Sunday, 27 September 2015

Mengenal Leluhur

Salam Aidiladha,


       Pada 18 hingga 20 September 2015, saya dan dua orang rakan, Aliff dan Fazli telah menyertai Bengkel Siswazah Selangor yang diadakan di De Palma Hotel yang dianjurkan oleh Dr Alin Nor dan Prof Emiratus Dr Shahrir. Bengkel ini bertujuan untuk melatih teknik-teknik penyelidikan berkaitan sejarah, yang memfokuskan sejarah di Selangor. Kenapa seorang berlatar belakangkan pengajian sains seperti kami menyibukkan diri untuk turut serta dalam bengkel berkaitan sejarah ini ? Jawapan saya secara peribadi kerana peluang untuk berinteraksi terus dengan dua "penyelidik rakyat" ini yang juga berlatarkan Sains Matematik tetapi giat juga menyelidik tentang sejarah, falsafah dan asal usul Melayu sangat mengujakan!

Mereka menjadikan dunia penyelidikan bukan hanya eksklusif pada sesuatu bidang untuk tujuan akademik dan industri tetapi turut serta campur tangan dalam isu-isu yang memberi nilai pada pembangunan masyarakat. Selain, memang kecenderungan diri sendiri yang akhir-akhir ini mula berminat untuk menyoal, membaca dan melihat sejarah dari dimensi berbeza, dan perkaitannya pada pemikiran dan cara pandang masyarakat sekarang. 

Alhamdulillah, banyak keberuntungan sepanjang mengikuti bengkel tersebut. Tetapi di sebalik keenakan hidangan hotel dan penginapan berhawa dingin yang disedia percuma, dan ruang masa bersama tokoh ilmuan yang membolehkan interaksi dan pembelajaran terus, saya menemui suatu khazanah yang menjawab persoalan tentang asal usul sejarah diri saya sendiri iaitu saya mula kenali siapa moyang yang bersambung dengan nasab keturunan.

Malam pertama merupakan penerangan dari Prof Emir. Dr Mohd Shahrir, beliau membentang beberapa perkara hasil dapatan penyelidikan yang telah beliau sendiri lakukan terhadap negeri Selangor. Perkara seperti sejarah asul usul Selangor yang perlu diperincikan merangkumi tentang sultan pertama Selangor sendiri, pejuang-pejuang penentang penjajah yang mana tiada pun seorang yang berasal dari Selangor pernah dicatatkan, termasuk beberapa teori menarik yang mana Sungai Klang atau Beranang ada dicatatkan pada peta Greek seawal kurun 10 ke 100 Masihi lagi.

Kemudian, masuk kepada satu bab yang membulatkan mata saya, iaitu perihal tokoh ulama yang terdapat di Selangor. Mata saya terus terfokus pada suatu nama yang saya kenal iaitu Kiai Muhammad Hairawi. Beliau ialah datuk saudara saya, yang merupakan adik kepada Allahyarhamah nenek sebelah ibu saya. Walaupun, berkunjung saban tahun ke rumah beliau setiap kali hari raya, tidak pernah pula saya tahu akan ketokohan beliau. Artikel tentang beliau ada ditulis di utusan sini. Cukup teruja dengan penemuan ini, penemuan berikutnya lebih mengujakan. Tentang perihal moyang saya pula, Kiai Muhammad Dahlan !

Nama Kiai Muhammad Dahlan disebut

Merujuk kembali lembaran yang diberi, turut disertakan juga nama Kiai Muhammad Dahlan dalam senarai tokoh ulama negeri Selangor. Sedikit pencarian lalu saya terjumpa pula artikel tulisan utusan ini pula.



Pertama kali, saya tahu berkenaan moyang sendiri. Kurang saya ambil tahu berkenaan keluarga sebelah ibu kerana datuk dan nenek sebelah ibu telah pun meninggal dunia ketika saya masih kecil lagi. Teruja dengan penemuan ini, lantas saya terus usulkan tajuk pemfokusan dalam bengkel yang saya hadiri untuk mengenal lebih lanjut tokoh Muhammad Dahlan yang merupakan moyang saya sendiri.

Dalam tinjauan awal, sebagai pelajar penyelidikan saya mengesan beberapa "gap" yang perlu diisi untuk melengkapkan kajian ini.

1) Saya bertanya dengan ibu berkenaan datuknya ini, dan malangnya ibu sendiri tidak sempat berjumpa dengan beliau kerana ibu merupakan anak yang paling bongsu. Selain terdapat perbezaan pada catatan nama iaitu menurut ibu nama datuknya ialah Muhammad Dahlan bin Hassan Isbat, manakala yang dilaporkan di sini ialah Muhammad Dahlan bin Hassan Minhaj. Orang yang sama? perlu diteliti.

2) Kiai Muhammad Dahlan dikatakan menulis beberapa buah kitab, termasuk kitab terjemahan bahasa Arab ke bahasa Jawa dan bahasa Melayu sendiri. Persoalan di mana kitab-kitab yang telah beliau tulis itu juga menjadi poin penting untuk sampai kepada tokoh ini.

3) Dikatakan juga selain Kiai Muhammad Dahlan, Kiai Hussin dan Kiai Ali merupakan pendiri sistem pondok di Selangor yang juga terletak di kampung saya sendiri di Sijangkang dan Kanchong darat. Tetapi, berbeza dengan sistem pondok di Kelantan yang terus meriah. Sistem pondok di Selangor ini hanyalah tinggal bekas tinggalannya sahaja. Kenapa hal ini berlaku ?

Persoalan ini akan cuba kumpulan kami jawab dan mudah-mudahan memberi manfaat dari segi ilmu pengetahuan dan sebagainya.

  
       Beberapa masa kebelakangan ini, persoalan yang banyak bermain di dalam kepala saya ialah berkaitan sejarah, pengalaman lalu yang membina cara pandang dan jati diri saya sendiri. Pada fasa kehidupan ini, saya sedang cuba untuk mengenal diri sendiri, kerana saya fikir ia cukup penting ke arah memandang masa depan yang lebih jauh. Alhamdulillah saya dipertemukan fakta yang sedemikian baik berkenaan asal usul keturunan saya. Saya cuba mengandaikan jika perkara keturunan ini menjadi "doktrin" dalam didikan keluarga, pastinya saya bukan menjadi apa yang saya kecapi sekarang. Mungkin saya seorang pelajar jurusan agama, mungkin saya seorang yang membawa imej berjubah dan serban dengan akhlak yang tutur kata dan akhlak yang jauh lebih sopan..... mungkin. Tetapi itu soal yang lepas, perkara yang tidak boleh diubah, tetapi masa depan masih kosong untuk dilakar dengan sejarah yang ada hari ini. 
      





Shazwan Suhiman,
Kampung Sijangkang
27.9.2015
9:47 pm
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...