Sunday 8 November 2015

Perjalanan Rohani : Sesuatu yang hilang

       Beberapa minggu lepas sengaja memilih untuk tidak menghadap facebook, selepas kembali membuka akaun tersebut perhatian saya terarah kepada beberapa perkara, yang paling menarik perhatian ialah posting  seorang gadis seperti tertera di bawah ini.



Pertamanya, saya pun tidak pasti kenapa saya follow beliau di FB. Tapi untuk cerita yang dikongsi, yang berkisar tentang lompong kehilangan antara ruang masa berbeza iaitu pada hari ini dengan zaman sekolah sangat serupa dengan konflik dalaman yang aku pun sendiri semakin merasai dalam beberapa masa kebelakangan ini, iaitu tentang perjalanan rohani.

Perjalanan rohani yang saya maksudkan ialah jika saya boleh menggunakan maksud yang saya fahami ialah pengalaman rohani, pengalaman beragama dan "rasa" (dzauq) interaksi antara diri dengan Allah swt. Ianya suatu pengalaman yang sangat eksklusif kepada diri sendiri dan mungkin tidak difahami oleh orang lain dan jarang orang berdiskusi atau ambil peduli terhadap hal ini. Cuma yang saya tahu ruang ilmu yang membahaskan perkara ini ialah ilmu Tasawuf.

Teringat saya pada suatu situasi saat saya ditemu duga untuk kemasukan sebagai pelajar perubatan di USM Kubang Kerian sekitar tahun 2009/2010 (i failed obviously). Salah satu soalan yang ditanya penemu duga iaitu seorang doktor pakar kanak-kanak, beliau bertanya :-

"Kamu tahu kan, pelajaran-pelajaran perubatan ini sangat membebankan, bagaimana kamu (sebagai pelajar) mengatur pembelajaran kamu nanti ? "

Dan spontan saya membalas :-

"Saya percaya untuk berjaya saya perlu menjaga hubungan dengan Allah, dan jika ada apa-apa yang tidak kena, saya akan recheck hubungan tersebut, dan jika saya menjaganya InshaAllah saya akan berjaya"

Saya membayangkan jikalau saya yang sekarang pastinya akan mengemukakan jawapan standard yang jauh berbeza, jawapan yang bersifat applicable ala-ala "how to .... for dummies" dan bukannya bersifat principal. Sifat principal seperti itu lahir bukanlah kerana kecerdikan saya terhadap elemen-elemen tasawuf mahupun penguasaan saya terhadap sifat-sifat Allah melalui asma`Nya, tetapi hanyalah melalui pengalaman rohani yang mendasar di hati yang terdalam sehingga terlafaz pada perkataan di saat ianya dipaksa (suasana temu duga).

Untuk memahami hal ini, ia membawa kepada ke suatu setting persekitaran di Sekolah menengah Sains Hulu Selangor. Perkara yang sangat-sangat akan saya kenangkan di tempat di mana saya habiskan lima tahun ini ialah tentang perjalanan rohani yang saya tempuhi di sini. Saya sangat bersyukur kepada Allah atas karunia ini yang akan dan sedang menjadi benchmark saat saya merasa kehilangan dzauq, indahnya berhubung dan berinteraksi dengan Allah swt. 

Sekolah ini, walaupun bukanlah sekolah agama tetapi rakan-rakan sebatch sama-sama bersetuju bahawa dengan bersekolah di sinilah kami didisiplinkan dengan solat berjemaah lima waktu, bacaan Quran selepas solat subuh dan maghrib, kenal usrah,  mula belajar membaca Al Ma`thurat , puasa sunat dan mengamalkan bacaan Al Mulk setiap sebelum tidur. Saya antara yang sangat terkesan dengan suasana yang diterapkan hingga  menghadirkan pengalaman rohani yang sangat enak, seakan mustahil bagi saya kini untuk mendapatkan pengalaman seperti itu lagi.

