, ikuti dan fahami sekarang ini, adakah ianya sama atau seiring sebagaimana dengan ajaran baginda Nabi Muhammad saw" sedangkan kita telah terpisah seribu tahun lebih dengan baginda Nabi. 


Sebagaimana yang telah disebut di atas, soal penerimaan Al-Quran dan As-Sunnah yang membezakan antara Sunni dan Syiah. Syiah tidak menerima pakai Mashaf Al Quran yang kita guna pakai sekarang, versi mereka lebih tebal. Begitu juga pada penerimaan hadith, bila mana Syiah menolak beberapa hadith soheh yang menjadikan mazhab mereka sangat berbeza dengan Sunni. Perbezaan antara Sunni dan Syiah ini saya kira semua sudah sedia maklum, lebih-lebih lagi selepas isu ini dihangatkan kerana berlakunya peperangan di Syria. Hal Syiah saya ada tulis di sini.


Kemudiannya dalam Sunni (Ahli Sunnah) itu berlaku juga pelbagai kelompok kefahaman walaupun semua bersepakat atas penerimaan dua sumber tadi, yang mana  berbeza pada bab "penafsiran" terhadap jalan dalam mencontohi Nabi. Perlu ditekankan berbeza penafsiran di sini, bukanlah hingga menatijahkan soal "kafir-mengkafir" atau jatuh menjatuhkan yang kencang di laman maya.


Masing-masing mempunyai satu persamaan yang nyata iaitu mahu mencontohi baginda Nabi Muhammad saw dalam segenap hal. Melalui pengamatan perjalanan saya yang jahil ini dan setakat terbatasnya ilmu  saya, ada beberapa golongan yang saya kenal dan belajar dari mereka tentang mengikuti ajaran baginda Nabi Muhammad saw dalam konteks Malaysia.


1) Kumpulan Tabligh 

Kumpulan yang berasal dari India kemudian datang ke Malaysia, nama yang mereka claim bukan dari mereka, tetapi diberi oleh masyarakat setempat. Mereka mengatakan mereka adalah penyambung kerja amar maaruf nahi mungkar yang sepatutnya menjadi tanggungjawab semua umat Islam. Mempunyai method yang tersendiri dalam menyampaikan dakwah (selalunya seragam) di mana-mana tempat (bayan, gush, ziarah) dengan menjadikan surau/masjid sebagai tempat musafir. Markas bertempat di Sri Petaling. Pada mereka saya belajar bagaimana mereka cukup kuat pada berpegang dengan amalan-amalan fardi yang dilaksanakan oleh baginda nabi. Dari segi solat awal waktu, berjemaahnya, solat sunat, tahajud, zikir-zikir, dan lain-lain. Sangat hebat disiplin mereka pada perkara-perkara yang disebutkan. 


2) Kumpulan Hubaib

Kumpulan yang semakin terkenal dan sinonim dengan majlis mawlid (Ya Hanana...). Terdiri daripada habib-habib yang merupakan keturunan salah-silah Rasulullah saw. Tedapat di pelbagai negara termasuk di Indonesia dan juga Malaysia, khususnya berfokus di Yaman. Konsisten membawakan mesej kecintaan kepada baginda Nabi Muhammad saw melalui majlis-majlis mawlid dan tausiyah. Majlis-majlis mawlid sebagaimana yang kita boleh perhatikan semakin mendapat perhatian orang ramai. 


3) Kumpulan Haraki

Mengambil inspirasi perjuangan daripada perjuangan As Syahid Hassan Al Banna. Kumpulan ini berusaha mengembalikan daulah khilafah Islamiyyah yang bermula dengan kerajaan Madinah Nabi Muhammad saw yang tumbang pada khilafah Uthmaniyyah. Memfokuskan pada 3 domain utama yang menyeluruh meliputi hal dakwah, tarbiyah dan siyasah. Mempunyai rangkaian di seluruh negara Islam. Di Malaysia, terdapat pelbagai kumpulan haraki dengan sejarah tersendiri sehingga akhirnya melahirkan PAS, Ikram, Abim, Haluan dan Isma. Kumpulan ini sebagaimana misi besarnya untuk mengembalikan khilafah, bergerak dalam masyarakat, memahami dan memberi solusi dalam hal semasa dan terlibat dalam pemerintahan negara ke arah menterjemah cara pemerintahan mengikut acuan baginda Nabi Muhammad saw. 



Terdapat juga kumpulan-kumpulan yang lain yang saya tidak sebutkan kerana tidak pernah turut serta secara langsung. Sengaja juga saya hanya menceritakan sisi baik yang saya peroleh walaupun kritikan antara setiap satu kumpulan ini boleh ditulis panjang berjela! Persamaan selain mereka mendakwa mengikuti ajaran baginda Nabi Muhammad saw, mereka juga berdiri dan bergerak atas dasar ilmu. 


Akhirnya, pada diri Rasulullah saw itu teladan yang cukup besar. Setiap saat dari tingkah laku nabi itu bermanfaat semuanya. Mungkin kita belum lagi mampu untuk mengikuti keseluruhan hidup kita seperti baginda nabi, namun janganlah pula berhenti. Saya kira kita perlu memahami khazanah sunnah Ar Rasul bukan sahaja pada amalan-amalan baginda tetapi pada nasihat dan perjalanan baginda sehingga ia benar-benar memandu kita pada zaman kini. Sangat penting untuk mencontohi baginda kerana dengan kasih dan syafaat bagindalah jalan untuk mengecapi redha dan cinta Ilahi. Langkah pertama untuk bermula bagaimana ? jawapan yang saya pilih untuk diri saya, Ilmu ! Ilmu melalui ulama-ulama yang ikhlas. Pada kefahaman ulama, akan memandu faham kita untuk selari dengan ajaran baginda nabi Muhammad saw yang sebenar. Dengan meletakkan diri dalam kumpulan (jamaah) akan mengekekalkan kita dalam kebenaran dan mudah-mudahannya tidak sesat, dalam erti kata, nabi tidak kenal kita di akhirat sana kelak, Nauzubillah.


Ya Allah pandulah kami ke arah cinta kepada rasul kami, Muhammad saw, berikanlah baginda kedudukan yang tinggi dan terpuji~




*teguran atas kesilapan fakta atau maklumat di alu-alukan diruangan komen
       



    


  



  
  

     


  

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...