Perkara ni
berlaku minggu lepas, waktu aku balik rumah hujung minggu. Mulanya aku perasan
jugak ada beberapa orang datang rumah, ingatkanlah kawan ibu atau ayah, jadi
aku malas nak layan sangat. Tiba-tiba nampak ayah dah malas nak layan,
kepenatan rewang pada sebelah pagi, kemudian beliau kata kepada aku
"Cubalah tengok dekat atas tu, teman ibu..". Aku pun pergilah ke
anjung tamu rumah, meramahkan diri menegur tetamu, hurmm... rupanya tetamu tak
diundang yang hadir, iaitu beberapa orang salesman! dan aku perasan produk yang
mereka jual, penapis air ion beralkali. Adus menyampah...
Aku kerap ikuti
page di fb, "Pseudoscience" yang mendedahkan beberapa produk yang
tidak mempunyai bukti saintifik yang meyakinkan tetapi berleluasa di jual di
pasaran. Kebetulan pada waktu tersebut sedang hangat berkenaan "Kangen
Water". Nah, salesman yang di depan
aku ni pun menjual benda yang lebih kurang sama, cuma brand sahaja lain.
Mulanya aku cuba diam dan hanya lihat perbualan antara dua orang jurujual ini
dengan ibu, ibu merupakan seorang guru agama. Sesuai dengan penampilan yang
mereka bawa, memakai kopiah dan lengguk-lengguk bahasa yang acap kali mengucap
"InshaAllah", "Alhamdulillah" dengan terma saintifik yang
nampak bombastik, memang nampak meyakinkan. Dalam hati pada waktu itu aku dapat merasa aura tak puas hati dah meluap terhadap dua
orang jurujual tersebut.
"Bang...
kalau guna teknologi infra red ni dekat air bukan bahaya ke? "
Saja psiko,
walhal aku bukan ingat sangat pun bab-bab infra red semua ni.
"Eh tak
lah, yang ni sesuai untuk air"
Jawab dia laju,
dalam hati aku, kalau jawab macam tu aku pun boleh, ceh..
"Habis apa
istimewanya air abang ni ? "
Air ni dia air
ion beralkali, air ni akan ditapis dengan menjadikan molekul air ini lebih
kecil dan halus serta beralkali. Air beralkali ni, cancer pun tak boleh hidup
dalam ni.
Hurm.. bab dia
sebut pasal molekul jadi lagi kecil dengan menyembuh cancer ni aku dah mula
alergik. Sebab apa? apa yang dia claim lebih kurang macam air ECPI dengan
produk-produk pseudoscience yang lain, masing-masing tak malu nak cakap produk
mereka boleh sembuhkan cancer. Ironinya, semua benda yang jurujual ni confident
terang dekat aku, semuanya ada dalam silibus yang aku pernah belajar, lagi-lagi
bab cancer yang aku memang ikut perkembangan dalam dunia penyelidikan. Aku mula
alergik dengan penerangan dia. Dan sengaja aku bertanya beberapa persoalan yang
sedikit saintifik yang membingungkan mereka. Sekali imbas, aku boleh tahu
mereka ini tiada asas sains. Namun, dah nama jurujual, mereka juga punya starategi, mereka terus hanya
menumpukan pada ibu, dan menjaja nama-nama testimoni pengguna produk mereka,
kebetulan nasib mereka baik, ada satu nama mereka petik itu saudara kepada ibu, dan
aku nampak ibu terus sahaja setuju untuk membeli alatan mesin yang berharga
dalam lingkungan RM 5k itu!
Waktu itu aku
pun berlalu sahaja, api amarah membara di dada. Takut-takut aku meninggi suara
pada mereka, aku terus meninggalkan mereka dan masuk ke bilik. Terkilan aku
waktu itu pada ibu yang tidak mengambil pendapat aku dan lebih percaya pada
jurujual yang tersenyum lebar memikirkan komisyen yang kan diterima. Fuh,
sakitnya itu di sini, di dalam dada. Sehingga waktu malam saat kami makan malam
pun aku tak mampu untuk mengangkat muka memandang ibu kerana masih belum padam
rasa terkilan pasal peristiwa tersebut. Sebaliknya adik-adiklah yang mendengar
penerangan panjang lebar aku perihal mesin air mengarut itu.
Menariknya, hari
ini aku terclick satu video di youtube oleh Ustad Nouman Ali Khan yang
menceritakan perihal Imam Abu Hanifah dan juga ibunya. Sebagaimana kita tahu,
Imam Abu Hanifah merupakan seorang yang sangat faqih dan tinggi keilmuaannya
sehingga seluruh pelosok masyarakat meminta fatwa daripada beliau. Namun, suatu
hari, baju ibunya terkena darah kemudiaan ibunya itu bertanya kepada anaknya
imam Abu Hanifah berkenaan perkara tersebut. Selepas menjawab, lantas ibunya
mengatakan, "Engkau tidak benar..., aku akan menanyakan kepada si anu
(merupakan seorang daie yang terkenal)". Sebaik ibunya bertanyakan tentang
masalahnya kepada daie tersebut, kemudiaanya daie ini yang tidak arif berkenaan
soal hukum bertanyakan pula kepada tidak lain kepada Imam Abu Hanifah
sendiri...~ Setelah memberi jawapan Imam Abu Hanifah memesan agar tidak
diberitahu ibunya bahawa beliau yang memberikan jawapan. Si ibu akhirnya
percaya setelah diberitahu jawapannya oleh Si daie tersebut.
Pengajaran yang
diberitahu, memang sukar selalunya keluarga yang rapat untuk mempercayai
perkataan kita, mungkin khusus lagi antara anak dan ibubapa. Tetapi itu
bukanlah sebab untuk kita berlaku tidak hormat kepada mereka. Ibubapa berada di
tahap yang sangat tinggi yang diiktiraf oleh Allah swt sendiri. Akhirnya peringatan kepada diri sendiri, walau
setinggi mana kita sudah menjadi atau orang di luar mengangkat kita, pabila di
rumah marilah kita hanya menjadi seorang anak, rendahkan diri dan hormati mereka
selayaknya, dengar tiap tutur bicara mereka, kerana mana mungkin jasa mereka
terbalas, dan redha Ilahi ada pada mereka.
*Boleh baca
tentang keraguan mesin air ion beralkali kangen water di fb “Pseudoscience
watch”
*Youtube –
Nouman Ali Khan : Imam Abu Hanifah and his Mother