Di sini saya merasai betapa bersungguhnya saya mencapai khusyu` solat setelah diberitahu untuk mencapai khusyu` itu perlunya berasa seperti melihat Allah, dan jika tidak mampu berasalah seperti Allah sedang melihat kamu. Di sini saya merasai betapa lazatnya membaca ayat-ayat Al-Quran sehingga tidak tersedarkan helaian-helaian yang diselak (saya akan membaca setiap waktu solat). Di sini saya juga saya merasa sangat ringan untuk berzikir hingga mulut terkumat-kamit dengan sendirinya kerana larut dengan keasyikan. Di sini juga, saya terbiasa puasa sunat Isnin,khamis bukan kerana alasan untuk berjimat ataupun soal berat badan. Solat-solat sunat juga berasa begitu senang didirikan. Hal ini kerana saya merasai kelazatan beribadah, ketenangan hati langsung pada saat saya mengerjakannya. Hari ini, jauh sekali saya merasakannya. 

"Kehilangan" ini adalah suatu tragedi pada saya. Suatu kerinduan yang tidak mampu dilafazkan pada sesiapa melainkan pada Allah pemberi ketenangan. 

Dibandingkan dengan sekarang, saya bukanlah tahu banyak perkara tentang agama ini melainkan hanya sedikit. Tidak pernah saya mendengarkan tentang maqasid syariah, tidak pernah saya membaca karya-karya Sheikh Yusuf Al Qardawiy, Sheikh Ramadhan Al Butiy, Ibn Athaillah, Sheikh Qadir Al jilani, Sheikh Jalaluddin Ar-rumi, Said hawwa, mendengarkan nama Hamka pun begitu asing bagi saya. Tetapi rupanya saya begitu menggenggam falsafah Al Ghazali yang saya hanya temukan di buku bahasa arab komunikasi yang saya pelajari. 

"Ilmu itu cahaya, dan cahaya Allah tidak akan masuk ke dalam hati orang yang membuat maksiat"

Sepanjang pembelajaran saya di sekolah menengah, falsafah ilmu inilah yang saya genggam erat-erat dan begitu berpengaruh dalam segala hal sehingga ia secara tidak langsung mempengaruhi peribadi dan pergaulan saya ketika itu. Antaranya,saya jarang bersama-sama rakan-rakan lain sangat mereka bergelak ketawa dengan bercerita hal-hal mengumpat orang lain dan lebih-lebih lagi bercerita tentang lucah. Saya bahkan sangat menjaga pergaulan dengan perempuan sehingga boleh dikira berapa orang perempuan yang saya pernah tegur hinggalah memasuki tingkatan 5. Hal ini tidak lain adalah kerana batasan "maksiat" sesuai dengan kefahaman saya waktu ini. Perkara ini membuatkan saya banyak menyendiri dan mengasing. 

Apa yang saya cuba menginsafi dan sedar ialah bagaimana dahulunya dengan hanya tahu sedikit ilmu tentang sesuatu perkara (Islam),saya bahkan mampu melaksanakannya dalam kehidupan dan begitu memelihara sehingga ianya sebati dalam diri. Tidak seperti sekarang, rasanya semakin saya mendaki dan mempelajari ilmu-ilmu tentang Islam, semakin hanya boleh dibilang percentage yang saya mampu amalkan bahkan amalan saya saya pernah bersungguh saya amalkan di sekolah juga gugur satu per satu. Bukankah ilmu sepatutnya membuahkan amal ? 

Dahulu saya teringat betapa gementarnya saya saat disuruh kehadapan untuk memberi tazkirah, dan saat memberi tazkirah sekali itu bergetar hati saya sendiri terhadap butir-butir perkataan yang saya keluarkan. Lain sekarang, tazkirah bukanlah suatu hal yang sukar untuk saya sampaikan, namun apa yang saya takuti ialah semakin ia mudah dikeluarkan dari mulut semakin sedikit ia menyentuh hati diri sendiri bahkan perbuatan sendiri bertentangan pula apa yang dipercakapkan. Bukankah ini ciri munafik ? Nauzubillah. Kerana itu saya banyak memilih sekarang untuk diam dalam hal agama.

Akhirnya, dalam semakin saya menempuh ilmu-ilmu yang bersifat tsaqafah/intelligent, saya merasai kekurangan terhadap pengalaman spiritual. Saya belum menemukan balance antara pintar dan kritikal dalam mengkritik tetapi sangat rendah hati dan hina pada Allah umpama suatu lirik nasyid Sunnah orang berjuang itulah "Malamnya bagai rahib merintih sayu dihiris dosa dan air mata, siangnnya bagai singa dirimba memerah keringat mencurah tenaga". Betapa saya rindukan berasa dekat dengan Allah, merasa hati tenang dan dipandu dalam melakukan sesuatu. Suatu perasaan yang hilang, saat aku sedang berdepan beberapa hal yang sangat menuntut petunjukNya dalam membuat keputusan yang jauh di sana itu, pertaruhannya ialah syurga dan neraka. Ya Allah.... tunjukkanlah aku ke jalan yang lurus.





