Friday 9 January 2015

Banjir , Politician, Marhaen

Penghujung 2014 ditutup dengan tragedi yang cukup meninggalkan kesan kepada rakyat Malaysia apabila berlakunya banjir terburuk selepas beberapa dekad yang menjejaskan negeri-negeri pantai timur khususnya Kelantan, Pahang dan Terengganu. Banjir yang seteruk ini berlaku di luar jangkaan mana-mana pihak termasuk masyarakat dan kerajaan. Keadaan menimbulkan panik pada awalnya kerana bantuan yang lambat tiba.

Politicians Always be a Politician

Dalam suasana yang panik dan dikala mangsa-mangsa banjir bertarung nyawa menempuh tragedi, amat mengejutkan apabila terpampang di dada akhbar washington post yang menyatakan perdana menteri yang dikasihi, Najib Razak meluangkan masanya bermain golf bersama president US, Obama. Rupanya bukan beliau sahaja, beberapa menteri kerajaan termasuklah ketua pembangkang negara, Anwar Ibrahim sedang bercuti di luar negara. Apalah ertinya title sebagai "wakil rakyat" jika tidak bersama rakyat saat susah ?

Lebih menjengkelkan lagi apabila peristiwa banjir ini dijadikan isu untuk meraih mileage parti politik masing-masing. Ruang ketidakpastian (belum ada lagi fakta kukuh) mengenai sebab banjir membuka ruang persepsi seluasnya. Persepsi memanglah pentas untuk ahli politik. Siapa yang berjaya mencuri persepsi masyarakat, dialah yang berjaya menjuarai isu!

Baik dakwaan banjir sebagai sebab untuk segera menjalankan hudud ataupun kenyataan balas yang mengatakan penerokaan balaklah menjadi sebab berlakunya banjir, saya fikir kenyataan semacam ini dari kedua dua belah pihak , dengan masa yang kritikal adalah tidak cermat dan bersifat populis semata!

Marhaen Bangkit di Tengah Masyarakat.

Sepanjang pemerhatian saya warga Malaysia sangat responsif terhadap isu-isu kemanusiaan. Sebagai contoh isu-isu umat Islam seperti isu Palestin, Mesir termasuk Rohingya. Masyarakat Malaysia memang terkenal dengan sikap pemurah dan lembut hati. Terdetik di hati saya saat bermulanya berlaku tragedi banjir ini, "jikalau isu masyarakat luar pun begitu rakyat Malaysia bersusah payah memberikan pertolongan, sangatlah munafiknya jika isu dalam negara sendiri tidak diambil berat". Saya menantikan apa respon marhein setelah terkesima dengan respon aristokrat.

Ternyata telahan saya mengenai sifat masyarakat Malaysia yang tak betah melihat orang lain sengsara adalah benar. Tanpa mengira kaum, tiada kepentingan dan bergerak di bawah individu mahupun NGO, ramai yang kehadapan menawarkan khidmat tanpa bayaran untuk memberikan sumbangan. Pelbagai latar belakang , baik dari professional, aktivis dan pelajar mengorbankan diri menjadi sukarelawan menghulurkan sumbangan kepada mangsa.

Memetik idea pandangan Dr Maszlee Malik yang mengatakan bahawa untuk sesebuah masyarakat itu kuat, kita bukanlah hanya perlu bergantung kepada ahli-ahli politik, tetapi gerakan masyarakatlah yang perlu diperkuat dalam menerajui perubahan negara. Saya nampak kebenaran kata-kata ini dalam situasi ini. Maka muncullah beberapa orang aktivis yang nama mereka jarang kita dengar, tetapi kerana keikhlasan bakti yang mereka tumpahkan maka dikenali nama-nama seperti Raja Shamri dan Syed Azmi dan beberapa nama lain yang saya kurang tahu.

Bertalu talu bantuan masuk atas inisiatif  marhaen sendiri sampai kepada mangsa. Kemudian sahaja barulah kerajaan dan orang-orang politik memainkan peranan mereka dengan sepatutnya.

Musibah Juga Satu Rahmat

Banjir yang berlaku memberi banyak pengajaran yang seharusnya dijadikan iktibar sepanjang masa. Dikala kemanusiaan seakan hilang, kehidupan sempit dengan permainan kuasa orang atasan hingga menekan para marhein. Ternyata marhein masih kaya dengan dengan rasa kemanusiaan, malahan makin pula kuat pabila melihat yang lainnya menderita. Sistem sosial yang dibina rangkaian NGO di serata Malaysia memberikan harapan kepada Malaysia baharu. 

Pedulikan cakap-cakap politik yang membawa kebencian dan perpecahan, ingat sejarah kemanusiaan ini, pegang erat-erat, kerana 2015 menjanjikan tahun yang mencabar, sebelum era doktrin hitam 2016, 2017 yang akan memporak-perandakan pandangan masyarakat. InsyaAllah Kelantan dan lain-lainnya mampu bangun kembali sebagaimana Aceh.

Sebarkan kasih sayang, kebatilan akan tertunduk tersipu malu.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...