Friday 14 June 2013

A tribute to Hero






  
Bermula umur lebih kurang setahun hingga empat tahun saya dibesarkan oleh datuk dan nenek di kampung, dan saya merupakan cucu sulong mereka. Kasih sayang seorang datuk dan nenek saya tidak pernah kurang sebagaimana kasih ibu ayah kepada anak. 

Atuk saya dahulunya merupakan seorang yang ceria, rajin dan menurut ayah sendiri, atuk seorang yang cool dan sporting. Tiap-tiap hari menjadi rutin hariannya untuk pergi berkebun, mengerjakan kebun di belakang rumah hingga waktu tengah hari ,dan kebiasaan yang saya ingat atuk akan mengaji pada petang hari dan pergi  sembahyang ke surau pada malam hari. Bertahun saya membesar bersama atuk, saya gembira melihat atuk sentiasa sihat walau semakin hari dimamah usia.

Hidup tak selalu indah, langit tak selalu cerah, aturan qada dan qadar Allah mentadbir alam penuh misteri dan rahsia  namun penuh kebijaksaaan. Suatu malam, kira-kira dua tahun yang lepas atuk diserang strok melalui serangan tekanan darah tinggi melalui kapilari otak . Komplikasi kepada serangan itu benar-benar merubah kehidupan beliau. Sejak hari tersebut pergerakan atuk sangat terbatas, walaupun masih boleh berjalan dan bergerak. Perubahan yang paling besar yang dihadapi datuk inilah dia telah kehilangan sebahagian besar memori hidupnya, atau bahasa mudahnya Alzheimer !

Alzheimer merupakan penyakit yang belum ada penawarnya, banyak perbahasan ilmu berkenaan penyakit ini dari pelbagai sudut samada perubatan, psikologi dan bidang saya pelajari biokimia. Biokimia menerangkan bagaimana penyakit Alzhimer berpunca dari tapak jalan (cascade pathway) insulin yang bermasalah iaitu pada protein kinase  GSK 3 yang berkaitan dengan diabetes. Di samping penerangan popular yang menyatakan laluan kapilari darah ke otak yang tersumbat menyebabkan tekanan darah tinggi yang seterusnya merosakkan saluran darah dan mendegradasi neuron.

Psikologi menerangkan bagaimana tingkah laku (behaviour) pesakit. Banyak yang berubah termasuk percakapan yang sudah tidak lancar, memori yang celaru dan lain-lain. Paling membimbangkan apabila pesakit tidak tahu jalan pulang, suatu peristiwa, atuk pernah keluar rumah pada lewat tengah malam hingga satu kampung mencarinya mujur ada nenek yang sedar akan hal ini dan anak-anaknya yang tinggal berhampiran. Menjelang subuh atuk dijumpai di dalam hutan di belakang rumah. "==

Pesakit juga kadang-kadang akan teringat-ingat kenangan lalu seolah-olah ia berada di zaman tersebut. Pernah sekali ketika kami sekeluarga ingin pulang ke rumah dari menziarahi atuk, tiba-tiba atuk berkata kepada nenek , "Imin (merujuk kepada ayah) nak ke mana, kan rumahnya kat sini" seolah-olah teringatkan ayah yang masih dahulu tinggal serumah dengan atuk semasa bujangnya.

Pada hari pertama raya ketika takbir raya berkumandang, atuk teresak-esak menangis sambil memanggil-manggil dan bertanyakan perihal adik beradiknya yang walhal semuanya sudah lama menghadap Ilahi. Terbaru, ketika datang ke rumah kami selepas ibu dan ayah pulang dari Makkah, ketika sembahyang maghrib, saya perhati betapa atuk bersungguh dalam solatnya, lama sujudnya walau bilangan rakaatnya saya pastikan sudah terlebih mengikut mahu dan caranya. Kelihatan butir-butir air mata seusai munajatnya mungkin terkenangan memori indah dahulu ketika dijemput ke tanah suci.

Melihat hidup atuk sebegitu memuhasabahkan diri, kiranya  berada di tempatnya. Sains menerangkan bahawasanya perkara ini tidak mustahil kerana perkaitan penyakit tadi diturunkan melalui genetik. Apa mungkin aku akan diuji sebegitu? Apakah dalam kecelaruan dan kehilangan memori itu nanti masih ada ingat akan pencipta Allah Rabbul Alamin sedang pada masa sihat ini pun sering alpa dan terlupa akanNya.

Muhasabah..

Muhasabah..

Selamat Hari Bapa, buat Bapa kepada Bapa Saya! 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...