  

   





        





   



Sunday 1 November 2015

Laskar Pelangi : Orang miskin pun berhak punya mimpi

      Seminggu dua ini aku menikmati karya penulis fenomenal Indonesia, Andre Hirata. Memulakan bacaan dengan novel terbaru beliau yang bertajuk "Ayah", aku terpesona dengan cara penceritaan Andrea Hirata  yang sangat hidup membawa pembaca ke suasana pulau Belitung serta  puisi-puisi yang bukan main indah, dalam masa yang sama boleh pula menggeletek dengan humoris yang melucukan. Kemudiaannya dalam ketawa anda diam-diam meresapi ironi dan falsafah berat yang cuba disampaikan. Hebat! Bijak sungguh penulis ini, bicara hatiku. Lantas aku terus membeli karya besar Andrea Hirata iaitu "Laskar Pelangi" !

Laskar Pelangi sudah pun berada di pasaran sejak 2005 lagi rupanya. Dan hebatnya novel ini ia telah diterjemahkan ke dalam lebih dua puluh bahasa seluruh dunia. Dan penulisan sulung Andrea Hirata ini melayakkan beliau diijazahkan doktor terhormat oleh sebuah universiti di Wales. Terkagum melihat latar belakang Andrea yang menerima pendidikan dalam bidang Master ekonomi di Universiti Paris dan Sheffield Hallam University. Rupanya niat asal penulisan novel ini ialah untuk menghargai seorang guru yang mengajar beliau mulai sekolah rendah (SD) hinggalah peringkat pmr (SMP) iaitu Cikgu Muslimah serta kepada rakan-rakan beliau seramai 10 orang itu yang diberi gelar oleh gurunya itu sebagai "Laskar Pelangi". Alangkah malunya diri apabila hanya baru mengetahui bahawa perkataan "Laskar" itu bermaksud "Askar" ! Askar Pelangi bukankah sangat indah metafora ini?

Andrea Hirata mengatakan beliau teringat suatu momen di sekolah usang beliau, yang mana pada waktu itu hujan sangat lebat, di kala atap bocor menitis masuk ke dalam kelas, beliau terlihat guru beliau iaitu Cikgu Muslimah, dengan penuh kecekalan berpayung daun pokok pisang meredahi hujan untuk mengajar anak muridnya. Kala itu katanya beliau bertekad suatu hari akan aku tuliskan mengenai ibunda gurunya itu.

Laskar Pelangi pada suatu sisi mengangkat "the unsung hero" iaitu guru sekolah Muhammadiyah yang diceritakan oleh penulis sangat sederhana, hanya dibayar 15 kilo beras tiap bulan! Dua watak yang didiskripsi jelas di dalam novel ini ialah Pak Harfan (pengetua sekolah) dan ibu Mus (guru kelas). Dua watak ini sangat mengesankan pada saya kerana perjuangan yang mereka terpaksa harungi disebalik segala kekurangan yang ada di sekolah mereka yang disifatkan sebagai kandang tinggal dan sangat daif disamping tiada kemewahan yang menjanjikan. Sudah lali anggota sekolah ini diperlekehkan kerana kedaifab mereka. Dedikasi guru di Sekolah Muhammadiyah justeru digerakkan atas prinsip kerana percaya anak-anak orang kampung yang sangat miskin berhak punya pendidikan (satu-satunya sekolah yang percuma) serta rasa kebertanggungjawaban dalam mengajar prinsip-prinsip Islam (satu-satunya sekolah Islam) pada masyarakat.

Digambarkan bagaimana penduduk Belitung yang miskin melarat ibarat kais pagi makan pagi kais petang makan petang walaupun mereka berada di salah sebuah pulau terkaya di peta Indonesia sebagai pulau yang kaya dengan sumber timah. Hal ini kerana mereka dimiskinkan oleh sistem yang ditinggalkan oleh Belanda, di mana hasil kekayaan hanya berlegar di kalangan kapitalis yang turut menghuni di pulau tersebut malahan dibina tembok yang mengasingkan mereka dengan golongan marhean. Digambarkan banyak tempat digantung peringatan "Dilarang masuk kepada yang tidak punya hak". Manifestasi keangkuhan kepada harta dan kekuasaan. Pendudukan dinafikan banyak hak seperti dilarang menggali timah di tanah oleh undung-undang yang diwarisi penjajah.  Rata-rata penduduk di situ merupakan kuli kepada syarikat kapitalis timah, kerana kemiskinan, sampai-sampai mereka meragui anak-anak mereka untuk dihantar belajar kerana menganggap ia sebagai membazir duit dan lebih baik anak-anak mereka terus sahaja bekerja sebagai kuli seperti mereka.

Dua hal ini membuat saya menjerit, meronta-ronta di dalam hati. Pertembungan antara sifat kapitalis yang membolot peluang dan kekayaan serta bersenang lenang atas qudrat orang-orang yang dimiskinkan dengan keikhlasan dan keteguhan seorang yang dipandang biasa kerana kurang harta benda tapi justeru dengan segala qudrat yang ada membela mereka yang ditindas. Situasi kini memperlihatkan hal yang tidak kurang berbeza. Lihatlah di bandar-bandar besar ada segala macam "home tuition, kem remaja, pusat tuisyen, sekolah antarabangsa, tahfiz sains" kerana atas satu faktor tarikan, KEUNTUNGAN. Adakah peluang yang sama diperoleh oleh pelajar pinggir bandar dan pelosok kampung punya peluang sama? Jawapannya tentulah tidak, kerana market yang tidak menguntungkan. Jelek dengan situasi ini, tapi soalannya siapa yang mahu berjuang untuk orang miskin? dan siapa pula yang tidak mahu kaya? Realiti yang jijik untuk diakui tetapi tak terdaya untuk menafikan. 

Pengorbanan guru Muhammadiyah kampung Belitong diam-diam telah membentuk anak-anak muridnya yang bukan hanya berjaya dalam hidup tetapi menyerap masuk nilai-nilai Islam yang dikongsi penulis melalui ucapan Pak Harfan yang menanamkan supaya memberi sebanyak-banyak bukan menerima sebanyak-banyak sampai beliau berani bertaruh tiada ahli Muhammadiyah yang berani-berani mengambil kuropsi! Serta dengan bagaimana bergolak pun arus kehidupan mereka, nilai dan prinsip agama sama sekali tidak akan mereka korbankan. Suatu nilai yang tidak akan sekali kali diaudit oleh jabatan penilaian dalam menganalisis keberkesanan suatu pendidikan. Namun, justeru perkara inilah yang sangat mahal pada penilaian Allah swt, silap-silap mudah-mudah sahaja dianugerah syurga kerana hal ini.

Banyak lagi aspek menarik di dalam karya Laskar Pelangi ini. Sebagaimana karya hebat yang lain, Andrea Hirata berjaya menggambarkan sosio budaya yang ada dengan cukup indah. Beliau membuatkan pembaca sedar akan kekayaan alam dan kekayaan hati dan perasaan sehingga kemiskinan dan melarat pada suatu sudut pandangan biasa tetapi adalah kekayaan nilai pada orang yang menjalaninya. Beliau juga membangkitkan rasa semangat untuk memperdalami ilmu pengetahuan, hormat guru dan tidak menjadikan kemiskinan sebagai alasan untuk mengalah. Akhirnya, semangat setia kawan dan keindahan masa kecil adalah suatu yang harus selalu disyukuri kerana di situ ada kekuatan yang menjadikan kita seperti hari ini.

Saya cukup menginsafi diri saya selepas habis membaca dan menonton filem "Laskar Pelangi" ini, dan hati saya berbisik, "Tidak mengapalah jika suatu hari nanti aku bukan dalam kalangan mereka yang kaya harta padahal mengaut untung dan bahagian dari si miskin. Biarlah kalau aku ditakdir hanya sederhana pada kekayaan harta, kerana InshaAllah akan kulimpahkan sebanyak-banyak budi kepada mereka yang dianggap "tidak menguntungkan" duit kocek.

Shazwan suhiman,
Kampung Sijangkang,
2 November 2015
1257 am
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...